#816: Pelihara Anjing

Soalan

Apakah  hukum memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan (pets)?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Anjing

Anjing menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud binatang yang menyalak sama ada yang liar ataupun yang dipelihara untuk menjaga rumah dan sebagainya.[1] Anjing adalah haiwan yang paling digemari oleh pencinta haiwan. Selain taat dan patuh, ia juga merupakan seorang haiwan yang setia.

Anjing ialah haiwan kesayangan yang popular di seluruh dunia. Sekurang-kurangnya 10,000 tahun dahulu, anjing menjadi haiwan yang pertama dijinakkan. Sepanjang masa tersebut, pembiak baka telah membiakkan beratus-ratus baka anjing untuk melakukan pelbagai tugas, dijadikan teman dan untuk menyenangkan mata manusia.

Kebanyakan ahli sains percaya bahawa manusia prasejarah mulanya menghargai anjing sebagai anjing pengawal. Kemudian, manusia sedar bahawa anjing juga boleh digunakan untuk menggembala dan memburu haiwan-haiwan lain. Dalam masa ribuan tahun, baka seperti collie, comondor dan puli dibiakkan untuk menggembala biri-biri, kambing dan lembu. Hound, pointer retrievar, setter spaniel, dan terrier dibiakkan untuk pelbagai jenis pemburuan.

Kecerdikan, kesetiaan dan kebolehan mengesan menjadikan anjing berguna kepada penggembala dan pemburu, dan juga untuk peranan-peranan lain. Misalnya, polis menggunakan anjing untuk mengesan penjenayah dan untuk menghidu dadah dan bahan letupan yang disembunyikan.

Kesemua baka anjing menjadi teman baik kepada manusia, dan banyak baka, termasuk anjing kecil, dibiakkan khususnya untuk tujuan ini. Anjing sebagai teman menyumbang kepada kesejahteraan seseorang. Kajian saintifik telah menunjukkan bahawa menepuk-nepuk anjing memperlahankan kadar denyutan jantung dan menurunkan tekanan darah orang yang melakukannya.

Anjing membantu orang cacat, memandu orang buta dan berfungsi sebagai “telinga” bagi orang pekak. Di samping itu, anjing juga menaikkan semangat pesakit di hospital dan di rumah penjagaan. Penyelidik perubatan juga menggunakan anjing dalam eksperimen untuk membantu menghasilkan ubat baru dan teknik pembedahan. Walau bagaimanapun, sesetengah orang menganggap bahawa menggunakan anjing atau haiwan-haiwan lain dalam eksperimen makmal adalah kejam.

Anjing juga menghiburkan manusia berabad abad lamanya. Pada zaman dahulu, penonton suka membuat pertaruhan dalam perlawanan sesama anjing dan anjing dengan haiwan-haiwan lain seperti beruang, lembu jantan atau singa. Kini banyak negara mengharamkan perlawanan demikian. Hari ini, pertandingan seperti lumba anjing, pertandingan lapangan dan uji kesetiaan menarik ramai penonton. Anjing juga membuat persembahan di sarkas, di atas pentas, dalam filem dan televisyen.

Sesetengah baka anjing mempunyai rupa yang luar biasa. Misalnya, anjing tanpa bulu Mexico tidak mempunyai bulu di badannya melainkan beberapa jambak bulu di atas kepalanya. Kulit shar pei China adalah kendur dan berkedut. Kedutan ini begitu tebal hinggakan ia kadangkala menutupi mata anjing ini. Chow-chow mempunyai lidah berwarna biru hitam. Basenji adalah satu-satunya anjing yang tidak boleh menyalak, walaupun ia boleh mengeluarkan bunyi yodel.

Anjing tergolong dalam famili Canidae, haiwan pemakan daging yang juga termasuk serigala, koyote, rubah, dan jackal. Anjing menyerupai haiwan-haiwan ini dari segi struktur badan dan kelakuan. Dingo di Australia dan haiwan tertentu yang tinggal di bahagian-bahagian lain di dunia, biasanya dirujuk sebagai anjing liar.[2]

Hukum Memelihara Anjing Sebagai Haiwan Peliharaan (Pets)

Sesetengah orang Islam mungkin menganggap anjing adalah haiwan yang paling menjijikkan selepas babi, dan mungkin bagi sesetengah orang ia menakutkan.  Bahkan terdapat ancaman bagi sesiapa yang memelihara anjing tanpa sebab. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, katanya: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنِ اقْتَنَى كَلْبًا إِلَّا كَلْبًا ضَارِيًا لِصَيْدٍ أَوْ كَلْبَ مَاشِيَةٍ، فَإِنَّهُ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِهِ كُلَّ يَوْمٍ قِيرَاطَانِ

Maksudnya:Sesiapa yang memelihara anjing, kecuali anjing (yang terlatih) untuk memburu atau anjing untuk menjaga haiwan ternakan, kerana sesungguhnya akan berkuranglah daripada pahalanya setiap hari sebanyak dua qirat.”[3]

Bahkan, Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah orang yang mempunyai anjing di dalamnya sebagaimana  yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَدْخُلُ المَلاَئِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ، وَلاَ صُورَةُ تَمَاثِيلَ

Maksudnya:Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing dan juga gambar patung.” [4]

Hadith-hadith ini menunjukkan bahawa memelihara anjing adalah haram, kecuali yang dikecualikan oleh Rasulullah SAW. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan kata Ibn ‘Abd al-Barr, katanya: Hadith ini menunjukkan bahawa dibolehkan memelihara anjing untuk berburu dan menggembala ternakan, dan juga untuk bertani.

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin berkata dalam Syarh Riyadh al-Solihin[5]: “Berkenaan dengan memelihara anjing, ini adalah haram dan sebenarnya adalah dosa besar, kerana sesiapa yang memelihara anjing, kecuali dengan tujuan yang telah dikecualikan, akan dikurangkan pahalanya dua qirat setiap hari. Dengan kebijaksanaan Allah, Dia menjadikan bagi setiap yang buruk untuk mereka yang buruk. Dikatakan bahawa orang-orang kafir, Yahudi, Nasrani dan komunis di timur dan barat semuanya memelihara anjing, sedangkan Allah SWT melarangnya. Setiap mereke membawa anjing bersamanya dan membersihkannya setiap hari dengan sabun dan agen pembersih lain. Tetapi walaupun dia membersihkannya dengan keseluruhan air laut di dunia ini sekalipun dan dengan semua sabun di dunia ini, ia tetap tidak akan dapat dibersihkan, kerana kenajisan anjing adalah fitrah. “

Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya al-Halal wa al-Haram fi Islam menjelaskan bahawa antara yang dilarang Nabi SAW ialah memelihara anjing di rumah tanpa ada alasan dan keperluan.  Larangan ini tidak lain adalah untuk anjing yang dimiliki dan dipelihara, bukan untuk keperluan atau manfaat tertentu. Sebagaimana sebahagian ahli feqah berpendapat bahawa larangan memelihara anjing tersebut adalah makruh bukan haram, kecuali pemeliharaan anjing tersebut untuk pemburu, penjaga ternakan, penjaga kebun dan seumpamanya, maka ia dibolehkan.

Rasulullah SAW hanya membuat tiga pengecualian terhadap larangan memelihara anjing: berburu, menjaga ternakan dan menjaga tanaman. Sebahagian ulama berpandangan bahawa tidak boleh memelihara anjing dengan alasan lain selain daripada tiga perkara ini.

Bahkan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 4/2017 yang bersidang pada 14-15 Ogos 2017 telah membincangkan mengenai Hukum  Pemeliharaan Anjing  Sebagai Haiwan Peliharaan Oleh Orang Islam. Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut:[6]

Mesyuarat memutuskan bahawa hukum memelihara anjing di dalam rumah oleh orang  Islam sebagai haiwan peliharaan (pets) adalah haram melainkan untuk tujuan muktabar yang termasuk dalam keperluan dan kemaslahatan. Antaranya adalah untuk tujuan:

  • Perburuan; anjing yang digunakan bukanlah anjing “comel” dijadikan “teman” untuk bermanja, tetapi anjing yang garang atau tahan lasak dan sesuai dijadikan untuk berburu. Walau bagaimanapun, Islam hanya membenarkan perburuan adalah untuk mendapatkan makanan, bukan memburu kerana sukan, suka-suka dan berseronok-seronok kerana Islam tidak membenarkan haiwan dibunuh atau diseksa atau diusir dari tempat yang lazim mereka tinggal, hanya untuk suka-suka;
  • Anjing pemandu jalan; untuk dijadikan anjing pemandu jalan seperti untuk orang buta sekiranya amat memerlukan dan tiada orang lain yang dapat membantu;
  • Keselamatan; untuk tujuan keselamatan pihak berkuasa seperti Polis dan Kastam, dan juga untuk mengawal keselamatan di sekitar rumah;
  • Membantu penternakan haiwan.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa haram bagi orang Islam untuk memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan. Hal ini kerana terdapat larangan yang jelas berkenaan larangan tersebut. Namun begitu, terdapat beberapa pengecualian yang diberikan oleh Islam jika ingin memelihara anjing, iaitu dengan tujuan keselamatan dan manfaat seperti berburu, menjaga haiwan ternakan dan menjaga tanaman, dan bukan sebagai haiwan peliharaan di dalam rumah, maka ia dibenarkan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 31 Mac 2022 bersamaan 28 Syaaban 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

 

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=anjing

[2] Lihat Ensiklopedia Dunia, 1/622

[3] Riwayat al-Bukhari (5481) dan Muslim (1574)

[4] Riwayat al-Bukhari (3225)

[5] Lihat Syarh Riyadh al-Solihin, 4/241

[6] Lihat https://mufti.penang.gov.my/index.php/efatwa-2/325-pemeliharaan-anjing-sebagai-haiwan-peliharaan-oleh-orang-islam. Lihat juga http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/3