#86 Imam Tahiyat Akhir di Rakaat Ketiga Zohor

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Seorang imam terus duduk tahiyat akhir pada rakaat ketiga. Jadi, apa makmum perlu lakukan? Adakah makmum perlu berdiri sambil menegur imam, atau duduk tahiyat akhir bersama imam sambil menegurnya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Salah satu daripada syarat sah qudwah (mengikut imam) ialah makmum perlu mengikut (mutaba`ah) perbuatan imam. Sekiranya makmum bersalahan perbuatan dengan imam, sama ada mendahului atau lambat sehingga dua rukun fi`li (perbuatan), tanpa keuzuran, maka batallah solat makmum jika tidak niat mufaraqah (berpisah dengan imam). Adapun jika mukhalafah (bersalahan) itu berlaku hanya sela satu rukun, maka itu tidak membatalkan kerana dianggap mukhalafah yang sedikit.

Pengecualian bagi hukum di atas jika imam terlupa fardhu (rukun), contohnya jika imam terus duduk bertasyahhud akhir pada rakaat ketiga. Syeikh Muhammad al-Zuhaili menjelaskan: “Jika imam meninggalkan suatu perbuatan fardhu solat seperti duduk pada tempat yang sepatutnya berdiri, atau berdiri pada tempat yang sepatutnya dia duduk, tidak harus bagi makmum untuk mengikuti imam dalam meninggalkan perbuatan tersebut. Sama ada dia tinggalkan kerana sengaja atau terlupa. Ini kerana makmum wajib mengikut perbuatan-perbuatan solat sedangkan apa yang dilakukan oleh imam itu bukanlah daripada jenis perbuatan-perbuatan solat. Begitu juga kerana boleh jadi imam sengaja meninggalkannya lalu batallah solatnya, boleh jadi juga dia buat kerana terlupa lalu perbuatannya itu tidak dikira. Maka hendaklah makmum itu mufaraqah daripada imam dan menyempurnakan solatnya secara sendirian.” 

Justeru, difahami daripada teks di atas, bahawa wajib bagi makmum untuk berpisah daripada mengikut imamnya apabila dia mengetahui imamnya telah meninggalkan rukun. Namun begitu, disunatkan ke atas makmum untuk mengingatkan imam sebelum mufaraqah dengan ucapan tasbih. Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyebut: “Sekiranya imam lupa pada perbuatan (solat), lalu meninggalkannya, atau ingin mengubahnya, maka mustahab (sunat) bagi makmum untuk bertasbih untuk memaklumkan imam.”(Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/453-454).

Bagi menjawab soalan di atas, kami nyatakan bahawa hendaklah makmum terus berdiri bagi rakaat keempat solat zuhur dan disunatkan untuk menegur imam dengan tasbih supaya dia bangun.[1]

Jika dia teringat dan dia bangun, maka teruskan solat berjemaah seperti biasa sehingga selesai. Namun, jika imam tidak bangun dan meneruskan tasyahhud akhir, maka wajib bagi makmum untuk niat mufaraqah bagi berpisah daripada imam dan menghabiskan solat secara sendirian.

Marilah sama-sama kita berdoa:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 12/11/21 bersamaan 7 Rabiul Akhir 1443H

[1] Jika makmum itu menegur sewaktu duduk istirehat sebelum bangkit ke rakaat keempat, itu diharuskan jika duduk itu tidak begitu lama kadar duduk antara dua sujud, menurut Imam Ibn Hajar. Adapun menurut Imam Syamsuddin al-Ramli, memanjangkan duduk istirahat adalah harus. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 248).