Soalan
Assalamualaikum ustaz. Antara zikir perlahan dan lantang, yang manakah lebih afdhal? Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Zikir adalah satu istilah yang suci dari Ilahi. Seperti yang didefinisikan oleh Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di, zikir secara umum adalah meliputi segala perkara yang mendekatkan seseorang hamba dengan Allah SWT dari segi aqidah, pemikiran, amalan hati, amalan badan atau pujian ke atas Allah atau mempelajari ilmu berfaedah atau mengajarinya atau seumpama dengannya. Lihat al-Riyadh al-Nadhirah, hlm. 245
Secara khususnya pula, zikir merujuk kepada lafaz-lafaz tertentu yang disyariatkan oleh Allah SWT seperti membaca al-Qur’an, menyebut nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi dengan bibir atau di dalam hati sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur’an, atau pun lafaz-lafaz yang disyariatkan menerusi lidah Rasulullah SAW yang memberi erti pujian, penyucian, pengudusan dan pengesaan terhadap Allah SWT. Lihat al-Zikr wa Atharuh fi Dunya al-Muslim wa Akhiratih, hlm. 17-20
Ibn ‘Allan pula menyimpulkannya sebagai apa yang kita ibadahkan berdasarkan lafaz-lafaz yang ditentukan oleh pembuat syariat (Allah SWT) bertujuan bagi mengagungkan Allah SWT dan memuji-muji-Nya. Lihat al-Futuhat al-Rabbaniyyah Syarh al-Azkar al-Nawawiyyah, 1/396
Ini bermakna, zikir pada asasnya adalah sesuatu yang amat dituntut di dalam agama. Bahkan ayat-ayat al-Qur’an banyak menyentuh tentang perintah supaya kita berzikir kepada Allah SWT. Ada antara perintah tersebut berbentuk wajib seperti berzikir mengingati Allah SWT melalui solat lima waktu sebagaimana firman Allah SWT:
إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
Maksudnya: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.”
(Surah Taha: 14)
Manakala ayat-ayat yang menyebut tentang perintah berzikir tanpa menyebut bentuk ibadah tertentu adalah tersangat banyak. Cukup dinyatakan di sini ayat 41 dalam surah al-Ahzab yang memerintahkan kita supaya memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT secara umum. Allah SWT berfirman dalam ayat tersebut:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا، وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.”
(Surah al-Ahzab: 41-42)
Dengan itu, tidak diragukan lagi kepentingan berzikir kepada Allah SWT. Sesiapa yang menolak kepentingan berzikir, golongan tersebut boleh dikategorikan sebagai fasiq. Ini kerana zikir adalah termasuk dalam salah satu kaedah penting dalam mendekatkan diri seseorang hamba kepada Allah SWT. Dalam disiplin keilmuan Islam, ilmu berkenaan hal ehwal mendekatkan diri kepada Allah SWT disebut sebagai tasawuf. Kerana itu Imam Malik pernah mengatakan bahawa, barang siapa yang berfekah tanpa bertasawuf maka dia telah menjadi fasiq. Lihat Mirqat al-Mafatih, 1/478
Ayat al-Quran dan Hadith Nabawi Berkenaan Tuntutan Berzikir
Antara ayat al-Quran berkaitan tuntutan berzikir adalah firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! berzikirlah kamu kepada Allah dengan zikir yang banyak.”
(Surah al-Ahzab: 41)
Firman Allah SWT:
وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Maksudnya: “Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar solat) pada waktu pagi dan petang.”
(Surah al-Insan: 25)
Di sana juga terdapat banyak hadith berkaitan galakan berzikir ini seperti hadith daripada Abu Musa R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ
Maksudnya: “Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dan orang yang tidak berzikir kepada Allah seperti orang yang hidup dan mati.”
Daripada Abu al-Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرِ أَعْمَالِكُمْ، قَالَ مَكِّيٌّ: وَأَزْكَاهَا، عِنْدَ مَلِيكِكُمْ، وَأَرْفَعِهَا فِي دَرَجَاتِكُمْ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ إِعْطَاءِ الذَّهَبِ وَالْوَرِقِ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ، فَتَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَكُمْ ” قَالُوا: وَذَلِكَ مَا هُوَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: ذِكْرُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ
Maksudnya: “Tidakkah kamu ingin aku tunjukkan kepada kamu akan sebaik-baik amalan? Kata Makki: Ia adalah sebaik-baik penyucian di sisi Tuhan kamu dan yang mengangkat darjat kamu dengan begitu tinggi. Dan ia lebih baik daripada kamu memberikan emas dan duit. Ia juga jauh lebih baik daripada kamu apabila berhadapan dengan musuh kamu dengan kamu memancung leher-leher mereka dan mereka memancung lehermu. Para sahabat berkata: Apakah perkara itu (kami ingin mengetahuinya) wahai Rasulullah! Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Zikir kepada Allah Azza Wa Jalla.”
Riwayat Ahmad (27102). Syeikh Syu’aib al-Arna’uth menilai sanad hadith ini adalah sahih.
Antara Zikir Perlahan dan Lantang, yang Manakah Lebih Afdhal?
Firman Allah SWT:
فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ
Maksudnya: “Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).”
Surah al-Baqarah: 152
Al-Mawardi mentafsirkan maksud ayat ini dengan dua pendapat iaitu:
- Ingatlah kamu kepada-Ku dengan bersyukur, nescaya Aku ingat keadaanmu dengan pemberian nikmat.
- Ingatlah kamu kepada-Ku dengan menerima segala arahan-Ku, nescaya Aku ingat kepadamu dengan pembalasan yang baik. (Lihat al-Nukat wa al-‘Uyun, 1/208)
- Ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT akan mengingati hamba-Nya dengan syarat hamba ingat kepada-Nya.
Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (1/465) berkata: Daripada Sa’id bin Jubair, katanya: (Maksud ayat itu adalah), Ingatlah kepada-Ku dengan mentaati-Ku, nescaya aku mengingati kamu dengan keampunan-Ku. Dalam riwayat yang lain: Dengan rahmat-Ku.
Ibn ‘Abbas R.A berkata: (Maksud ayat tersebut adalah) Allah SWT ingat kepadamu lebih besar berbanding kamu mengingat-Nya.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman:
أَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي ، فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ في نَفْسِي ، وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلأٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلأٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Aku bersama hamba-Ku jika dia mengingati-Ku. Barangsiapa mengingati-Ku dalam dirinya, maka Aku ingat dia dalam diri-Ku. Barang siapa mengingat-Ku dalam kumpulan orang, Aku mengingatnya dalam kumpulan yang lebih baik darinya.”
Riwayat al-Bukhari (7405), (7505), (7537) dan Muslim (2675)
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman:
يَا ابْنَ آدَمَ، إِنْ ذَكَرْتَنِي فِي نَفْسِكَ ذَكَرْتُكَ فِي نَفْسِي، وَإِنْ ذَكَرْتَنِي فِي مَلَأٍ ، ذَكَرْتُكَ فِي مَلَأٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ وَإِنْ دَنَوْتَ مِنِّي شِبْرًا دَنَوْتُ مِنْكَ ذِرَاعًا، وَإِنْ دَنَوْتَ مِنِّي ذِرَاعًا دَنَوْتُ مِنْكَ بَاعًا، وَإِنْ أَتَيْتَنِي تَمْشِي أَتَيْتُكَ أُهَرْوِلُ
Maksudnya: “Wahai anak Adam, jika engkau mengingat-Ku dalam dirimu maka Aku mengingatmu dalam diri-Ku, jika engkau mengingatKu dalam kelompok maka Aku mengingatmu dalam kelompok yang lebih baik darinya. Jika engkau mendekati-Ku sejengkal, nescaya Aku akan mendekatimu sehasta. Apabila engkau mendekati-Ku sehasta, nescaya Aku akan mendekatimu sedepa. Apabila engkau datang kepadaKu dalam keadaan berjalan, nescaya Aku akan datang kepadamu dengan berlari.”
Riwayat Imam Ahmad (12405)
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا
وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.”
(Surah al-Ahzab: 41-42)
Zikir pada bahasa memberi makna ingat atau sebut. Justeru ulama membahagikan zikir kepada tiga:
- Zikir hati, ‘ذكر القلب’ (dengan mengingat).
- Zikir lidah, ‘ذكر اللسان’ (dengan menyebut).
- Zikir hati dan lidah, ‘ذكر القلب واللسان’ (mengingat dan menyebut).
Zikir yang paling afdhal ialah zikir dengan hati dan lidah. Ia menjadi lebih afdhal jika disertakan dengan khusyuk dan ingatan kepada Allah SWT sehingga melahirkan getaran badan dan tama’ninah hati kerana keagungan dan kebesaran Allah SWT. Berkenaan zikir sama ada kuat atau perlahan thabit dalam perbuatan Nabi SAW.
Walaupun begitu, meraikan keadaan dan tempat adalah wajar. Dengan ibadat yang pelbagai dilakukan dalam masjid seperti seorang yang sedang solat boleh menumpukan kekusyukan dan orang yang berzikir memperlahan sedikit suara dengan menghadirkan hati adalah lebih afdhal.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 31 Mac 2022 bersamaan 28 Syaaban 1443H