#843: Status Wudhu’ Apabila Tidur

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah wudhu’ batal disebabkan tidur?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pengertian Wudhu’

Dari segi bahasa, wudhu’ ialah nama bagi sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu. Wudhu’ diambil dari perkataan (الوضاءة) iaitu kebersihan dan kesegaran.

Manakala dari segi syarak, wudhu’ merupakan penggunaan air bagi membasuh anggota-anggota yang dikhususkan. Dinamakan wudhu’ kerana menyucikan dan menyegarkan. Terdapat juga syarat, fardhu serta sunatnya yang harus disempurnakan.[1]

Secara lebih jelas, wudhu’ bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu.[2]

Pensyariatan Wudhu’

Allah SWT mensyari’atkan wuduk bagi mengangkat hadas bagi seseorang yang ingin melaksanakan ibadah yang tertentu seperti memegang mushaf al-Quran, solat, tawaf dan seumpamanya. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ ۚ وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib. [3]

Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa terdapat banyak persoalan hukum (yang dapat dikeluarkan) daripada ayat ini. Antaranya ialah perintah mendirikan solat, perintah untuk berniat bagi mengerjakan solat, juga disyaratkan untuk bersuci (daripada hadas) bagi sah solat, juga bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain.[4]

Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya bahawa kewajipan mengambil wuduk adalah ketika hendak mendirikan solat pada masa yang sama dalam keadaan berhadas.[5]

Di samping itu, Rasulullah SAW juga menganjurkan umatnya supaya mengambil wuduk pada situasi bukan ibadah seperti untuk tidur, makan, berada dalam keadaan marah dan sebagainya. Hal ini disebutkan Syeikh Abdullah Ibn Abd al-Rahman Bafadil al-Hadramiy di dalam kitab al-Muqaddimah al-Hadramiyyah, dengan berkata:

يُسْتَحَبُّ الْوضُوءُ مِن الفَصْد والحَجَامَةِ والرُعَافِ وَالنُّعَاس وَالنَّوْمِ قَاعِدًا مُمكنا مَقْعَدَته والقَيْء وَالقهقهة فِي الصَّلَاة وَأَكْل مَا مَسَّتْهُ النَّار وَأَكْل لَحْم الْجَزُور وَالشَّكّ فِي الْحَدَث وَمِن الْغَيْبَة والنميمة وَالْكذب والشتم وَالْكَلَام الْقَبِيح وَالْغَضَب ولإرادة النّوم ولقراءة الْقُرْآن والْحَدِيث وَالذكر وَالْجُلُوس فِي الْمَسْجِد والمرور فِيهِ ودراسة الْعلم وزيارة الْقُبُور وَمن حمل الْمَيِّت ومسه

Maksudnya: Bahawa disunatkan untuk mengambil wuduk bagi sesiapa yang berbekam, hidung berdarah, mengantuk, tidur yang tetap punggungnya, muntah, batuk di dalam solat, memakan sesuatu yang dibakar dengan api, memakan daging unta, syak tentang hadas, ghibah, mengumpat, berdusta, mengeji orang lain, mengungkap perkataan yang teruk, marah, ingin tidur, membaca al-Quran dan hadith, berzikir, duduk di dalam masjid, melintasi masjid, mempelajari ilmu, menziarahi kubur, mengusung mayat dan menyentuhnya.[6]

Begitu juga dalam satu hadith yang diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Azib RAnhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ، فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ، ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الأَيْمَنِ

Maksudnya: “Apabila kamu pergi ke tempat tidur kamu, maka hendaklah kamu berwuduk seperti wuduk kamu untuk mendirikan solat, kemudian berbaringlah di lambung sebelah kananmu.” [7]

Perkara-Perkara yang Membatalkan Wuduk

Pada asasnya, terdapat lima perkara yang membatalkan wudhu’ sepertimana dijelaskan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji [8], iaitu:

  1. Keluar sesuatu daripada salah satu saluran qubul dan dubur kencing, tahi, darah, kentut dan lain-lain.
  2. Tidur yang tidak tetap. Maksud ‘tetap’ di sini ialah duduk dalam keadaan punggung bertaup rapat dengan lantai manakala maksud tidak tetap pula ialah terdapat rongga di antara punggung dan lantai.
  3. Hilang akal disebabkan sama ada mabuk, pitam, sakit atau gila.
  4. Seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain tanpa berlapik dan perbuatan itu membatalkan wuduk kedua-duanya. Maksud perempuan lain ialah perempuan yang halal berkahwin.
  5. Menyentuh kemaluan manusia, sama ada diri sendiri atau orang lain, sama ada qubul atau dubur dengan tapak tangan dan perut-perut jari tanpa berlapik.

Selain itu, dijelaskan juga bahawa segala sesuatu yang keluar dari saluran selain daripada saluran qubul dan dubur, jika ia bukan najis, maka tidak dianggap sebagai pembatal wuduk menurut kesepakatan para ulama.[9]

Status Wudhu’ Apabila Tidur

Dalam menjawab persoalan di atas, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh [10]:

Para ulama berselisih pendapat tentang keadaan tidur yang menjadi sebab terbatalnya wuduk. Imam al-Nawawi menyebutnya di dalam kitab Syarah Muslim [11]. Kita memilih dua di antaranya yang hampir sama dan tidak terdapat pertentangan kecuali dalam menentukan kadar tidur yang dianggap sebagai tanda kepada keluarnya angin. Kedua-duanya adalah seperti berikut:

Pertama: Pendapat ulama mazhab Hanafi dan Syafie: Tidur yang membatalkan wuduk ialah tidur yang tidak rapat papan punggung ke tempat duduk atau lantai, atau tidur dalam keadaan mengiring dan seumpamanya itu boleh menyebabkan longlai kesemua sendi. Oleh itu, jika dia tidur dalam keadaan rapat papan punggungnya ke tempat duduk seperti tanah dan belakang binatang, maka wuduknya tidak terbatal.

Sekiranya dia bersandar kepada sesuatu, jika dibuangkannya sudah tentu dia akan jatuh dan tidak pula rapat papan punggungnya ke tempat duduknya, maka wuduknya terbatal menurut pendapat ulama mazhab Hanafi, kerana kesemua anggota menjadi longlai dengan sepenuhnya secara menyandar begini. Tetapi, menurut mazhab Syafie, wuduk tidak akan terbatal jika papan punggungnya rapat ke tempat duduknya kerana pada ketika ini akan terselamat dari terkeluar sesuatu. Dengan itu, hukum dalam kedua-dua mazhab itu adalah satu.

Wuduk tidak akan terbatal menurut ulama mazhab Hanafi dengan sebab tidur dalam keadaan berdiri, rukuk dan sujud dalam sembahyang dan selainnya kerana kemampuan dia menahan masih ada, jika tidak ada, maka dia akan jatuh. Dengan sebab itu, longlainya anggota tidak sepenuhnya berlaku. Hujah mereka berdasarkan kepada beberapa hadis, antaranya:

لَيْسَ عَلَى مَنْ نَامَ سَاجِدًا وُضُوْءٌ، حَتَّى يَضْطَجِعَ، فَإِنَّهُ إِذَا اضْطَجَعَ، اِسْتَرْخَتْ مَفَاصِلُهُ

Maksudnya: “Tidak diwajibkan wuduk ke atas orang yang tidur dalam keadaan sujud sehinggalah ia berubah kepada keadaan mengiring kerana apabila ia mengiring, maka longlailah segala sendinya.[12]

Dalam riwayat yang lain dinyatakan:

لاَ وُضُوْءَ عَلَى مَنْ نَامَ قَاعِداً، إِنَّمَا الْوُضُوْءُ، عَلَى مَنْ نَامَ مُضْطَجِعاً، فَإِنَّ مَنْ نَامَ مُضْطَجِعاً اِسْتَرْخَتْ مَفَاصِلُهُ

Maksudnya: “Tidak diwajibkan wuduk ke atas orang yang tidur dalam keadaan duduk, tetapi wuduk diwajibkan ke atas orang yang tidur dalam keadaan mengiring kerana orang yang tidur dalam keadaan mengiring, segala sendinya menjadi longlai.[13]

Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَجِبُ الْوُضُوْءُ عَلَى مَنْ نَامَ جَالِساً أَوْ قَائِماً أَوْ سَاجِداً حَتَّى يَضَعَ جَنْبَهُ

Maksudnya: “Wuduk tidak diwajibkan ke atas orang yang tidur dalam keadaan duduk, berdiri atau sujud sehinggalah dia mengiring.[14]

Antara hadis daripada Anas bin Malik RA berkata:

كَانَ أَصْحَابُ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْتَظِرُوْنَ اَلْعِشَاءَ، فَيَنَامُوْنَ قُعُوْداً، ثُمَّ يُصَلُّوْنَ، وَلاَ يَتَوَضَّؤُوْنَ

Maksudnya: “Para sahabat Rasulullah SAW menunggu untuk sembahyang Isyak, lalu mereka terlena sambil duduk, kemudian mereka bangun menunaikan sembahyang tanpa wuduk.[15]

Hadis ini menunjukkan bahawa tidur seketika tidak membatalkan wuduk. Antaranya juga hadis riwayat Amru bin Syu’aib daripada bapanya daripada datuknya bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ نَامَ جَالِسًا فَلاَ وُضُوْءُ عَلَيْهِ، وَمَنْ وَضَعَ جَنْبِهِ فَعَلَيْهِ الْوُضُوْءُ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidur sambil duduk, maka dia tidak diwajibkan berwuduk, dan sesiapa yang tidur mengiring, maka diwajibkan berwuduk.[16]

Imam Malik telah meriwayatkan daripada Ibnu Umar R.Anhuma bahawa dia pernah tidur sambil berdiri, kemudian mengerjakan sembahyang tanpa mengambil wuduk terlebih dahulu.

Al-Tirmizi meriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa dia pernah melihat Nabi Muhammad SAW tidur sambil sujud sehingga Baginda berdengkur, kemudian Baginda bangun menunaikan sembahyang. Lalu dia bertanya: “Ya Rasulallah, sesungguhnya tuan telah tidur?” Baginda bersabda:

إِنَّ الْوُضُوْءَ لاَ يَجِبُ إِلاَّ عَلَى مَنْ نَامَ مُضْطَجِعاً، فَإِنَّهُ إِذَا اضْطَجَعَ اِسْتَرْخَتْ مَفَاصِلُهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya wuduk tidak diwajibkan kecuali ke atas orang yang tidur dalam keadaan mengiring sahaja kerana apabila tidur sambil mengiring, maka segala sendi menjadi longlai.[17]

Al-Kamal bin al-Humam telah mengatakan bahawa jika kamu perhati kepada hadis-hadis yang dikemukakan, maka tidak ada hadis yang melebihi tahap hasan.

Kedua: Bagi ulama mazhab Maliki dan Hanbali, tidur yang sebentar ataupun ringan tidak membatalkan wuduk. Sebaliknya, tidur yang nyenyak membatalkannya. Ungkapan ulama mazhab Maliki, tidur yang nyenyak biarpun pendek masanya ia menjadi pembatal wuduk, akan tetapi tidur yang tidak nyenyak biarpun panjang masanya tidak membatalkannya. Maksud tidur yang nyenyak itu ialah apabila orang yang tidur itu tidak mendengar apa-apa suara, atau dengan terjatuh sesuatu dari tangannya, atau apabila mengalir air liurnya dan lain-lain lagi. Jika dia merasai perkara-perkara tersebut, maka tidurnya adalah nyenyak.

Hujah mereka ialah hadis riwayat Anas yang lalu:

كَانَ أَصْحَابُ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْتَظِرُوْنَ اَلْعِشَاءَ، فَيَنَامُوْنَ قُعُوْداً، ثُمَّ يُصَلُّوْنَ، وَلاَ يَتَوَضَّؤُوْنَ

Maksudnya: “Para sahabat Rasulullah SAW menunggu untuk sembahyang Isyak, lalu mereka terlena sambil duduk, kemudian mereka bangun menunaikan sembahyang tanpa wuduk.[18]

Hadis riwayat Ibnu Abbas R.Anhuma katanya: “Aku telah bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah, lalu Baginda bangun daripada tidur Baginda dan aku juga turut bangun di sebelah rusuk kiri Baginda, lalu Baginda memegang tanganku dan menempatkan aku di sebelah rusuk kanan Baginda. Apabila aku terlelap, Baginda memegang cuping telingaku.” Menurut Ibnu Abbas lagi, Baginda telah bersembahyang sebanyak 11 rakaat. Dalam kedua-dua hadis ini, terdapat bukti yang jelas bahawa tidur yang tidak nyenyak tidak membatalkan wuduk. Ungkapan ulama mazhab Hanbali: Kesemua tidur boleh membatalkan wuduk kecuali tidur yang sedikit mengikut uruf sama ada sambil duduk atau sambil berdiri kerana hadis riwayat Anas dan Ibnu Abbas yang lalu.

Sebenarnya, tidak ada had bagi tidur yang sedikit, penentuannya adalah terpulang kepada adat sahaja. Dengan sebab itu, jika orang yang tidur dalam keadaan rapat papan punggungnya ataupun dengan cara lain apabila terjatuh, maka wuduknya terbatal. Sekiranya dia tidur dan berasa ragu tentang tidurnya adakah banyak atau sedikit, hendaklah dia menganggap dirinya masih suci kerana terdapat keyakinan tentang suci dirinya dan keraguannya hanyalah pada batalnya sahaja. Seandainya pula dia bermimpi dalam tidurnya, maka tentulah tidurnya itu nyenyak. Tidur yang sedikit daripada seorang yang sedang rukuk, sujud, bersandar, bertongkat dan mengangkat kedua-dua lututnya adalah sama seperti seorang yang tidur mengiring, kesemuanya boleh membatalkan wuduk.

Tidur yang tidak menyebabkan hilang ingatan tidak membatalkan wuduk. Ini kerana, tidur itu ialah suatu kekalahan pada ingatan akal dan yang menjadi pembatal ialah hilang akal. Sekiranya akal itu masih ada dan keupayaannya tidak hilang seperti masih mendengar apa yang diucapkan di sisinya serta memahaminya, maka wuduknya tidak terbatal.

Justeru, tidur dalam keadaan mengiring yang tidak rapat papan punggungnya sama ada dalam sembahyang atau selainnya boleh membatalkan wuduk tanpa khilaf lagi dalam kalangan fuqaha. Hilang akal dengan apa sebab sekalipun seperti pitam, gila ataupun mabuk boleh membatalkan wuduk yang diqiaskan kepada tidur dan itulah yang sebenarnya.” [19]

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 3 April 2022 bersamaan 1 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/69

[2] Lihat al-Budur al-Tali`ah Syarh Risalah al-Jami`ahhlm. 123

[3] (Surah al-Maidah: 6)

[4] Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 222

[5] Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61

[6] Lihat al-Muqaddimah al-Hadramiyyah, hlm. 37

[7] Riwayat al-Bukhari (247) dan Muslim (2710)

[8] 1/62-63

[9] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/113)

[10] 1/372

[11] 1/73

[12] Riwayat Ahmad (2315)

[13] Riwayat Abu Daud (202), al-Tirmizi (77) dan Ahmad (2315)

[14] Riwayat Abu Daud (202), al-Tirmizi (77), Ahmad (2315) dan al-Baihaqi (1/121)

[15] Riwayat Muslim (475)  dan Abu Daud (200)

[16] Riwayat al-Daraqutni  (599)

[17]    Riwayat al-Tirmizi (77)

[18] Riwayat Muslim (475 ) dan Abu Daud (200)

[19] Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/372