#822: Memakan Vikuna

Soalan:        

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum memakan daging vikuna? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”[1]

Ayat dia atas mengandungi peringatan buat orang beriman agar tidak mengharamkan apa-apa yang baik, yang telah Allah SWT halalkan untuk mereka yang terdiri daripada makanan, minuman dan menikahi perempuan sehingga mempersempitkan apa yang telah Allah SWT luaskan untuk mereka. Selain itu, ayat ini juga mengingatkan mereka agar jangan melampaui batas-batas yang telah Allah SWT haramkan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang melampaui batas.[2]

Definisi Vikuna

Vikuna ialah anggota yang paling kecil dalam famili unta, Camelidae. Ia adalah Vicugna vicugna. la hidup di Pergunungan Andes di Bolivia, Chile dan Peru, di kawasan setinggi 3500 meter hingga 5500 meter dari aras laut. Biasanya tempat tinggal vikuña berhampiran dengan garis salji. Vikuna dan guanako adalah dua anggota liar dalam famili unta yang hidup di Amerika Selatan. Dua lagi, iaitu alpaka dan llama, adalah haiwan bela jinak. Keempat-empat haiwan ini tidak mempunyai bonggol. Vikuna tingginya 70 sentimeter hingga 90 sentimeter pada paras bahu dan beratnya 35 kilogram hingga 65 kilogram. Vikuna memakan rumput. la biasanya hidup dalam kawasan yang terdiri daripada seekor vikuna jantan dan beberapa vikuna betina. Vikuna jantan mempertahankan wilayah tertentu daripada vikuna jantan yang lain.

Vikuna mempunyai bulu yang lebih halus daripada lain-lain haiwan berbulu. Seekor vikuna mengeluarkan kira-kira 115 gram bulu setahun. Bahagian atas badannya berwarna kuning kemerahan hingga perang gelap atau perang kemerahan. Bahagian perut dan kaki bahagian bawahnya berwarna putih. Bulunya tumbuh sehingga ia terjuntai di bawah rusuk dan lutut. Hanya bulu di bahagian dalam yang digunakan. Bulu ini terutamanya digunakan untuk membuat worsted (kain bulu yang halus teksturnya) gred tinggi. Vikuna dibunuh terlalu banyak untuk bulunya hinggakan, spesies ini jarang-jarang ditemui menjelang tahun 1960-an. Undang-undang Peru kini melindungi haiwan ini. Orang Asli Inca purba melindungi vikuna dan memburunya hanya sekali dalam masa empat tahun. Hanya kerabat diraja boleh menggunakan bulu haiwan ini.[3]

Gambar di atas: Vikuna

Hukum memakan vikuna

Mengenai hal ini, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan darat itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”[4]

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.[5]

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”[6]

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”[7]

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya.[8] Tambahan lagi, kenyataan ini disokong dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.”[9]

Oleh itu, kami berpendapat bahawa daging vikuna adalah halal dimakan. Lebih-lebih lagi, vikuna juga bukanlah tergolong dalam kategori haiwan pemangsa yang memburu mangsanya sebagai makanan seperti singa, memerang dan lain-lain. Akan tetapi vikuna merupakan haiwan herbivor yang hanya makan rumput dan pokok renek.

Selain itu, vikuna dilihat hampir kepada unta dan termasuk dalam keluarga unta. Bahkan disebutkan bahawa ia merupakan salah satu daripada jenis unta liar. Justeru, setiap haiwan liar yang tidak mempunyai taring yang digunakan untuk memburu haiwan lain sebagai makanannya, dan bukan daripada jenis haiwan yang melata (yakni hasyarat), dan haiwan tersebut adalah seperti antelop, lembu liar, keldai liar, unta liar. Jenis-jenis haiwan seperti ini adalah halal menurut ijmak (kesepakatan) kaum Muslimin kerana ia termasuk dalam makanan yang baik-baik.[10]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa daging vikuna adalah halal untuk dimakan. Hal ini kerana ia termasuk dalam jenis unta liar dan unta liar adalah halal berdasarkan ijmak kaum Muslimin. Lebih-lebih lagi, ia bukanlah haiwan yang memiliki taring yang berburu bagi mendapatkan makanannya, tetapi termasuk dalam jenis haiwan herbivor yang hanya memakan rumput, jerami dan seumpamanya. Oleh itu, ia termasuk dalam makanan yang baik-baik.

Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya:Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.[11]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 31 Mac 2022 bersamaan 28 Syaaban 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

 

[1] Surah al-Maidah: 87

[2] Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 122

[3] Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 22/390-391.

[4] Surah al-Ma’idah: 1

[5] Surah al-Baqarah: 29

[6] Surah al-Jathiyah: 13

[7] Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102).

[8] Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2.

[9] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125.

[10] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/134.

[11] Surah al-A‘raf: 157