#804: Terlupa Baca Basmalah di Awal Berwuduk

Soalan:        

Assalamualaikum w.b.t. Jika seseorang itu terlupa untuk membaca basmalah di awal wuduk, lalu dia teringat ketika di tengah-tengah wuduk, apakah yang perlu dia lakukan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كلُّ كلامٍ، أو أمرٍ ذي بالٍ لا يُفتَحُ بذِكْرِ اللَّهِ عزَّ وجلَّ فَهوَ أبترُ

Maksudnya:Setiap ucapan atau perkara yang tidak dimulai dengan mengingati Allah ‘Azza wa Jalla (zikrullah), maka amalan tersebut akan terputus.

Riwayat Ahmad (8712); Ahmad Syakir menyatakan bahawa sanadnya adalah sahih. Manakala Syu‘aib al-Arna’ut pula menyebutkan bahawa sanadnya adalah dhaif. Begitu juga riwayat Ibn Majah dengan hadith seumpamanya (1894)

Menurut Imam al-Nawawi, maksud perkara penting dalam hadith di atas ialah sesuatu perkara yang dititikberatkan oleh seseorang itu. Manakala makna terputus pula bermaksud kurangnya keberkatan. Justeru, para ulama berpendapat disunatkan untuk memulakan setiap penulisan, pembelajaran, pengajaran, khutbah, percakapan dan lain-lain perkara yang dilihat penting dengan memuji Allah SWT. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/73)

Secara umumnya, jumhur ulama berpendapat membaca basmalah termasuk dalam sunat wuduk dan bukannya wajib. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa hukumnya adalah sunat dan bukannya wajib. Jika ditinggalkan secara sengaja, wuduknya tetap sah. Ini merupakan pendapat mazhab Syafi‘i, Malik, Abu Hanifah dan jumhur ulama, termasuklah juga merupakan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/346) Hal ini adalah berdasarkan kepada beberapa dalil dan hujah. Di antaranya, Nabi SAW telah mengajarkan seseorang mengenai cara berwuduk, Baginda bersabda:

تَوَضَّأْ كَمَا أَمَرَكَ اللَّهُ

Maksudnya:Berwuduklah sebagaimana yang Allah perintahkan kamu.

Riwayat al-Tirmizi (302); hadith ini dinilah sahih oleh al-Albani.

Ini merupakan isyarat kepada firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”

Surah al-Ma’idah: 6

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa tidak terdapat dalam ayat di atas, perintah atau kewajipan untuk membaca basmalah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/346-347)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya bacaan basmalah sunnah dibaca pada permulaan wuduk iaitu ketika mula membasuh kedua telapak tangan. Hal ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Khatib al-Syirbini bahawa yang dimaksudkan dengan permulaan wuduk ialah permulaan membasuh kedua telapak tangan, lalu berniatlah wuduk dan membaca basmalah ketika itu. Dalam erti kata lain, menggabungkan niat wuduk bersama bacaan basmalah ketika mula-mula membasuh telapak tangan. Kemudian barulah melafazkan niat, dan seterusnya menyempurnakan basuhan telapak tangan itu. Hal ini kerana melafazkan niat — menurut mazhab Syafi‘i  — dan membaca basmalah adalah sunnah, serta tidak mungkin seseorang itu dapat melafazkan kedua-duanya pada masa yang sama — yakni secara serentak.

Jika seseorang itu meninggalkan bacaan basmalah kerana lalai mahupun sengaja, lalu di pertengahannya dia teringat bahawa dia terlupa untuk membaca basmalah, maka hendaklah dia mengucapkan ‘bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ (بِاسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ) sebagaimana yang dilakukan oleh seseorang yang terlupa untuk membaca basmalah ketika makan. Terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَذْكُرْ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى، فَإِنْ نَسِيَ أَنْ يَذْكُرَ اللَّهَ تَعَالَى فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ

Maksudnya:Apabila seseorang daripada kamu hendak makan, maka sebutlah nama Allah — yakni bacaan basmalah. Jika dia terlupa untuk menyebut nama Allah SWT pada permulaan makan, maka ucapkanlah — yakni ketika teringat — ‘bismillahi awwaluhu wa akhirahu’

Riwayat Abu Daud (3767); al-Tirmizi (1858)

Justeru menurut al-Khatib al-Syirbini, diqiaskan perbuatan terlupa membaca basmalah ketika berwuduk dengan makan dan orang yang sengaja dengan orang yang terlupa. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/185-186) Tambahan lagi, al-Mubarakfuri ketika menyatakan mengenai bacaan ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ menyebutkan bahawa maknanya ialah pada seluruh bahagian-bahagiannya. Boleh juga untuk dikatakan bahawa makna yang dikehendaki pada lafaz ‘awwalihi’ ialah separuh bahagian yang pertama manakala lafaz ‘akhirihi’ ialah separuh bahagian yang kedua. Hasilnya, ia menjadi sempurna dan menyeluruh. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/483)

Selain itu, Sulaiman al-Jamal juga ada menyebutkan dalam hasyiahnya bahawa boleh jadi yang dimaksudkan dengan ‘awwaluhu’ ialah apa yang setentang dengan yang akhir sehingga meliputi bahagian pertengahannya, atau yang dimaksudkan dengan ‘akhiruhu’ ialah apa yang setentang dengan yang awal, maka perkara itu menjadikannya menyeluruh. Bacaan ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ ini adalah merujuk kepada bacaannya yang paling baik dan sempurna — yakni bagi mereka yang terlupa menyebutnya di permulaan. Walau bagaimanapun, jika seseorang itu hanya mengucapkan ‘Bismillah’ sahaja, maka ia sudah memadai. (Lihat Hasyiah al-Jamal, 1/123)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, jelaslah bahawa seseorang yang terlupa untuk membaca ‘bismillah’ di permulaan wuduk, apabila teringat mengenainya ketika di tengah-tengah wuduk, hendaklah mengucapkan ‘bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ (بِاسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ). Ini merupakan bacaan yang paling sempurna bagi mereka yang terlupa untuk membaca basmalah di permulaan wuduk. Namun, jika dia hanya mengucapkan ‘bismillah’ sahaja ketika teringat mengenainya, maka hal itu sudah memadai.

Begitu juga seseorang yang terlupa untuk membaca basmalah ketika berwuduk tidak menjejaskan wuduknya dan wuduknya tetap dikira sah sebagaimana pendapat jumhur ulama. Hal ini kerana membaca basmalah itu adalah sunat dan bukannya wajib.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 30 Mac 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H