Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada beberapa kenalan bukan Islam dan kita tahu mereka ada memakan makanan dan meminum minuman yang tidak halal, bahkan haram di sisi kita. Ketika bersembang-sembang dengan mereka, kadang-kadang ada air liur dari mulut mereka yang terkena pada pakaian dan muka saya. Justeru, apakah hukum air liur itu? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam hal ini, jumhur ulama berpendapat bahawa orang bukan Islam bukanlah najis secara hakiki. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَٰذَا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis. Oleh itu, janganlah mereka menghampiri Masjidil Haram sesudah tahun ini.”[1]
Jumhur ulama menjelaskan, najis dalam ayat itu bermaksud kekotoran dan kenajisan dalam akidah orang bukan Islam, yang perlu dihindari, bukan pada badan mereka. Mereka berhujahkan bahawa Islam mensyariatkan harus berkahwin dengan Ahli Kitab, dan peluh mereka itu jika bernajis maka tidak selamatlah suami mereka daripada najis itu. Para jumhur juga menjawab bahawa Nabi SAW pernah berwuduk dengan bejana orang musyrik, mengikat tawanan musyrik di dalam masjid, memakan keju daripada negara Nasrani dan memakan lauk kambing yang dihadiahkan Yahudi.[2]
Begitu juga, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebutkan bahawa manusia itu dimuliakan. Implikasi kepada kemuliaan tersebut, mereka tidak dihukumkan sebagai najis apabila telah mati, sama ada mereka itu Muslim atau kafir (bukan Islam). Manakala najis yang dimaksudkan di dalam ayat 28 daripada Surah al-Taubah ini ialah kepercayaan mereka atau perintah supaya menjauhi mereka seperti najis, dan bukannya kenajisan pada jasad mereka.[3]
Selain daripada itu, dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan, para fuqaha berpendapat bahawa manusia yang hidup itu adalah suci, tidak kira Muslim atau kafir, berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.”[4]
Begitu juga kerana Nabi SAW pernah menempatkan rombongan Thaqif — mereka dalam kalangan orang kafir — di masjid. Kalaulah tubuh badan mereka dianggap najis, sudah tentu Baginda tidak akan menempatkan mereka di dalamnya bagi menjaga kesucian masjid.[5] Justeru, pendapat yang menyatakan bahawa mereka adalah dikira sebagai suci membawa kepada hukum sucinya juga air liur dan lembapan pada tangan mereka, melainkan apabila diyakini terdapatnya najis.
Di samping itu, Imam al-Nawawi turut menyebutkan, tidak ada beza (dari segi hukum sucinya) pada peluh, air liur, hingus dan air mata, antara orang yang berjunub, perempuan yang haid, orang yang suci, Muslim dan kafir. Bahkan kesemuanya itu adalah suci daripada mereka, dan daripada haiwan yang suci.[6] Selain itu, Ibn Qudamah juga ada menyebutkan bahawa bagi manusia, apa yang keluar dari saluran selain daripada qubul dan dubur ada dua jenis. Salah satunya ada suci seperti air liur, air mata, peluh dan hingus.[7] Begitulah juga, al-Bajuri menyatakan, sesuatu yang keluar dari saluran lain — selain qubul dan dubur — dihukumkan sebagai suci kecuali muntah yang keluar dari mulut selepas sampai ke dalam perut.[8]
Oleh itu, jelaslah bahawa air liur daripada orang bukan Islam adalah kekal sebagai suci, melainkan diyakini pada air liur itu telah bercampur dengan najis berdasarkan kepada tanda-tanda kenajisannya. Jika timbul keraguan berkenaan air liur itu dan tidak ada sebarang tanda yang menunjukkan kepada kenajisannya, atau tidak diketahui selepas dia makan benda yang tidak halal, adakah dia sudah berkumur atau belum? Dalam hal ini, selagi mana tidak ada sebarang tanda yang jelas menunjukkan kenajisan cecair itu, maka ia kekal sebagaimana hukumnya yang asal, iaitu suci. Ini bertepatan dengan kaedah:
الْأَصْل بَقَاء مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ
Maksudnya: “Hukum asal sesuatu itu kekal mengikut keadaan asalnya.”[9]
Begitu juga dengan kaedah:
اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ
Maksudnya: “Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak (keraguan).”[10]
Berdasarkan kaedah ini, jika seseorang itu syak berkenaan kesucian air liur yang terkena pada muka atau pakaiannya, maka syak yang datang itu sedikit pun tidak menjejaskan kesucian air liur yang asalnya sudah diyakini akan kesuciannya.
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa air liur orang bukan Islam adalah suci dan tidak dihukumkan sebagai najis. Hal ini kerana segala sesuatu yang keluar dari saluran selain daripada qubul dan dubur seperti peluh, air liur dan lain-lain adalah suci melainkan diyakini cecair-cecair itu terkena najis atau bercampur dengan najis. Lebih-lebih lagi, semua cecair itu dihukumkan suci kerana ia merupakan cabang kepada hukum asal iaitu manusia yang dihukumkan sebagai suci. Justeru, hukum yang sama terpakai kepada cabangnya atau apa yang berasal daripadanya. Ini berdasarkan kaedah:
التَّابِعُ تَابِعٌ
Maksudnya: “(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).”[11]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 4 April 2022 bersamaan 2 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Surah al-Taubah: 28
[2] Lihat Nail al-Autar, 1/35.
[3] Lihat Asna al-Matalib, 1/10.
[4] Surah al-Isra’: 70
[5] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 40/78.
[6] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/577.
[7] Lihat al-Mughni, 2/493.
[8] Lihat Hasyiah al-Bajuri, 1/100.
[9] Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 6/13.
[10] Lihat al-Qawaid li al-Hisni, 1/204.
[11] Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117.