Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan
Apakah hukum menjadikan anjing sebagai pengawal rumah?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Anjing menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud binatang yang menyalak sama ada yang liar ataupun yang dipelihara untuk menjaga rumah dan sebagainya.[1] Anjing adalah haiwan yang paling digemari oleh pencinta haiwan. Selain taat dan patuh, ia juga merupakan seorang haiwan yang setia.
Anjing ialah haiwan kesayangan yang popular di seluruh dunia. Sekurang-kurangnya 10,000 tahun dahulu, anjing menjadi haiwan yang pertama dijinakkan. Sepanjang masa tersebut, pembiak baka telah membiakkan beratus-ratus baka anjing untuk melakukan pelbagai tugas, dijadikan teman dan untuk menyenangkan mata manusia.
Kebanyakan ahli sains percaya bahawa manusia prasejarah mulanya menghargai anjing sebagai anjing pengawal. Kemudian, manusia sedar bahawa anjing juga boleh digunakan untuk menggembala dan memburu haiwan-haiwan lain. Dalam masa ribuan tahun, baka seperti collie, comondor dan puli dibiakkan untuk menggembala biri-biri, kambing dan lembu. Hound, pointer retrievar, setter spaniel, dan terrier dibiakkan untuk pelbagai jenis pemburuan.
Kecerdikan, kesetiaan dan kebolehan mengesan menjadikan anjing berguna kepada penggembala dan pemburu, dan juga untuk peranan-peranan lain. Misalnya, polis menggunakan anjing untuk mengesan penjenayah dan untuk menghidu dadah dan bahan letupan yang disembunyikan.
Hukum Menjadikan Anjing Sebagai Penjaga Rumah
Terdapat ancaman daripada Rasulullah SAW bagi sesiapa yang memelihara anjing tanpa sebab. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, katanya: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:
مَنِ اقْتَنَى كَلْبًا إِلَّا كَلْبًا ضَارِيًا لِصَيْدٍ أَوْ كَلْبَ مَاشِيَةٍ، فَإِنَّهُ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِهِ كُلَّ يَوْمٍ قِيرَاطَانِ
Maksudnya: “Sesiapa yang memelihara anjing, kecuali anjing (yang terlatih) untuk memburu atau anjing untuk menjaga haiwan ternakan, kerana sesungguhnya akan berkuranglah daripada pahalanya setiap hari sebanyak dua qirat.”[2]
Hadith ini menunjukkan bahawa memelihara anjing adalah haram, kecuali yang dikecualikan oleh Rasulullah SAW. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan kata Ibn ‘Abd al-Barr, katanya: Hadith ini menunjukkan bahawa dibolehkan memelihara anjing untuk berburu dan menggembala ternakan, dan juga untuk bertani.
Rasulullah SAW hanya membuat pengecualian terhadap larangan memelihara anjing, iaitu untuk tujuan berburu, menjaga ternakan dan menjaga tanaman. Sebahagian ulama berpandangan bahawa tidak boleh memelihara anjing dengan alasan lain selain daripada perkara ini. Ada pula yang berpendapat boleh dibuat perumpamaan antara kes ini dan kes yang seumpama ini atau lebih utama daripadanya, seperti menjaga rumah, kerana jika dibenarkan memelihara anjing untuk menjaga ternakan dan tanaman, adalah lebih wajar ia dibenarkan untuk memelihara anjing untuk menjaga rumah.
Imam al-Nawawi menyatakan di dalam Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim: Adakah dibenarkan memelihara anjing untuk menjaga rumah dan seumpamanya? Terdapat dua sudut pandangan. Yang pertama adalah tidak boleh, kerana larangan yang jelas daripada hadith yang menyatakan bahawa memelihara anjing adalah haram kecuali untuk bertani, berburu dan menggembala. Pandangan yang lebih tepat adalah dibenarkan, dengan diqiyaskan dengan ketiga-tiga perkara itu, iaitu dengan mengetahui bahawa sebab yang difahami dari hadith adalah keperluan.[3]
Ini merupakan pandangan yang disahihkan oleh Imam al-Nawawi, iaitu memelihara anjing untuk menjaga rumah dibolehkan. Pandangan ini juga dinilai sahih oleh Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, katanya: “Pandangan yang tepat ialah boleh memelihara anjing untuk menjaga rumah, kerana jika dibenarkan memelihara anjing untuk mendapat manfaat daripadanya, seperti dalam kes berburu, maka memeliharanya untuk perlindungan jiwa dan nyawa adalah lebih utama. Maka, dibenarkan menjaga harta dan nyawanya dengan mengambil seekor anjing untuk mengawal dan mengelakkan bahaya di rumahnya serta bagi tujuan melindungi dirinya.[4]
Bahkan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 4/2017 yang bersidang pada 14-15 Ogos 2017 telah membincangkan mengenai Hukum Pemeliharaan Anjing Sebagai Haiwan Peliharaan Oleh Orang Islam. Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut:[5]
Mesyuarat memutuskan bahawa hukum memelihara anjing di rumah oleh orang Islam sebagai haiwan peliharaan (pets) adalah haram melainkan untuk tujuan muktabar yang termasuk dalam keperluan dan kemaslahatan. Antaranya adalah untuk tujuan:
- Perburuan; anjing yang digunakan bukanlah anjing “comel” dijadikan “teman” untuk bermanja, tetapi anjing yang garang atau tahan lasak dan sesuai dijadikan untuk berburu. Walau bagaimanapun, Islam hanya membenarkan perburuan adalah untuk mendapatkan makanan, bukan memburu kerana sukan, suka-suka dan berseronok-seronok kerana Islam tidak membenarkan haiwan dibunuh atau diseksa atau diusir dari tempat yang lazim mereka tinggal, hanya untuk suka-suka;
- Anjing pemandu jalan; untuk dijadikan anjing pemandu jalan seperti untuk orang buta sekiranya amat memerlukan dan tiada orang lain yang dapat membantu;
- Keselamatan; untuk tujuan keselamatan pihak berkuasa seperti Polis dan Kastam, dan juga untuk mengawal keselamatan di sekitar rumah;
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa menjadikan anjing sebagai pengawal rumah dibenarkan di dalam Islam sebagaimana yang ditarjihkan oleh Imam al-Nawawi sendiri. Namun perlu diingatkan, tujuan menjadikan anjing tersebut sebagai pengawal adalah dengan tujuan untuk menjaga harta dan nyawa daripada ancaman bahaya sahaja, bukan dengan tujuan untuk berseronok atau dijadikan sebagai haiwan peliharaan yang boleh dijadikan haiwan untuk bermanja dan bermain. Bahkan anjing tersebut mestilah berada di luar rumah sahaja dan tidak boleh dibawa masuk ke dalam rumah. Hal ini kerana terdapat ancaman daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
لاَ تَدْخُلُ المَلاَئِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ، وَلاَ صُورَةُ تَمَاثِيلَ
Maksudnya: “Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing dan juga gambar patung.” [6]
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 31 Mac 2022 bersamaan 28 Syaaban 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=anjing
[2] Riwayat al-Bukhari (5481) dan Muslim (1574)
[3] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim (10/340):
[4] Lihat Syarh al-Sauti li Zad al-Mustaqni’, 1/738
[5] Lihat https://mufti.penang.gov.my/index.php/efatwa-2/325-pemeliharaan-anjing-sebagai-haiwan-peliharaan-oleh-orang-islam. Lihat juga http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/3
[6] Riwayat al-Bukhari (3225)