#840: Guru Mengambil Hadiah Daripada Murid

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seorang guru mengambil hadiah daripada muridnya? Benarkah guru tidak dibenarkan menerima hadiah daripada muridnya, seperti yang biasa dilakukan pada hari guru dan seumpamanya? Ada yang mendakwa bahawa ia seperti rasuah. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pengertian Hadiah

Hadiah berasal daripada perkataan bahasa Arab, yang bermaksud pemberian seseorang yang sah memberi ketika dia masih hidup, secara tunai tanpa ada sebarang syarat dan mengharapkan balasan.[1]

Dari sudut bahasa, hadiah ialah harta yang diserahkan atau diberikan kepada seseorang sebagai tanda penghormatan kepadanya. Manakala dari sudut istilah, ulama’ mazhab Syafi’i menyebut bahawa hadiah ialah pemilikan sesuatu benda tanpa berlakunya pertukaran dan berlakunya perpindahan (barang tersebut) kepada orang yang dihadiahkan sebagai tanda penghormatan.[2]

Dalam erti kata yang lain, istilah hadiah mengikut pandangan Syafi’eyyah adalah suatu pemberian barang yang dimilikinya tanpa memerlukan penukaran barang yang lain dengan tujuan memuliakannya.

Daripada Abu Hurairah R.A sabda Nabi SAW:

تَهَادُوا تَحَابُّوا

Maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya, kamu akan saling mengasihi dan mencintai.”[3]

Selain itu, Rasulullah SAW juga akan membalas hadiah yang diberikan kepadanya. Aisyah R.Anha meriwayatkan, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْبَلُ الْهَدِيَّةَ وَيُثِيْبُ عَلَيْهَا.

Maksudnya: “Rasulullah SAW menerima hadiah dan Baginda membalasnya.”[4]

Pemberian hadiah itu sebaiknya diutamakan kepada jiran dan juga saudara-mara yang terdekat bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim. Firman Allah SWT:

وَآتَى الْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينَ

Maksudnya: “Dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin.”[5]

Dari sudut hukumnya, para fuqaha’ bersepakat bahawa pensyariatan hadiah adalah disunatkan pada asalnya, melainkan sekiranya kepentingan yang mendatang.[6]

Hadiah merupakan salah satu cabang daripada hibah, oleh itu syarat serta hukumnya juga merangkumi syarat dan hukum hibah iaitu:

  • Pemberi dan penerima hadiah
  • Barang yang diberi
  • Lafaz (al-Sighah)[7]

Selain itu, turut dijelaskan bahawa pembahagian hadiah terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu:

  • Halal di antara keduanya iaitu pemberi dan penerima hadiah bertujuan untuk bersilaturrahim.
  • Haram di antara keduanya seperti pemberian bertujuan melakukan kezaliman.
  • Diharamkan kepada penerima hadiah sahaja sekiranya pemberian hadiah itu bertujuan untuk menggelakkan kezalimannya ke atas diri kita.
  • Selain itu, pemberian hadiah disebabkan rasa takut disebabkan kemudharatan adalah halal bagi pemberi dan haram bagi penerima.[8]

Pengertian Rasuah

Menurut Kamus Dewan, rasuah ialah pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok atau menyuap). Perkataan rasuah berasal daripada bahasa Arab al-risywah (الرِّشْوَةُ). Al-Fayyumi berkata: al-Risywah (الرِّشْوَةُ) adalah sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada hakim atau orang lain, agar hakim itu memenangkannya, atau agar hakim itu memutuskan hukum sesuai dengan apa yang diinginkannya.[9]

Ibn al-Athir pula menyebut: al-Risywah (الرِّشْوَةُ) adalah sesuatu yang menghubungkan kepada keperluan/hajat dengan cara pujukan.[10]

Rasuah juga dijelaskan sebagai: “Sebarang pemberian bertujuan memalsukan kebenaran dan membenarkan kepalsuan.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/220)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr RA, Rasulullah SAW bersabda:

لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي

Maksudnya: “Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.”[11]

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut: “Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah. Iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya.”[12]

Di negara ini, dari segi undang-undang semua perkataan “memberi dan menerima suapan” adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah.

Kebiasaannya, rasuah dijadikan sebagai salah satu jalan pintas seseorang untuk mengecapi kehidupan mewah atau dengan erti kata lain mahu menjadi kaya dalam masa singkat. Kebiasaannya orang yang melakukan budaya ini tidak memikirkan kesan buruk yang akan terjadi, sebaliknya mereka hanya memikirkan keuntungan kepada diri mereka. Sebagai umat Islam, keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT harus dititikberatkan dalam apa jua urusan. Islam sangat melarang umatnya daripada mengamalkan budaya ini. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”[13]

Menurut Ibnu Kathir dalam tafsirnya, Ali bin Abi Thalhah meriwayatkan, dari Ibnu Abbas, bahawa hal ini berkenaan dengan seseorang yang mempunyai tanggungan harta kekayaan tetapi tidak ada saksi terhadapnya dalam hal ini, lalu ia mengingkari harta itu dan mempersengketakannya kepada penguasa, sementara itu ia sendiri mengetahui bahawa hart itu bukan menjadi haknya dan mengetahui bahawa ia berdosa, memakan barang haram. Demikian diriwayatkan dari Mujahid, Sa’id bin Jubair, Ikrimah, Hasan al-Basri, Qatadah, as-Suddi, Muqatil bin  Hayyan dan Abdur Rahman bin Zaid bin Aslam, mereka semua mengatakan, “Janganlah engkau bersengketa sedang engkau mengetahui bahawa engkau zalim.”[14]

Al-Sobuni berkata: “Janganlah sebahagian kamu memakan sebahagian harta yang lain dengan cara yang tidak dihalalkan oleh Allah seperti kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim.”[15]

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.[16]

Menurut undang -undang Malaysia yang terkandung dalam Seksyen 3(a), (b) dan 4(a)(b), Akta Pencegahan Rasuah 1961 (Pindaan 1971) mentafsirkan rasuah sebagai: “menerima atau memberi apa-apa suapan sebagai dorongan, upah atau galakkan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan atau untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan yang ada hubungan dengan prinsipalnya.” Manakala suapan pula, menurut Seksyen 2, Akta Pencegahan Rasuah 1997 ialah; “Wang, derma, pinjaman, hadiah, cagaran beharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta sama ada alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat seumpamanya.”

Penutup

Berdasarkan keterangan di atas, pemberian dan penerimaan hadiah itu mestilah bertujuan untuk kebaikan dan mengeratkan silaturrahim. Maka, perbuatan seperti ini adalah digalakkan seperti mana yang dilakukan pada hari guru bagi menghormati dan memuliakan para guru.

Akan tetapi, sekiranya pemberian hadiah itu mengandungi unsur-unsur yang dilarang syara’, seperti paksaan dan rasuah bertujuan untuk mendapat manfaat yang tertentu maka ia diharamkan.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 3 April 2022 bersamaan 1 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] Lihat Aqrab al-Masalik, 5/342

[2] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/252

[3] Riwayat al-Baihaqi (6/169), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (7240), dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (594). Hadith ini isnadnya dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir (3/1047)

[4] Riwayat Abu Daud (3536). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan isnadnya hasan.

[5] (Surah al-Baqarah: 177)

[6] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/255

[7] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/122

[8] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/258

[9] Lihat al-Misbah al-Munir fi Gharib al-Syarh al-Kabir, 3/411

[10] Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athr, 2/226

[11] Riwayat Ahmad (6984) dan Ibnu Majah (2313)

[12] Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 627

[13](Surah al-Baqarah: 188)

[14] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/521

[15] Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/112

[16] Lihat portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pautan berikut: http://www.sprm.gov.my/index.php/pendidikan/kenali-rasuah . Diakses pada 21 April 2019.