#896 Solat Tarawih Secara Bersendirian

Soalan

Apakah dibolehkan untuk melakukan solat tarawih secara bersendirian?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat tarawih merupakan suatu solat yang dituntut bagi umat Islam untuk melaksanakannya. Ganjaran melakukannya adalah sangat besar, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

‎مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.[1]

Imam al-Nawawi berkata: “Makna “إيمانًا” ialah mempercayainya sebagai benar, lagi dijanjikan pahala dan fadilatnya, manakala makna “إحتِسابًا” ialah menginginkan redha Allah Taala semata-mata, bukan bertujuan  pandangan manusia, dan bukan juga apa-apa tujuan lain yang menyelisihi makna keikhlasan. Makna yang dikehendaki daripada  “Qiyam Ramadhan” ialah perlaksanaan solat Tarawih. Para ulama bersepakat tentang hukumnya adalah disunatkan.”[2]

Namun berkata al-Hafiz al-‘Iraqi: “Bukan dimaksudkan dengan qiyam Ramadhan ialah mendirikan keseluruhan malamnya bahkan yang dimaksudkan ialah mendirikan sebahagian kecil daripada malam seperti yang difahami secara mutlak dengan pelaksanaan solat Tahajjud, solat Terawih di belakang imam — seperti kebiasaan yang dilakukan —serta pelaksanaan solat Isyak dan solat Subuh secara berjemaah.”[3]

Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa perbuatan qiyam Ramadhan yang meliputi solat tarawih, pembacaan al-Quran, zikir dan doa, serta selainnya daripada ibadah yang dilakukan pada malam hari bulan Ramadan, sekiranya ia dilakukan dengan penuh keimanan akan pensyariatannya serta mengharapkan ganjaran pahala dari Allah S.W.T, nescaya pelakunya akan diampunkan dosa-dosa kecilnya yang terdahulu.

Imam Al-Nawawi  di dalam Syarh al-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim mengatakan: Qiyam Ramadhan adalah solat tarawih.[4]

Pensyariatan solat tarawih dapat dilihat melalui sebuah riwayat daripada Umm Al-Mu’minin Aisyah R.Anha, katanya:

 ‎أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلَّى ذَاتَ لَيْلَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَصَلَّى بِصَلاَتِهِ نَاسٌ، ثُمَّ صَلَّى مِنَ الْقَابِلَةِ فَكَثُرَ النَّاسُ، ثُمَّ اجْتَمَعُوا مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ أَوِ الرَّابِعَةِ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ ‏ “‏ قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ وَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنَ الْخُرُوجِ إِلَيْكُمْ إِلاَّ أَنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ ‏”‏، وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W pada suatu malam sedang solat di dalam masjid. Maka orang ramai pun mengikut solat bersama baginda. Kemudian pada malam berikutnya, baginda solat sekali lagi dan jemaah yang mengikutnya semakin banyak. Pada malam yang ketiga atau keempat, orang ramai berkumpul menanti ketibaan Rasulullah S.A.W sebaliknya baginda tidak keluar kepada mereka. Apabila masuk waktu subuh, baginda bersabda kepada para jemaah: Sesungguhnya aku telah melihat apa yang kamu semua lakukan. Dan tidaklah yang menghalang aku dari keluar kepada kamu melainkan aku takut solat itu akan difardhukan ke atas kamu semua. Yang demikian itu berlaku pada bulan Ramadan.[5]

Berdasarkan hadith di atas, Rasulullah S.A.W pada malam hari pertama bulan Ramadan baginda keluar menuju ke masjid pada waktu malam dan mendirikan solat. Kemudian orang ramai yang berada di sekitar turut serta mengikuti solat malam Rasulullah S.A.W. Demikian juga pada malam yang kedua, Cuma bilangan jemaah yang solat bersama baginda semakin ramai. Manakala malam yang berikutnya, bilangan jemaah semakin ramai sehingga memenuhi masjid. Maka pada malam yang berikutnya, Nabi S.A.W tidak keluar ke masjid dan ramai orang pada ketika itu yang menanti kehadiran baginda. Sebaik sahaja waktu subuh, selepas sahaja solat baginda berpaling seraya mengatakan sebagaimana yang disebutkan dalam hadis di atas.

Syeikh Syams Al-Haq Al-‘Azhim Abadi Rahimahullah ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Baginda takut solat tarawih akan difardhukan ke atas mereka. Ini kerana boleh jadi berlakunya kefardhuan atas perbuatan qiyam Ramadhan secara berjamaah disebabkan ia dilakukan secara berterusan.[6]

Solat Sunat Tarawih Secara Bersendiri

Berikut kami nyatakan beberapa pendapat para fuqaha berkenaan isu ini:

Kata Al-Syeikh Al-Buhuti Rahimahullah di dalam kitabnya Daqaiq Uli Al-Nuha[7]: Menunaikan solat tarawih di masjid itu lebih afdhal berbanding selainnya. Kerana baginda S.A.W menunaikannya bersama orang ramai selama tiga hari berturut-turut. Ia sepertimana yang diriwayatkan oleh A’isyah R.anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ حُسِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan qiyam bersama imam sehingga dia selesai, akan dituliskan ganjaran untuknya qiyam sepanjang malam.[8]

Syeikh al-Mubarakfuri menukilkan bahawa Imam Ahmad bin Hanbal  juga berpendapat yang sama berhujahkan hadith di atas. Ditanyakan kepada Imam Ahmad: Adakah kau suka seorang lelaki solat bersama orang ramai (secara berjamaah) pada bulan Ramadhan atau kau suka dia solat secara bersendirian ? Maka Imam Ahmad menjawab : Aku suka jika dia solat berjemaah bersama orang ramai, dan aku juga suka sekiranga dia solat bersama dengan imam dan turut witir bersamanya. Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang lelaki itu apabila dia qiyam bersama dengan imam sehingga imam selesai, nescaya dituliskan untuknya ganjaran qiyam sepanjang malamnya”. Kata Imam Ahmad lagi: Dia qiyam secara berjemaah dan solat witir bersama mereka sehingga lah imam selesai. Kata Abu Daud : Aku melihat Imam Ahmad Rahimahullah, beliau berwitir pada bulan Ramadan bersama imamnya kecuali pada malam yang aku tidak menghadirinya.[9]

Imam Al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim[10] menyatakan berkenaan isu ini: Para ulama bersepakat bahawa solat tarawih adalah mustahab. Cuma mereka berbeza pendapat adakah yang afdhal itu solat bersendirian di rumahnya ataupun solat berjamaah di masjid. Imam al-Nawawi membahagikan pendapat seperti berikut:

  • Pendapat pertama: Imam Al-Syafi’e dan jumhur ashabnya, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad, dan sebahagian fuqaha Malikiyyah. Mereka berpendapat bahawa yang afdhal adalah solat tarawih secara berjamaah sebagaimana yang dilakukan oleh Umar Al-Khattab dan para sahabat R.anhum. Dan amalan umat islam berterusan dalam melakukannya (secara berjamaah) kerana ia adalah syiar yang zahir maka ia menyerupai solat hari raya.
  • Pendapat kedua: Imam Malik, Abu Yusuf, dan sebahagian Syafi’iyyah. Mereka berpendapat bahawa yang afdhal adalah menunaikan tarawih secara bersendirian di rumah. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

فَإِنَّ أَفْضَلَ صَلاَةِ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ، إِلاَّ الصَّلاَةَ الْمَكْتُوبَةَ

Maksudnya: Sesungguhnya seafdhal solat bagi seorang lelaki itu adalah di rumahnya, melainkan solat fardhu.[11]

Imam Al-Nawawi dalam mentarjihkan isu ini menyatakan di dalam kitabnya Al-Majmu’: Solat tarawih adalah sunnah berdasarkan ijma’ para ulama’. Boleh untuk dilaksanakan secara bersendirian ataupun secara berjamaah. Yang manakah lebih afdhal di antara keduanya. Terdapat dua pendapat yang masyhur dan yang sahih dengan kesepakatan para ashab (Al-Syafi’eyyah), bahawa solat tarawih berjamaah itu lebih afdhal. [12]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, berdasarkan penelitian beberapa pendapat para fuqaha yang kami nyatakan di atas, kami berpendapat bahawa hukum menunaikan solat tarawih secara bersendirian adalah dibolehkan, dan yang paling afdhal adalah menunaikannya secara berjemaah. Kami juga mencadangkan kepada para pembaca supaya melihat beberapa murajjihat (pemberat) yang berikut:

  • Bagi yang menghadirkan diri ke masjid untuk menunaikan solat isya’ secara berjemaah. Alangkah lebih baik untuk dirinya kekal di masjid dan meneruskan solat tarawih secara berjamaah.
  • Solat tarawih secara berjemaah merupakan satu syiar agama Islam. Kerana itu ia disifatkan menyamai solat hari raya.
  • Sesiapa yang merasakan kualiti solat tarawihnya semasa bersendirian jauh lebih baik berbanding kualiti solat semasa berjamaah, maka dia boleh untuk solat sendirian. Jika sebaliknya, maka berjamaah itu lebih afdhal.
  • Solat tarawih secara berjamaah di masjid itu lebih kuat dalam mengeratkan silaturahim dan kerukunan dalam kalangan masyarakat berbanding solat secara bersendirian. Hubungan baik dapat dibina apabila hadir solat bersama, saling beramah mesra, bertanya khabar, dan seumpamanya.
  • Cukuplah arahan Saidina Umar Al-Khattab kepada para sahabat di zamannya untuk dilakukan solat tarawih secara berjamaah menunjukkan yang ia suatu yang lebih baik berbanding solat secara bersendirian.
  • Kekallah bersama imam sehingga imam menyelesaikan solat supaya mendapat ganjaran qiamullail sepanjang malam sebagaimana yang diriwayatkan daripada A’isyah R.Anhabahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ حُسِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan qiyam bersama imam sehingga dia selesai, akan dituliskan ganjaran untuknya qiyam sepanjang malam.[13]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 6 April 2022 bersamaan 4 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

 

[1] Riwayat al-Bukhari (37) dan Muslim (759)

[2] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/39

[3] Lihat Tarh al-Tathrib, 4/161

[4] Lihat Syarh al-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim, 6/377

[5] Riwayat Al-Bukhari (1129)

[6] Lihat ‘Aun Al-Ma’bud Syarah Sunan Abi Daud, 4/180

[7] Lihat Daqaiq Uli Al-Nuha, 1/2245

[8] Riwayat Abu Dawud (1375), al-Tirmizi (806), al-Nasaie (1364), Ibn Majah (1327), Ahmad (21419)

[9] Lihat Tuhfah Al-Ahwaazi, 3/448

[10] Lihat Syarh Al-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim, 6/377

[11] Riwayat Al-Bukhari (7290)

[12] Lihat Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 3/526.

[13] Riwayat Abu Dawud (1375), al-Tirmizi (806), al-Nasaie (1364), Ibn Majah (1327), Ahmad (21419)