#7994: Maksud Dakwah dan Pendakwah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan maksud dakwah dan pendakwah? Saya selalu dengar istilah ini diucapkan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّـهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: ‘Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)’.”

(Surah Fussilat: 33)

Ibn Kathir menyatakan iaitu seorang menyeru kepada tauhid kepada Allah dan mentaati-Nya sama ada melalui ucapannya, perbuatannya dan hal keadaannya. Termasuk juga melakukan amalan soleh sehingga dia menjadikan Islam sebagai agamanya dan mazhabnya. Ibn Kathir juga berkata, ayat ini umum pada semua yang menyeru ke arah kebaikan. (Lihat Mukhtasar Ibn Kathir, 3/264)

Dakwah adalah satu usaha menarik orang lain kepada agama Islam dan mengikut petunjuk dari-Nya serta menegakkan syariat-Nya di muka bumi ini. Begitu juga menyeru masyarakat agar mentauhidkan Allah SWT dengan ibadat dan amal ketaatan serta melepaskan diri daripada sebarang bentuk kongkongan selain daripada Allah SWT semata-mata. Memberikan hak kepada orang yang ditentukan hak oleh Allah, menafikan hak orang yang dinafikan hak oleh Allah. Menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran serta berjihad di jalan-Nya. Ini merupakan pendapat yang dikemukakan oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi. (Lihat Thaqafah al-Da‘iyah, hlm. 3)

Manakala pendakwah dalam bahasa Arab ialah da’i iaitu orang yang memikul tanggungjawab dalam menyampaikan seruan dakwah. Manakala mad’u pula merupakan orang yang ditujukan dakwah kepadanya atau disebut kumpulan sasar dakwah tidak kira sama ada Muslim atau kafir, lelaki atau perempuan. (Lihat al-Madkhal ila ‘Ilm al-Da‘wah, hlm. 169)

Justeru, dapat disimpulkan bahawa pendakwah adalah orang yang menyampaikan seruan dakwah  bagi mengajak manusia tidak kira sama ada muslim atau kafir kepada agama islam serta mengikuti segala syariat dan perintah Allah SWT di dunia ini.

Menyeru seluruh manusia daripada kegelapan kejahilan mereka kepada cahaya hidayah Allah SWT. Sepertimana kata Rib‘i ibn ‘Amir kepada pimpinan Parsi iaitu Rustum:

اللَّهُ ابْتَعَثْنَا لِنُخْرِجَ مَنْ شَاءَ مِنْ عِبَادَةِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللَّهِ، وَمِنْ ضِيقِ الدُّنْيَا إِلَى سِعَتِهَا، وَمِنْ جَوْرِ الْأَدْيَانِ إِلَى عَدْلِ الْإِسْلَامِ، فَأَرْسَلَنَا بِدِينِهِ إِلَى خَلْقِهِ لِنَدْعُوَهُمْ إِلَيْهِ، فَمَنْ قَبِلَ ذَلِكَ قَبِلْنَا مِنْهُ وَرَجَعْنَا عَنْهُ، وَمَنْ أَبَى قَاتَلْنَاهُ أَبَدًا حَتَّى نُفْضِيَ إِلَى مَوْعُودِ اللَّهِ

Maksudnya: Allah telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dari perhambaan terhadap sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Maka Dia membangkitkan kami dengan agama-Nya untuk kami seru mereka kepadanya. Maka sesiapa yang menerima perkara tersebut, kami akan menerimanya dan pulang meninggalkannya. Tetapi sesiapa yang enggan, kami akan memeranginya selama-lamanya sehinggalah kami berjaya memperoleh apa yang dijanjikan Allah SWT.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/623; Tarikh al-Umam wa al-Muluk, 2/402, Hayat al-Sahabah, 1/259)

Ucapan ini telah menjadi persoalan dan perbincangan hangat di kalangan Rustum dengan orang-orang kanannya. Mereka bertanya: “Apa yang dijanjikan Allah (kepada kamu)?”

Rib’i ibn Amir menjawab: “Syurga bagi sesiapa sahaja yang mati dalam memerangi orang-orang yang enggan dan kemenangan bagi yang hidup.”

Rustum pun berkata: “Sesungguhnya aku telah mendengar perkataan-perkataan kamu. Tetapi bolehkah kamu memberi penangguhan perkara ini sehingga kami mempertimbangkannya dan kamu pun mempertimbangkannya?”

Rib’i menjawab: “Ya, berapa lama masa yang kamu mahu? Sehari atau dua hari?”

Rustum menjawab: “Tidak, tetapi sehingga kami menulis surat kepada para pemimpin kami.”

Maka Rib‘i pun berkata: “Rasul kami tidak pernah mengajarkan kepada kami untuk menangguhkan peperangan semenjak bertemu musuh lebih daripada tiga (hari). Maka pertimbangkanlah perkaramu dan mereka, dan pilihlah satu daripada tiga pilihan apabila masa penangguhan telah berakhir.”

Rustum bertanya: “Adakah kamu pemimpin mereka?”

Beliau menjawab: “Tidak, tetapi kaum muslimin ibarat jasad yang satu. Yang paling rendah dari mereka dapat memberikan jaminan keamanan terhadap yang paling tinggi.”

Akhirnya Rustum mengumpulkan para pemimpinnya kemudian berkata: “Pernahkah kamu melihat (walau sekali) yang lebih mulia dan lebih benar dari perkataan lelaki ini?”

Mereka menjawab: “Kami minta perlindungan Allah supaya engkau tidak terpengaruh kepada sesuatu dari (ajakan) ini dan dari menyeru agamamu kepada (agama) anjing ini. Tidakkah engkau melihat kepada pakaiannya?”

Rustum menjawab: “Celaka kamu! Janganlah kamu melihat kepada pakaian. Akan tetapi lihatlah kepada pendapat, perkataan, dan jalan hidupnya! Sesungguhnya orang ‘Arab menganggap ringan masalah pakaian dan makanan. Tetapi mereka menjaga harga diri mereka.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/623; Tarikh al-Umam wa al-Muluk, 2/402, Hayat al-Sahabah, 1/259)

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”