Kami mulakan dengan ucapan:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ
“Segala puji bagi Allah SWT, dengan nikmat-Nya segala kebaikan menjadi sempurna.”
Alhamdulillah, kami panjatkan setinggi-tinggi syukur kepada-Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Dengan izin-Nya, kami telah berjaya menyempurnakan jawapan yang ke-8,000 untuk Aplikasi al-Inarah.
Alhamdulillah, dengan kerjasama gigih daripada para penyelidik kami, meskipun usia Aplikasi al-Inarah baru sahaja mencecah setahun lebih, semangat, tekad, dan azam untuk menyebarluaskan ilmu terus menjadi dorongan. Ini adalah demi menyahut sabda Nabi SAW:
بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً
Maksudnya: “Sampaikanlah daripadaku walaupun hanya satu ayat.”
Riwayat al-Bukhari (3461)
Gabungan usaha daripada pasukan Maktabah al-Bakri dan penyelidik telah menghasilkan jawapan-jawapan kami ini dengan izin-Nya. Kami juga sedang dalam proses menambah baik aplikasi ini ke arah yang lebih sempurna. Insya-Allah, pada waktu Dhuha hari Ahad, 15 Disember 2024 bersamaan 14 Jamadil Akhir 1446 H, kami akan melancarkan versi baharu Aplikasi al-Inarah.
Harapan dan doa kami sentiasa kepada-Nya. Semoga usaha ini dapat direalisasikan dan memberi manfaat berupa hikmah, makrifah, dan ilmu kepada ummah, terutamanya yang berkait dengan Islam dan kehidupan. Kami juga berharap, dengan jawapan yang dihasilkan mampu menjadi solusi kepada pelbagai cabaran kehidupan, sama ada di peringkat individu, keluarga, masyarakat, mahupun negara.
Jawapan yang kami sediakan meliputi pelbagai dimensi dan sudut pandang, tanpa mengira sempadan. Dalam usaha memberikan jawapan, kami meraikan mazhab Syafi‘i sebagai mazhab utama di sini, namun turut mengaplikasikan kaedah maslahat yang menjadi tunjang utama syariat. Sebagaimana dinyatakan oleh para fuqaha’:
أَحْكَامُ الشَّارِعِ مُعَلَّلَةٌ بِالأَسْبَابِ مُرْتَبِطَةٌ بِالمصَالِحِ
Maksudnya: “Hukum-hukum yang ditetapkan oleh Pembuat Syariah (Allah SWT) mempunyai sebab-sebab (ʿillah) yang tertentu serta berkait rapat dengan kemaslahatan.”
Insya-Allah, kami akan terus bersemangat dalam menyebarkan maklumat dan memperkasa ummah dengan ilmu syariah dan agama. Usaha ini juga termasuk dalam salah satu cabang jihad, sebagaimana yang disebut oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Fiqh al-Jihad. Firman Allah SWT:
فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Maksudnya: “Maka hendaklah keluar sebahagian daripada setiap kumpulan di kalangan mereka, supaya mereka dapat mendalami ilmu agama dan memberi peringatan kepada kaum mereka apabila kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berwaspada.”
(Surah al-Taubah: 122)
Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, termasuk pelanggan dan pembaca Aplikasi al-Inarah, yang telah memberikan sokongan dan dokongan. Ucapan kami: Jazakumullahu khairal jaza’.
Akhir kata, hanya kepada-Nya kami memohon keampunan dan berdoa agar aplikasi ini menjadi penyelesaian dalam membantu ummah memahami agama. Kami akhiri dengan doa:
اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ
Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kami kefahaman dalam agama dan ilmu dalam tafsir serta takwil al-Quran.”