#892 Solat Witir Dua Kali Satu Malam

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Bolehkah saya berwitir dua kali satu malam? Kali pertama bersama imam semasa solat terawih dan kali kedua secara bersendirian selepas selesai solat tahajjud. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat witir ialah sunat muakkad.  Ia dinamakan demikian kerana ditamatkan dengan satu rakaat, dan berbeza dengan solat yang lain.[1] Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ali R.A, katanya:

إنَّ الْوِتْرَ لَيْسَ بِحَتْمٍ كَصَلاَتِكُمُ الْمَكْتُوبَةِ وَلَكِنْ سَنَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Solat witir tidaklah wajib seperti solat yang difardhukan atas kamu, tetapi Rasulullah SAW melakukannya.”[2]

Hadith yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَهْلَ الْقُرْآنِ أَوْتِرُوا فَإِنَّ اللَّهَ وِتْرٌ يُحِبُّ الْوِتْرَ

Maksudnya:Wahai orang yang beramal dengan al-Quran! Hendaklah kamu melakukan solat Witir, sesungguhnya Allah itu bersifat witir dan dia menyukainya.”[3]

Imam al-Nawawi menyebutkan, solat witir adalah sunat di sisi ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i tanpa khilaf. Bilangan rakaatnya yang paling sedikit ialah sebanyak satu rakaat. Manakala tahap kesempurnaannya yang paling rendah adalah dengan melakukannya sebanyak tiga rakaat, dan tahap yang lebih sempurna daripada itu pula adalah dengan mendirikannya sebanyak lima rakaat, kemudian dengan mendirikannya sebanyak tujuh rakaat, kemudian dengan mendirikannya sebanyak sembilan rakaat, kemudian dengan mendirikannya sebanyak sebelas rakaat. Inilah bilangan rakaatnya yang paling banyak menurut pendapat masyhur dalam mazhab Syafi‘i dan pendapat yang diputuskan oleh pengarang al-Muhazzab serta ramai ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i.[4]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Imam al-Nawawi ada menyebutkan dalam kitabnya, sekiranya seseorang itu berwitir sebelum tidur. Kemudian dia bangun dan mengerjakan solat tahajjud, maka witirnya yang sebelum ini tidak terbatal menurut pendapat yang sahih lagi masyhur. Ini juga merupakan pendapat yang diputuskan oleh jumhur ulama. Bahkan dia bertahajjud dengan apa yang mudah baginya secara syafa‘ — yakni dua rakat dua rakaat.

Selain itu, terdapat pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i sebagaimana dinukilkan oleh Imam al-Haramain dan ulama selainnya dari Khurasan bahawa dia boleh mendirikan solat  pertama dalam qiyamnya itu dengan satu rakaat bagi menggenapkannya (syafa‘). Kemudian, dia mendirikan solat tahajjud sebagaimana yang dikehendakinya. Kemudian, dia berwitir buat kali kedua. Perkara ini (yakni solat satu rakaat pada awal qiyam) dinamakan sebagai pembatal witir.

Walau bagaimanapun, pendapat yang terpilih dalam mazhab Syafi‘i ialah pendapat yang pertama[5] berdasarkan kepada hadith Talq bin Ali R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ وِتْرَانِ فِي لَيْلَةٍ

Maksudnya:Tiada dua witir dalam satu malam.”[6]

Selain daripada itu, ini juga adalah pendapat yang dipegang oleh Ibn Hazm. Beliau menyebutkan bahawa bagi mereka yang telah melakukan witir di awalnya dan solat sunat selepas witir itu dibolehkan serta tidak perlu lagi untuk mengulangi witir.[7] Tambahan lagi, pendapat ini juga adalah seperti mana yang dinyatakan oleh al-Tirmizi dan beliau menyandarkannya kepada Sufyan al-Thauri dan Ibn al-Mubarak. Malah, pendapat ini merupakan pendapat yang paling tepat menurut beliau.[8]

Di samping itu, Imam al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa sekiranya kita digalakkan (sunat) untuk mendirikan solat terawih secara berjemaah, maka digalakkan juga untuk mendirikan solat witir secara berjemaah selepasnya — yakni terawih tersebut — secara sepakat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i. Namun, jika dia ingin mendirikan solat tahajjud, maka dia tidak perlu berwitir bersama mereka — yakni secara berjemaah selepas solat terawih. Sebaliknya mengakhirkan solat witir itu di akhir malam — kerana itu merupakan waktu yang afdhal baginya untuk mendirikan solat witir. Akan tetapi jika dia tetap ingin solat bersama jemaah terawih itu, maka solatlah sunat mutlak dan berwitirlah di akhir malam.[9]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak boleh melakukan dua witir pada satu malam kerana terdapat hadith yang melarangnya dan inilah pendapat yang terpilih dalam mazhab Syafi‘i.

Di sini kami sertakan bersama tiga cadangan atau pilihan yang boleh dia lakukan. Pertamanya, dia boleh mengakhirkan solat witir itu selepas solat tahajjud di akhir malam dan tidak melakukan bersama-sama imam dalam solat terawih. Pilihan kedua, dia boleh melakukan solat witir bersama-sama imam semasa solat terawih dan tidak melakukannya lagi setelah selesai solat tahajjud di akhir malam. Pilihan ketiga, dia solat bersama-sama imam — ketika solat witir dalam terawih — tetapi dengan niat solat sunat mutlak. Kemudian berwitirlah di akhir malam.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 6 April 2022 bersamaan 4 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

 

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/215.

[2] Riwayat al-Tirmizi (453) dan yang lainnya

[3] Riwayat Abu Daud (1416)

[4] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/12.

[5] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/15.

[6] Riwayat Abu Daud (1439)

[7] Lihat al-Muhalla, 2/91.

[8] Lihat Sunan al-Tirmizi, 2/330.

[9] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/15.