#891 Menyelesaikan Solat Tarawih Bersama Imam Pertama Sahaja

Soalan

Apakah orang yang solat tarawih bersama imam di masjid/surau. Masjid tersebut pula mempunyai dua imam yang bergilir-gilir, kemudian apabila selesai imam pertama, dia beredar disebabkan pertukaran imam tersebut. Adakah dia akan dapat ganjaran solat sehingga imam selesai?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat tarawih merupakan suatu solat yang dituntut bagi umat Islam untuk melaksanakannya. Ganjaran melakukannya adalah sangat besar, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA beliau berkata, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

‎مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.[1]

Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa perbuatan qiyam Ramadhan yang meliputi solat tarawih, pembacaan al-Quran, zikir dan doa, serta selainnya daripada ibadah yang dilakukan pada malam hari bulan Ramadan, sekiranya ia dilakukan dengan penuh keimanan akan pensyariatannya serta mengharapkan ganjaran pahala dari Allah SWT, nescaya pelakunya akan diampunkan dosa-dosa kecilnya yang terdahulu.

Imam Al-Nawawi di dalam kitab beliau Syarh Al-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim mengatakan: ‘’Qiyam Ramadhan adalah solat tarawih’’.[2]

Ganjaran Solat Tarawih Bersama Imam Sehingga Selesai

Setiap tahun, umat Islam akan berpuasa pada bulan Ramadan dan selama itu juga kita dapati masyarakat Islam di negara-negara Islam dan bukan Islam menyambut serta memeriahkan malam-malam di bulan yang mulia ini dengan ibadah seperti sembahyang sunat tarawih, witir, bersedeqah, memberi makan, tadarus al-Quran dan lain-lain amal kebajikan.

Terdapat satu riwayat yang menceritakan mengenai kelebihan solat tawrawih bersama imam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Zar al-Ghifari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَامَ مَعَ الإمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ، كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang berdiri (bersolat tarawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam)”. [3]

Syeikh al-Mubarakfuri menukilkan bahawa Imam Ahmad bin Hanbal  juga berpendapat yang sama berhujahkan hadith di atas. Ditanyakan kepada Imam Ahmad: Adakah kau suka seorang lelaki solat bersama orang ramai (secara berjamaah) pada bulan Ramadhan atau kau suka dia solat secara bersendirian ? Maka Imam Ahmad menjawab : Aku suka jika dia solat berjemaah bersama orang ramai, dan aku juga suka sekiranga dia solat bersama dengan imam dan turut witir bersamanya. Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang lelaki itu apabila dia qiyam bersama dengan imam sehingga imam selesai, nescaya dituliskan untuknya ganjaran qiyam sepanjang malamnya”. Kata Imam Ahmad lagi: Dia qiyam secara berjemaah dan solat witir bersama mereka sehingga lah imam selesai. Kata Abu Daud : Aku melihat Imam Ahmad Rahimahullah, beliau berwitir pada bulan Ramadan bersama imamnya kecuali pada malam yang aku tidak menghadirinya.[4]

Lafaz Nabi SAW di dalam hadith iaitu “solat bersama imam sehingga selesai” jelas menunjukkan bahawa yang menjadi anjuran dan sunnah Nabi adalah solat sunat tarawih bersama imam dari awal sehingga imam selesai solat witir.  Hadith ini menunjukkan bahawa fadhilat yang besar bagi makmum yang solat bersama imam sehingga selesai dengan mendapat pahala Qiyam sepanjang malam.

Hadith ini juga memberi kefahaman kepada kita bahawa seandainya imam itu mendirikan solat tarawih sebanyak 20 rakaat dan 3 rakaat witir maka makmum juga perlu menyelesaikan kesemua rakaat tersebut bersama imam sekiranya ingin mendapat fadhilat pahala solat sepanjang malam. Begitu juga, jika imam mendirikan solat 8 rakaat tarawih dan 3 rakaat witir maka makmum juga perlu menyelesaikan kesemua rakaat tersebut bersama imam.

Syeikh Ibn Jibrin mengatakan, “Qiyam Ramadan terhasil dengan solat daripada setiap malam seperti pertengahan malam ataupun sepertiganya. Sama ada solat itu sebelas rakaat atau dua puluh tiga rakaat. Qiyam Ramadhan juga terhasil dengan solat qiyam di belakang imam sehingga selesai. Meskipun kurang daripada satu jam. Imam Ahmad pernah bersolat bersama Imam dan tidak keluar kecuali bersama imam tersebut. Untuk mengamalkan hadith ini, dan siapa yang ingin pahala ini, maka hendaknya dia solat bersama imam sehingga selesai witir sama ada solat itu sedikti ataupun banyak, lama ataupun sebentar.” [5]

Menyelesaikan Solat Bersama Imam Pertama Tanpa Mengikuti Imam Kedua Di Dalam Masjid Yang Sama

Berdasarkan situasi yang mana satu masjid itu terdapat dua imam atau lebih yang memimpin solat sunat tarawih secara bergilir-gilir. Sekiranya seorang makmum itu beredar setelah tamatnya imam pertama, dia tetap tidak ditulis pahala Qiyamullail secara sempurna melainkan dia menyempurnakan sehingga masjid itu menyelesaikan sehingga selesai witir. Walaupun masjid itu mempunyai dua imam yang bergilir-gilir, tetapi mereka dikira sebagai satu imam sahaja. Hal ini kerana, tugas imam kedua adalah untuk menyempurnakan tugas imam yang pertama yang belum sempurna.

Syeikh Abdul Aziz bin Baz pernah ditanya, “Jikalau seseorang itu solat pada bulan Ramadhan bersama imam yang solat dua puluh tiga rakaat dan dia mencukupkan hanya dengan sebelas rakaat dan tidak menyempurnakannya bersama imam, apakah perbuatan itu menepati sunnah? Maka beliau menjawab, “Yang menepati sunnah ialah dia menyempurnakan solatnya bersama imam walaupun imam solat sebanyank dua puluh tiga rakaat. Hal ini kerana Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesiapa yang berdiri bersama Imam sehingga selesai, dicatat baginya qiyamullail”. Maka afdhal baginya untuk bersama imam sehingga selesai sama ada solat tersebut sebelas rakaat atau tiga belas atau dua puluh tiga rakaat ataupun selain daripada itu. Inilah yang paling afdhal iaitu mengikuti imam sehingga selesai.” [6]

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin juga pernah ditanya berkenaan hal ini, maka jawab beliau: Solat bersama imam pertama sehingga selesai dan solat bersama imam kedua sehingga selesai. Hal ini kerana banyaknya imam di satu tempat atau masjid, menjadikannya seperti satu imam. Imam kedua menyempurnakan imam pertama pada solat yang terakhir. Menurut pendapatku dalam masalah ini, seseorang yang menjaga solat bersama imam pertama dan kedua sudah merangkumi apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berdiri bersama imam sehingga selesai, maka akan ditulis padanya pahala Qiyamullail.”[7]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa sekiranya masjid atau surau itu mempunyai dua imam yang melengkapkan bilangan rakaat antara satu sama lain, maka jika seorang makmum itu beredar setelah tamatnya imam pertama, dia tetap tidak ditulis pahala Qiyamullail secara sempurna melainkan dia menyempurnakan sehingga masjid itu menyelesaikan sehingga selesai witir. Hal ini kerana walaupun masjid itu mempunyai dua imam yang bergilir-gilir, tetapi mereka dikira sebagai satu imam sahaja kerana tugas imam kedua adalah untuk menyempurnakan tugas imam yang pertama yang belum sempurna.

Kami juga ingin menasihati supaya setiap makmum itu perlulah menyelesaikan solat tarawih dan witir bersama imam sehingga selesai bagi mendapatkan fadhilat yang terdapat di dalam hadith ganjaran solat bersama imam sehingga imam selesai. Pilihlah masjid, surau atau tempat yang menganjurkan solat tarawih sesuai dengan bilangan rakaat yang kita ingin tunaikan supaya ganjaran yang dijanjikan dalam hadith tersebut diperolehi oleh kita, insya Allah.

Marilah sama-sama kita mengejar kelebihan yang Allah SWT tawarkan kepada kita. Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan kesempatan untuk menunaikan solat sunat tarawih dan witir secara berjemaah. Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 6 April 2022 bersamaan 4 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

 

[1] Riwayat Al-Bukhari (37)

[2] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/377

[3] . Riwayat al-Tirmizi, (734) [Hadith ini adalah Hasan Sahih sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Tirmizi

[4] Lihat Tuhfah Al-Ahwaazi, 3/448

[5] Lihat Fatawa Syeikh Ibn Jibrin, 9/24

[6] Lihat Majmu’ Fatawa, 11/325

[7] Lihat Majmu Fatawa Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, 14/190