#8000: Matlamat Dakwah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah matlamat dalam kita berdakwah kepada masyarakat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّـهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: ‘Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)’.”

(Surah Fussilat: 33)

Ibn Kathir menyatakan iaitu seorang menyeru kepada tauhid kepada Allah dan mentaati-Nya sama ada melalui ucapannya, perbuatannya dan hal keadaannya. Termasuk juga melakukan amalan soleh sehingga dia menjadikan Islam sebagai agamanya dan mazhabnya. Ibn Kathir juga berkata, ayat ini umum pada semua yang menyeru ke arah kebaikan. (Lihat Mukhtasar Ibn Kathir, 3/264)

Setiap yang hidup mempunyai kehendak dan tindakan yang sesuai dengannya, dan setiap yang bergerak mempunyai tujuan yang ingin dicapai. Kebaikan seseorang hanya dapat dicapai jika tujuan gerakannya adalah Allah semata. Tujuan dan akhir yang dikehendaki hanyalah kepada Allah, sama seperti kewujudan seseorang hanya dengan Allah sebagai Tuhannya dan Penciptanya

Matlamat dan tujuan utama dakwah Islam adalah meyakinkan orang supaya prinsip-prinsip Islam ini menjadi keyakinan yang kukuh dalam hati mereka dan diterapkan dalam kehidupan sehari-hari. Dari keyakinan ini, timbullah amalan beribadah, pematuhan terhadap hukum-hukum Islam, serta tata cara yang diajarkan oleh agama Islam. Firman Allah SWT:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

(Surah al-An’am: 162)

Syeikh Sa‘id Hawwa berkata: Dakwah ke jalan Allah merupakan satu matlamat dan pada masa yang sama ia merupakan wasilah untuk mencapai matlamat lain seperti tazkiyyah al-nafs, pembentukan individu dan keluarga Muslim, masyarakat dan negara Islam. Pencapaian matlamat ini bergantung kepada dakwah. Semakin banyak usaha dakwah dijalankan, maka matlamat umum yang diamanahkan oleh Allah SWT akan tercapai. Oleh itu, keutamaan perlu diberikan kepada dakwah lebih daripada yang lain. (Lihat Kai La Namdhi Ba‘ida ‘an Ihtiyajat al-‘Asr, hlm. 238)

Oleh itu, pendakwah dapat difahami sebagai mereka yang mengambil tanggungjawab dakwah, iaitu dalam menarik orang ramai kepada agama Islam, mengikuti Syariat yang ditetapkan oleh Allah SWT, mentauhidkan-Nya, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran serta berjihad di jalan-Nya.

Syeikh Abdul Aziz bin Baz menyatakan: Apabila Nabi SAW mengutus Ali ke Khaibar untuk mengajak mereka kepada Allah, Baginda SAW berkata kepadanya:

فَوَاللَّهِ لَأَنْ يَهْدِيَ اللَّهُ بِكَ رَجُلًا وَاحِدًا، خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعَمِ

Maksudnya:Demi Allah, sesungguhnya Allah memberi petunjuk melalui engkau (walaupun kepada) seorang lelaki, itu lebih baik bagimu daripada engkau mendapatkan unta berwarna merah (harta yang berharga).”

Riwayat al-Bukhari (4210) dan Muslim (2406)

Iaitu, lebih baik bagimu daripada segala harta dunia berupa unta merah itu, yakni lebih baik bagimu daripada dunia dan apa yang ada di atasnya, seperti yang disamakan dengan kekayaan memiliki unta merah, kerana itu adalah harta yang paling mulia dalam kalangan Arab. Nabi SAW menjelaskan bahawa tujuan daripada jihad dan dakwah adalah untuk memberi petunjuk hidayah kepada manusia, bukan untuk membunuh mereka, bukan untuk merampas harta mereka, bukan untuk menawan wanita dan anak-anak mereka. Tujuan sebenar daripada dakwah dan jihad adalah memberi petunjuk dan hidayah kepada mereka, memandu mereka kepada kebaikan, menyelamatkan mereka daripada kebatilan, dan mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya. Itulah tujuan sebenarnya.

Oleh itu, bagi mereka yang menyeru dan menjadi pendakwah kepada Allah dan berjihad di jalan-Nya, niat mereka haruslah seperti ini. Mereka harus bermatlamatkan dengan menjalankan jihad dan amal mereka kerana Allah, untuk akhirat, dan menyelamatkan saudara-saudara mereka daripada kebatilan, membimbing mereka keluar daripada kegelapan menuju kepada cahaya. Begitulah juga dengan keluarga mereka, anak-anak dan isteri mereka, jiran-jiran mereka, teman-teman mereka; pendakwah mesti berusaha menyelamatkan mereka daripada kebatilan, mengarahkan mereka ke arah kebaikan, memberi dorongan kepada mereka, dan bersabar menghadapi kesulitan dalam proses tersebut. Kesabaran seperti yang dialami oleh para rasul diperlukan, kerana harta Allah, iaitu syurga adalah mahal harganya dan memerlukan ilmu, amal, dan kesabaran. Begitu juga dengan menjaga diri daripada neraka dan seksaannya; ini memerlukan kesabaran. Sesungguhnya, pahala bagi orang-orang yang sabar akan diberikan tanpa perhitungan.”[1]

Firman Allah SWT:

 كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya:Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma‘ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”

(Surah Ali ‘Imran: 110)

Ayat ini menunjukkan Allah SWT memuji umat ini dengan menyatakan mereka adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan oleh Allah SWT daripada kalangan manusia yang ada. Ini kerana, disebabkan kesempurnaan diri mereka dengan wujudnya iman serta beriltizam dalam melaksanakan perintah Allah SWT di samping menyempurnakan orang lain dengan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 143)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://binbaz.org.sa/audios/1489/الهدفمنالدعوةالىالله