Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana percampuran arak dalam makanan dan minuman contohnya seperti masakan-masakan Jepun, Cina dan masakan berasaskan daging?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Tidak dapat dinafikan, dalam beberapa masakan, arak menjadi salah satu bahan utama yang dimasukkan di dalamnya, terutamanya dalam masakan Jepun, masakan Cina ataupun masakan berasaskan daging.
Di antara jenis wain atau arak yang biasanya dimasukkan dalam makanan adalah seperti wain beras atau rice wine dan mirin. Wain beras adalah istilah umum bagi minuman beralkohol yang ditapai dan mungkin disuling daripada beras, yang secara tradisinya digunakan di Asia Timur, Asia Tenggara dan Asia Selatan. Wain beras dibuat melalui penapaian kanji beras yang telah ditukar kepada gula. Mikrob ialah sumber enzim yang menukarkan kanji kepada gula. Sake di Jepun, Mijiu di China, dan Cheongju dan Makgeolli di Korea adalah beberapa jenis wain beras yang paling terkenal.[1]
Manakala mirin pula ialah sejenis wain beras dan bahan biasa dalam masakan Jepun. Ia serupa dengan sake tetapi dengan kandungan alkohol yang lebih rendah dan kandungan gula yang lebih tinggi.[2] Selain itu, mirin ialah barang dapur untuk masakan Jepun yang berupa minuman beralkohol berwarna kuning, berasa manis, mengandung gula sebanyak 40-50% dan alkohol sekitar 14%. Mirin digunakan dalam masakan Jepun yang diolah dengan cara nimono (merebus dengan kicap dan dashi) dan campuran untuk pelbagai jenis sos, seperti sos untuk kabayaki (tare), sos untuk soba (soba-tsuyu), sos untuk tempura (tentsuyu) dan sos teriyaki.
Kandungan alkohol pada mirin dapat menghilangkan rasa hanyir pada ikan dan mengurangkan risiko bahan makanan hancur ketika dan selepas dimasak. Kandungan gula pada mirin digunakan untuk menambah rasa manis bahan makanan yang dimasak, mengilatkan bahan makanan yang dimasak cara teriyaki dan menambahkan harum masakan.
Mirin diminum di Jepun sebagai campuran Shirozake yang diminum pada perayaan Hina Matsuri atau campuran sake yang diminum dalam tradisi toso untuk mendoakan keselamatan pada hari pertama tahun baru. Di Jepun, mirin merupakan minuman keras yang sama seperti bir atau wiski yang dikenakan lesen minuman keras dan pembuatannya juga memerlukan izin khusus. Sehingga tahun 1996, mirin hanya boleh dibeli di toko yang mempunyai keizinan menjual minuman keras, tetapi sekarang boleh dijual di mana-mana sahaja dan penjual hanya memerlukan keizinan menjual mirin secara kecil-kecilan.
Penggunaan perkataan mirin pertama kali ditemui dalam buku catatan harian Komai-nikki yang ditulis pada tahun 1593, sedangkan cara pembuatan mirin ditemui dalam Honchō shokkan yang ditulis pada tahun 1695. Penggunaan mirin sebagai sos makanan yang dipanggang (kabayaki) bermula sejak pertengahan zaman Edo.[3]
Seterusnya, berkenaan percampuran arak atau jenis-jenisnya dalam makanan atau minuman, kami nukilkan sebagaimana dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa orang yang memasak daging dengan arak dan memakan kuahnya akan dikenakan hukuman hudud, kerana intipati arak itu masih ada. Hal yang sama berlaku jika digunakan sebagai adunan dalam membuat sawiq[4] lalu dimakan. Ini telah dijelaskan oleh mazhab al-Syafi‘i dan Hanbali. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 25/95).
Begitu juga al-Sarakhsi dalam al-Mabsut (24/25) turut menyebutkan, jika seseorang membuat adunan dengan menggunakan arak, kemudian membakarnya (menjadikannya sebagai roti), maka makruh (yakni makruh tahrim) memakannya kerana tepung itu sudah menjadi najis disebabkan oleh arak tersebut, dan adunan yang najis tidak boleh disucikan dengan cara pembakaran. Jadi, ia tidak halal untuk dimakan.
Tambahan lagi, Ibn Qudamah menyebutkan, jika seseorang mencampurkan arak, atau menjadikannya sebagai kuah atau memasak daging dengannya, kemudian dia memakan kuah tersebut, maka dia dikenakan hukuman hudud kerana ‘ain atau unsur arak itu masih ada. Demikian juga, jika dia menjadikannya sebagai adunan untuk membuat sawiq dan kemudian memakannya, dia juga akan dikenakan hukuman hudud.
Namun, jika dia mengadunnya dengan tepung, lalu membakarnya (untuk dijadikan sebagai roti) dan memakannya, dia tidak dikenakan hukuman hudud, kerana api telah menghilangkan sifat-sifat arak dan tidak ada yang berbaki (iaitu yang tinggal) melainkan hanya bekasnya. (Lihat al-Mughni, 12/498).
‘Ala’uddin al-Haskafi menjelaskan, tidak dibolehkan untuk menjual arak berdasarkan kepada hadith Imam Muslim yang menyatakan, “Sesungguhnya apa-apa yang diharamkan untuk diminum, turut diharamkan untuk dijual.” Begitu juga dikenakan hukuman hudud bagi peminumnya sekalipun dia tidak mabuk dan orang lain yang meminumnya juga akan dikenakan hukuman hudud jika dia mabuk. Selain itu memasaknya juga tidak akan memberi sebarang kesan padanya (iaitu dari sudut hilangnya hukum haram daripadanya) kecuali dia tidak dikenakan hukuman hudud jika ia tidak memabukkan. Ini kerana hukuman hudud itu dikhususkan dengan arak yang mentah, seperti yang dinyatakan oleh al-Zaila‘i. (Lihat al-Durr al-Mukhtar Syarh Tanwir al-Absar wa Jami‘ al-Bihar, hlm. 676).
Selain daripada itu, terdapat hadith di mana Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّهَا لَيْسَتْ بِدَوَاءٍ وَلَكِنَّهَا دَاءٌ
Maksudnya: “Ia bukannya ubat tetapi penyakit.”
Riwayat al-Tirmizi (2046). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai hasan.
Dalam hadith di atas jelas menyatakan bahawa sekiranya berubat yang merupakan keperluan bagi merawat suatu penyakit juga dilarang, maka terlebih utama larangannya dalam makanan dan minuman.
Al-Mubarakfuri menukilkan kalam Imam al-Nawawi yang menyebutkan, hadith di atas menjelaskan bahawa arak tersebut bukanlah bersifat ubatan. Justeru, haram menggunakannya dalam perubatan kerana ia bukanlah ubat. Maka seolah-olah menggunakannya tanpa sebarang sebab. Inilah pandangan yang sahih di sisi ashab al-Syafi‘iyyah, iaitu haram berubat dengan menggunakan arak. Begitu juga haram meminumnya.
Adapun jika seseorang itu tercekik makanan dan tiada cara untuk menolaknya kecuali dengan arak, maka boleh menggunakannya, kerana memperolehi kesembuhan (untuk mengelakkan tercekik) ketika itu adalah perkara yang pasti, berbeza dengan melakukan rawatan dengannya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/168).
Selain itu, turut dinyatakan dalam Fatwa al-Lajnah al-Da’imah bahawa tidak dibolehkan meletakkan sesuatu yang memabukkan dalam ubat-ubatan, makanan, atau minuman, serta bahan-bahan yang digunakan untuk pengeluaran makanan, minuman, atau pengawetan, sama ada bahan memabukkan itu berupa wain, bir, atau lain-lain. (Lihat Fatwa al-Lajnah al-Da’imah, 22/124).
Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa makanan dan minuman yang mengandungi atau dimasak dengan arak seperti wain beras (rice wine), mirin dan jenis-jenisnya yang lain adalah haram dan tidak halal untuk dimakan dan diminum. Hal ini kerana ia telah menjadi najis disebabkan oleh kenajisan arak itu sendiri dan turut menjadi haram disebabkan oleh arak tersebut. Dalam hal ini terdapat kaedah menyebutkan:
أَنَّ الْأَشْيَاءَ الْمُحَرَّمَةَ إِذَا خَالَطَتْ الْحَلَالَ حَرُمَ الْحَلَالُ
Maksudnya: “Sesuatu yang diharamkan apabila bercampur dengan sesuatu yang halal, maka sesuatu yang halal itu menjadi haram.”
Air sekalipun pada asalnya ia dihukumkan sebagai halal dan suci, apabila ia bercampur dengan arak, ia berubah menjadi haram. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:
إِذَا تَعَارَضَ حَاظِرٌ وَمُبِيحٌ قُدِّمَ الحَاظِرُ احْتِيَاطًا
Maksudnya: “Sekiranya bertembung antara hukum haram dan harus, maka hukum haram didahulukan sebagai langkah berhati-hati.” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah al-Mustakhrajah min Kitab I‘lam al-Muwaqqi‘in, hlm. 400).
Lebih-lebih lagi, siapakah yang dapat benar-benar memastikan bahawa keseluruhan arak yang dimasukkan ke dalam makanan atau minuman sebagai salah satu bahan masakan telah berwap keseluruhannya. Berkemungkinan hanya sebahagian besarnya sahaja yang telah berubah menjadi wap, namun sebahagian kecil arak masih lagi terdapat dalam makanan tersebut. Justeru, hal itu tetap menjadikan makanan tersebut haram untuk dimakan, dan begitulah juga halnya bagi minuman.
Sedangkan kita dinasihatkan agar berhati-hati dalam memilih suatu makanan dan minuman kerana memilih makanan dan minuman yang halal lagi baik juga merupakan antara faktor doa diterima oleh Allah SWT. Rasulullah SAW pernah bersabda:
الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟
Maksudnya: “Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.”
Riwayat Muslim (1015)
Demikianlah jika timbul keraguan terhadap suatu makanan atau minuman yakni tidak pasti halal ataupun tidak, serta tidak ada bukti-bukti sokongan lain yang menunjukkan ia adalah halal, maka meninggalkan perkara yang syubhah dan meragukan itu adalah lebih dituntut dalam Islam dan lebih selamat, berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
دَعْ مَا يَريبُكَ إِلَى مَا لَا يَريبُكَ
Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Nota Kaki:
[1] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Rice_wine. Diakses pada 12 September 2023.
[2] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Mirin. Diakses pada 11 Disember 2023.
[3] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Mirin. Diakses pada 11 Disember 2023. Lihat juga https://maktabahalbakri.com/5060-makanan-yang-mengandungi-mirin/. Diakses pada 20 Disember 2023.
[4] Sawiq ialah sejenis makanan yang diperbuat daripada gandum dan barli yang halus.