#819: Adik Perempuan Bersentuhan dengan Abang Ipar

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah adik perempuan boleh bersentuhan dengan abang iparnya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Islam meletakkan batas-batas pergaulan yang perlu dijaga antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ﴿٣٠﴾ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.[1]

Antara batasan pergaulan yang perlu dijaga ialah tidak boleh berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi tanpa ditemani oleh mahram bagi lelaki atau perempuan tersebut. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ ‏

Maksudnya: Janganlah bersunyi-sunyian seorang lelaki dan perempuan (yang ajnabi) melainkan yang bersama-sama perempuan tersebut mahramnya.” [2]

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini menyebut bahawa apabila seorang lelaki dan perempuan yang ajnabi duduk bersama dan tiada orang yang ketiga bersama-sama mereka, maka perbuatan tersebut adalah haram dengan ijma’ para ulama’.[3]

Definisi Mahram

Dari sudut bahasa mahram  membawa makna larangan. Ibn Manzur dalam kitabnya menyebut bahawa mahram itu adalah individu-individu yang tidak boleh dinikahi.[4]Inilah maksud mahram yang dikemukakan oleh para fuqaha.

Dari sudut istilah para fuqaha’, mahram bermaksud: “Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang.”[5]

Pada perkataan “dalam bentuk al-ta’bid” membawa maksud: Ia tidak termasuk adik beradik perempuan kepada isteri. Begitu juga ibu saudara isteri dari sebelah ayah dan juga ibu saudara isteri dari sebelah ibu. Ini kerana pengharaman mereka itu dari sudut apabila dihimpunkan bersama sahaja (iaitu berkahwin dalam masa yang sama antara isteri dan ibu-ibu saudara mereka atau adik beradik perempuan mereka).

Manakala perkataan ”bukan kerana kemuliaannya” merujuk kepada isteri-isteri Nabi SAW. Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan kemuliaan mereka. Mereka diharamkan kepada keseluruhan umat dan juga ke atas para Nabi juga.

Dan perkataan “bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang” adalah seperti wanita majusi, ataupun wanita yang murtad. Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan penghalang yang boleh hilang. Maka boleh menjadi halal pada waktu yang lain (seperti apabila mereka memeluk Islam).

Penjelasan berkenaan dengan golongan yang dianggap sebagai mahram ini ada dinyatakan dalam firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: “Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [6]

Dalam ayat yang panjang ini menjelaskan berkenaan beberapa adab dan batas yang perlu dijaga dan dipelihara oleh setiap orang yang beriman sama ada lelaki atau perempuan. Antaranya ialah memelihara aurat agar tidak diperlihatkan kepada orang yang bukan mahram. Begitu juga tidak diperbolehkan untuk melihat perkara yang haram apatahlagi melakukannya sehingga melanggar batas yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Syeikh Mustafa al-Maraghi menyebut bahawa para lelaki perlulah untuk sentiasa menjaga mata mereka dari melihat perkara  haram dan jika mereka melihatnya hendaklah segera mengalihkan  kerana hikmah daripada pengharaman tersebut adalah untuk menutup perkara kejahatan dan menghalang dari melakukan maksiat dan dosa. Beliau menyebut lagi bagi wanita-wanita tidak boleh untuk memperlihatkan perhiasan yang sepatutnya mereka sembunyikan dan juga tidak boleh mendedahkan aurat kepada orang selain yang telah disebutkan.[7]

Imam al-Nawawi menyatakan dalam menghuraikan siapakah “saudara-saudara perempuan kamu”  dalam ayat di atas: “Dan saudara perempuan kamu (yang diharamkan atas kamu berkahwin dengannya) adalah setiap wanita yang diperanakkan oleh ibu bapa kamu atau salah seorang daripada mereka.”[8]

Imam al-Mawardi menukilkan kata-kata Imam al-Syafi’e yang menyebut: “Asal perkara yang menjadikan seorang wanita itu mahram adalah dua bahagian. Pertamanya adalah ansab (nasab keturunan) dan berikutnya adalah asbab (sebab-sebab), iaitu daripada pernikahan atau susuan.”

Kemudian Imam al-Mawardi menghuraikannya dengan lebih lanjut melalui katanya: Wanita yang mahram itu ada dua kategori berikut:

Pertama: Bahagian yang mana individu ini haram secara selamanya. Bahagian ini ada dua kategori pula iaitu melalui nasab serta asbab (perkahwinan dan susuan).

Kedua: Bahagian yang haram untuk dihimpunkan (dalam satu masa yang sama sahaja).[9]

Dalam kitab Nihayah al-Matlab[10] pula dijelaskan: Mahram adalah orang yang haram dikahwini dan diharamkan melakukan hubungan persetubuhan badan dengannya. Para ulama menjelaskan perkahwinan adalah akad yang menghalalkan persetubuhan, sekiranya individu yang mempunyai hubungan mahram dengan orang lain maka diharamkan berkahwin dengannya. Demikian juga diharamkan melakukan persetubuhan dengannya. Mahram terjadi melalui sebab pertalian darah, penyusuan dan persemendaan. Antara golongan yang diharamkan berkahwin dengan sebab pertalian darah ialah ibu, anak perempuan, saudara perempuan, ibu saudara dan anak saudara perempuan.[11]

Ringkasan Senarai Mahram Muabbad

Berdasarkan kenyataan di atas, kami ringkaskan di sini senarai mahram muabbad bagi lelaki dan perempuan. Bagi lelaki, mahramnya adalah seperti berikut

  • Ibu dan ke atas. Termasuklah nenek sama ada sebelah ayah atau ibu
  • Anak perempuan dan ke bawah. Termasuklah cucu perempuan
  • Saudara perempuan iaitu kakak atau adik perempuan
  • Ibu saudara sebelah ayah dan ibu
  • Anak perempuan kepada anak saudara lelaki dan perempuan.
  • Ibu tiri
  • Menantu perempuan
  • Bapa mertua
  • Anak tiri perempuan
  • Mahram disebabkan susuan termasuklah ibu susuan, adik beradik susuan dan lain-lain.

Bagi perempuan pula, mahramnya adalah seperti berikut :

  • Ayah dan ke atas termasuklah datuk sama ada sebelah ayah atau ibu
  • Anak lelaki dan ke bawah termasuklah cucu cicit lelaki dan seterusnya.
  • Saudara lelaki iaitu abang atau adik lelaki
  • Bapa saudara sebelah ayah dan ibu
  • Ana lelaki kepada adik-beradik lelaki atau perempuan iaitu anak saudara
  • Bapa tiri
  • Menantu lelaki
  • Ibu mertua
  • Anak tiri lelaki
  • Mahram disebabkan susuan termasuklah suami kepada ibu susuan, adik beradik lelaki se-susuan dan lain-lain.

Mahram-mahram ini disebut sebagai mahram muabbad iaitu haram untuk dinikahi selama-lamanya. Selain daripada senarai ini maka mereka dianggap sebagai ajnabi iaitu orang asing yang bukan mahram yang halal untuk dinikahi. Ada juga yang disebut sebagai mahram muaqqat.

Kesan daripada mahram muabbad ialah:

  • Tidak boleh dinikahi
  • Boleh bersalaman dengannya
  • Boleh bersendirian dengannya

Adapun selain dari mahram muabbad maka ianya boleh dinikahi, dan tidak boleh untuk bersentuhan mahupun bersendirian dengannya apatah lagi mendedahkan aurat.

Hukum Seseorang dengan Mahram Muaqqat (Berwaktu)

Berdasarkan kepada persoalan yang dikemukakan di atas, kami mengatakan bahawa sekiranya seorang lelaki itu berkahwin dengan seorang perempuan, maka seluruh adik beradik perempuan bagi isterinya itu, sama ada adik ipar atau kakak perempuan, adalah bukan mahram bagi lelaki tersebut. Ini membawa maksud, kakak ipar atau adik ipar perempuan adalah wanita-wanita yang termasuk dalam kategori haram (untuk dikahwini) secara muaqqat (berwaktu).

Dalam makna lain, mereka ini hanyalah haram untuk dikahwini kerana larangan yang terdapat di dalam firman Allah SWT:

وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ

Maksudnya: “Dan (janganlah) kamu menghimpunkan antara dua beradik perempuan (dalam tempoh perkahwinan yang sama).” [12]

Maka sekiranya isteri yang dikahwini tersebut meninggal dunia, maka adik beradik perempuannya tidak haram untuk beliau nikahi. Inilah yang disebutkan sebagai haram muaqqat (berwaktu).

Demikian juga keadaannya dengan seorang perempuan yang berkahwin dengan seorang lelaki. Maka seluruh adik beradik lelaki bagi suaminya itu sama ada abang ipar atau adik iparnya adalah haram muaqqat (sementara) bagi dirinya untuk dikahwini.

Antara golongan yang termasuk dalam kategori ini selain dari adik beradik lelaki bagi suami atau adik beradik perempuan bagi isteri adalah bapa saudara suami atau ibu saudara isteri, sama ada dari sebelah ayah atau ibu mereka. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يُجْمَعُ بَيْنَ الْمَرْأَةِ وَعَمَّتِهَا وَلاَ بَيْنَ الْمَرْأَةِ وَخَالَتِهَا

Maksudnya: “Tidak boleh untuk dihimpunkan (dalam satu masa yang sama) antara seorang perempuan dengan ibu saudaranya (dari sebelah ayah) dan begitu juga dengan ibu saudaranya (dari sebelah ibu).” [13]

Dengan memahami nas serta penjelasan di atas, dapat difahami bahawa mahram itu berlaku disebabkan tiga faktor iaitu nasab, susuan, atau musaharah yang mana implikasi dari hal ini menjadikan mereka itu mahram buat selamanya yang membawa kesan haram berkahwin dengan mahram, halal bersentuhan kulit, serta boleh untuk berduaan dengan mereka yang bergelar mahram tersebut.

Akan tetapi bagi yang termasuk dalam pengharaman dalam tempoh tertentu (sementara) atau disebut juga sebagai haram muaqqat dari sudut tidak boleh berkahwin dengan individu yang berada dalam kategori ini untuk tempoh yang tertentu sahaja.

Maka kesannya, dalam berhadapan dalam golongan kategori haram muaqqat ini, seseorang itu perlulah memelihara batasan aurat sama seperti bukan mahram yang lain. Tidak boleh berkhalwat (bersendirian dalam keadaan berdua) dengan mereka, tidak boleh bersentuhan kulit, dan juga boleh berkahwin dengan mereka sekiranya sudah tiada atau hilangnya sebab yang menghalang.

Penutup

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, dapat difahami bahawa seorang adik tidak menjadi mahram dengan abang iparnya selepas berkahwin dengan kakaknya. Ini bermakna, apabila seorang lelaki berkahwin maka yang menjadi mahram adalah ibu mertua dan nenek isteri sahaja. Ini berdasarkan firman Allah:

وَأُمَّهَـٰتُ نِسَآئِكُمْ

Maksudnya: “….Ibu-ibu isteri kamu…”

Adapun selain daripada itu, sama ada adik ipar atau kakak ipar tidak dikira sebagai mahram. Oleh itu, mereka tidak boleh bersalaman mahupun duduk bersendirian. Adik ipar termasuk dalam kategori yang haram dinikahi secara muaqqat bukan muabbad. Dia hanya haram untuk dinikahi untuk sementara bukannya menjadi mahram seperti mana nasab, perkahwinan dan susuan. Ini berdasarkan firman Allah:

وَأَنْ تَجْمَعُوا بين الْأُخْتَيْنِ إلَّا ما قد سَلَفَ

Maksudnya: “Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu)…[14]

Ayat ini menyebutkan tentang larangan untuk berkahwin dengan dua beradik sekaligus. Al-Khatib al-Syarbini menyebut jika ini dilakukan maka akan menyebabkan keberantakan di dalam hubungan adik beradik.[15]

Ini bermakna apabila kakaknya meninggal dunia atau diceraikan, si lelaki tadi boleh mengahwini adiknya. Imam Al-Nawawi menyebut: “Jika seorang lelaki menceraikan isterinya dengan talak bain maka dia boleh menikahi adik iparnya dalam iddah adapun jika cerai dengan talak raj’I maka perlu tunggu habis iddah sebelum menikahi adik iparnya.”[16]

Hal ini berbeza dengan mahram muabbad yang haram untuk dinikahi selama-lamanya. Oleh kerana itu,adik ipar tidak boleh bersalaman dengan abang iparnya apatahnya lagi bersentuhan antara satu sama lain.

Justeru, adik perempuan tidak boleh bersentuhan dengan abang iparnya selepas berkahwin dengan kakaknya. Hal ini kerana adik perempuan kepada isteri dianggap sebagai ajnabi bukannya mahram.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 31 Mac 2022 bersamaan 28 Syaaban 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

 

[1] (Surah al-Nur: 30-31)

[2] Riwayat Muslim (1341)

[3] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/109

[4] Lihat Lisan al-Arab, 12/119

[5] Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 114

[6] (Surah al-Nisa’: 23)

[7] Lihat Tafsir al-Maraghi, 18/97

[8] Lihat Raudhah al-Talibin, 7/108

[9] Lihat al-Hawi al-Kabir, 9/196

[10] 12/222

[11] Lihat Nihayah al-Matlab12/222

[12] (Surah al-Nisa’: 23)

[13] Riwayat al-Nasaie (3288)

[14] (Surah al-Nisa’ : 23)

[15] Lihat Al-Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja’, 2/81

[16] Lihat Raudhah al-Talibin, 7/117