Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan
Bagaimana cara untuk mendapatkan pahala mendirikan malam sepanjang malam ketika solat tarawih?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Solat tarawih merupakan suatu solat yang dituntut bagi umat Islam untuk melaksanakannya. Ganjaran melakukannya adalah sangat besar, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA beliau berkata, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.[1]
Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa perbuatan qiyam Ramadhan yang meliputi solat tarawih, pembacaan al-Quran, zikir dan doa, serta selainnya daripada ibadah yang dilakukan pada malam hari bulan Ramadan, sekiranya ia dilakukan dengan penuh keimanan akan pensyariatannya serta mengharapkan ganjaran pahala dari Allah SWT, nescaya pelakunya akan diampunkan dosa-dosa kecilnya yang terdahulu.
Imam Al-Nawawi di dalam kitab beliau Syarh Al-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim mengatakan: ‘’Qiyam Ramadhan adalah solat tarawih’’.[2]
Pensyariatan solat tarawih dapat dilihat melalui sebuah riwayat daripada Umm Al-Mu’minin A’isyah R.anha bahawa beliau berkata :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلَّى ذَاتَ لَيْلَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَصَلَّى بِصَلاَتِهِ نَاسٌ، ثُمَّ صَلَّى مِنَ الْقَابِلَةِ فَكَثُرَ النَّاسُ، ثُمَّ اجْتَمَعُوا مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ أَوِ الرَّابِعَةِ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ وَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنَ الْخُرُوجِ إِلَيْكُمْ إِلاَّ أَنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W pada suatu malam sedang solat di dalam masjid. Maka orang ramai pun mengikut solat bersama baginda. Kemudian pada malam berikutnya, baginda solat sekali lagi dan jemaah yang mengikutnya semakin banyak. Pada malam yang ketiga atau keempat, orang ramai berkumpul menanti ketibaan Rasulullah S.A.W sebaliknya baginda tidak keluar kepada mereka. Apabila masuk waktu subuh, baginda bersabda kepada para jemaah : Sesungguhnya aku telah melihat apa yang kamu semua lakukan. Dan tidaklah yang menghalang aku dari keluar kepada kamu melainkan aku takut solat itu akan difardhukan ke atas kamu semua. Yang demikian itu berlaku pada bulan Ramadan.[3]
Berdasarkan hadith di atas, Rasulullah SAW pada malam hari pertama bulan Ramadan baginda keluar menuju ke masjid pada waktu malam dan mendirikan solat. Kemudian orang ramai yang berada di sekitar turut serta mengikuti solat malam Rasulullah SAW. Demikian juga pada malam yang kedua, Cuma bilangan jemaah yang solat bersama baginda semakin ramai. Manakala malam yang berikutnya, bilangan jemaah semakin ramai sehingga memenuhi masjid. Maka pada malam yang berikutnya, Nabi S.A.W tidak keluar ke masjid dan ramai orang pada ketika itu yang menanti kehadiran baginda. Sebaik sahaja waktu subuh, selepas sahaja solat baginda berpaling seraya mengatakan sebagaimana yang disebutkan dalam hadis di atas.
Syeikh Syams Al-Haq Al-‘Azhim Abadi ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata : ‘’Baginda khuatir solat tarawih akan difardhukan ke atas mereka. Ini kerana boleh jadi berlakunya kefardhuan atas perbuatan qiyam Ramadhan secara berjamaah disebabkan ia dibuat secara berterusan’’.[4]
Ganjaran Solat Tarawih Bersama Imam Sehingga Imam Selesai
Setiap tahun, umat Islam akan berpuasa pada bulan Ramadan dan selama itu juga kita dapati masyarakat Islam di negara-negara Islam dan bukan Islam menyambut serta memeriahkan malam-malam di bulan yang mulia ini dengan ibadah seperti sembahyang sunat tarawih, witir, bersedeqah, memberi makan, tadarus al-Quran dan lain-lain amal kebajikan.
Terdapat satu riwayat yang menceritakan mengenai kelebihan solat tawrawih bersama imam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Zar al-Ghifari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَامَ مَعَ الإمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ، كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang berdiri (bersolat tarawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam)”. [5]
Lafaz Nabi SAW di dalam hadith iaitu “solat bersama imam sehingga selesai” jelas menunjukkan bahawa yang menjadi anjuran dan sunnah Nabi adalah solat sunat tarawih bersama imam dari awal sehingga imam selesai solat witir. Hadith ini menunjukkan bahawa fadhilat yang besar bagi makmum yang solat bersama imam sehingga selesai dengan mendapat pahala Qiyam sepanjang malam.
Hadith ini juga memberi kefahaman kepada kita bahawa seandainya imam itu mendirikan solat tarawih sebanyak 20 rakaat dan 3 rakaat witir maka makmum juga perlu menyelesaikan kesemua rakaat tersebut bersama imam sekiranya ingin mendapat fadhilat pahala solat sepanjang malam. Begitu juga, jika imam mendirikan solat 8 rakaat tarawih dan 3 rakaat witir maka makmum juga perlu menyelesaikan kesemua rakaat tersebut bersama imam.
Syeikh Ibn Jibrin mengatakan, “Qiyam Ramadan terhasil dengan solat daripada setiap malam seperti pertengahan malam ataupun sepertiganya. Sama ada solat itu sebelas rakaat atau dua puluh tiga rakaat. Qiyam Ramadhan juga terhasil dengan solat qiyam di belakang imam sehingga selesai. Meskipun kurang daripada satu jam. Imam Ahmad pernah bersolat bersama Imam dan tidak keluar kecuali bersama imam tersebut. Untuk mengamalkan hadith ini, dan siapa yang ingin pahala ini, maka hendaknya dia solat bersama imam sehingga selesai witir sama ada solat itu sedikti ataupun banyak, lama ataupun sebentar.” [6]
Syeikh Abdul Aziz bin Baz pernah ditanya, “Jikalau seseorang itu solat pada bulan Ramadhan bersama imam yang solat dua puluh tiga rakaat dan dia mencukupkan hanya dengan sebelas rakaat dan tidak menyempurnakannya bersama imam, apakah perbuatan itu menepati sunnah? Maka beliau menjawab, “Yang menepati sunnah ialah dia menyempurnakan solatnya bersama imam walaupun imam solat sebanyank dua puluh tiga rakaat. Hal ini kerana Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesiapa yang berdiri bersama Imam sehingga selesai, dicatat baginya qiyamullail”. Maka afdhal baginya untuk bersama imam sehingga selesai sama ada solat tersebut sebelas rakaat atau tiga belas atau dua puluh tiga rakaat ataupun selain daripada itu. Inilah yang paling afdhal iaitu mengikuti imam sehingga selesai.” [7]
Penutup
Kesimpulannya, setiap makmum itu perlulah menyelesaikan solat tarawih dan witir bersama imam sehingga selesai bagi mendapatkan fadhilat yang terdapat di dalam hadith ini. Pilihlah masjid, surau atau tempat yang menganjurkan solat tarawih sesuai dengan bilangan rakaat yang kita ingin tunaikan supaya ganjaran yang dijanjikan dalam hadith tersebut diperolehi oleh kita, insya Allah.
Marilah sama-sama kita mengejar kelebihan yang Allah SWT tawarkan kepada kita. Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan kesempatan untuk menunaikan solat sunat tarawih dan witirr secara berjemaah. Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Riwayat Al-Bukhari (37)
[2] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/377
[3] Riwayat Al-Bukhari (1129)
[4] Lihat ‘Aun Al-Ma’bud Syarah Sunan Abi Daud, 4/180
[5] . Riwayat al-Tirmizi, (734) [Hadith ini adalah Hasan Sahih sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Tirmizi
[6] Lihat Fatawa Syeikh Ibn Jibrin, 9/24
[7] Lihat Majmu’ Fatawa, 11/325