#901: Bacaan Doa Wudhu’ dan Terbukanya Pintu Syurga

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya dengar ada hadis menyebut, kalau ada orang berdoa selepas daripada berwudhuk, maka pintu syurga terbuka. Adakah benar?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Wudhu’

Dari segi bahasa, wudhu’ ialah nama bagi sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu. Wudhu’ diambil dari perkataan (الوضاءة) iaitu kebersihan dan kesegaran.

Manakala dari segi syarak, wudhu’ merupakan penggunaan air bagi membasuh anggota-anggota yang dikhususkan. Dinamakan wudhu’ kerana menyucikan dan menyegarkan. Terdapat juga syarat, fardhu serta sunatnya yang harus disempurnakan. [1]

Secara lebih jelas, wudhu’ bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu.[2]

Allah SWT mensyari’atkan wuduk bagi mengangkat hadas bagi seseorang yang ingin melaksanakan ibadah yang tertentu seperti memegang mushaf al-Quran, solat, tawaf dan seumpamanya. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ ۚ وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.” [3]

Menurut Syeikh al-Sa’di, terdapat banyak persoalan hukum (yang dapat dikeluarkan) daripada ayat ini. Antaranya ialah perintah mendirikan solat, perintah untuk berniat bagi mengerjakan solat, juga disyaratkan untuk bersuci (daripada hadas) bagi sah solat, juga bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat, tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain.[4]

Pintu-pintu Syurga

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، نُودِيَ مِنْ أَبْوَابِ الجَنَّةِ: يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا خَيْرٌ، فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّلاَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّلاَةِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الجِهَادِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الجِهَادِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصِّيَامِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الرَّيَّانِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ. فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا عَلَى مَنْ دُعِيَ مِنْ تِلْكَ الأَبْوَابِ مِنْ ضَرُورَةٍ، فَهَلْ يُدْعَى أَحَدٌ مِنْ تِلْكَ الأَبْوَابِ كُلِّهَا؟ قَالَ: نَعَمْ وَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Sesiapa menginfakkan sepasang (daripada harta benda) di jalan Allah, maka dia akan diseru dari pintu-pintu syurga, “Wahai hamba Allah, ini adalah satu kebaikan.” Sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang solat, maka akan diseru daripada pintu solat, sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang berjihad, akan diseru dari pintu jihad, sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang berpuasa, akan diseru daripada pintu al-Rayyan, dan sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang bersedekah, akan diseru daripada pintu sedekah.” Setelah itu, Abu Bakar R.A bertanya: “Demi bapa dan ibuku sebagai tebusanmu wahai Rasulullah! Tiadalah ke atas orang yang diseru dari pintu-pintu itu ditimpa daripada sebarang kemudaratan. Lalu adakah terdapat orang yang akan diseru daripada semua pintu-pintu itu?” Baginda menjawab: “Ya, dan aku berharap engkau termasuk dalam kalangan mereka.”[5]

Menurut Imam al-Nawawi, hadith ini menjelaskan bahawa setiap orang akan masuk ke dalam syurga melalui pintu amalan mereka kerana mereka sentiasa berterusan melakukan amalan ketaatan seperti solat, puasa dan sebagainya.[6]

Hal ini bermaksud, sekiranya orang beriman melakukan sesuatu amalan dan dia melazimi amalan tersebut, maka dia layak untuk masuk ke syurga menerusi pintu-pintu yang khusus baginya. Malah, al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan bahawa selain daripada pintu-pintu yang disebutkan, ada lagi pintu-pintu yang lain seperti pintu haji, pintu zikir, pintu ilmu dan yang paling kanan sekali adalah pintu yang dikhususkan untuk ahli tawakkal yang masuk ke dalam syurga tanpa hisab.[7]

Benarkah Pintu Syurga Terbuka Ketika Membaca Doa Selepas Wudhu’?

Jawapannya adalah, benar sekali. Hal ini berdasarkan hadis daripada Umar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُبْلِغُ أَوْ فَيُسْبِغُ الْوَضُوءَ ثُمَّ يَقُولُ : أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ إِلَّا فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ الثَّمَانِيَةُ يَدْخُلُ مِنْ أَيِّهَا شَاءَ

MaksudnyaTiadalah seorang kamu berwuduk dan memenuhi kesempurnaan wuduk, kemudian berdoa: “: أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ” kecuali akan dibuka baginya pintu-pintu syurga yang lapan. Dia berhak masuk dari pintu mana yang dia mahu.[8]

Dalam mentafsirkan maksud pintu-pintu syurga dibuka, ada dua pendapat:

Pertama: Untuk memudahkan sampai ke arah jalan-jalan kebajikan yang akhirnya menuju ke pintu tersebut. Dalam bahasa yang lain, Allah menyediakan baginya sebab-sebab amalan soleh yang akhirnya membawa kepada pintu-pintu syurga. Ini berdasarkan firman Allah:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan).”[9]

Imam al-Razi menjelaskan: “Yakni, sesiapa yang berusaha untuk melaksanakan ketaatan, maka Allah SWT akan menunjukkan kepada dirinya jalan ke menuju ke syurga.[10]

Kedua: Makna futihat (فُتِحَتْ) “telah dibuka” dengan maksud akan dibuka pada hari Kiamat. Penggunaan fi’il madhi pada tempat akan datang semata-mata untuk mentahqiqkan pasti berlaku dan hampirnya. Ini sejenis daripada ta’bir balaghi sebagaimana firman Allah SWT:

أَتَىٰ أَمْرُ اللَّـهِ فَلَا تَسْتَعْجِلُوهُ

Maksudnya: “Telah hampir datangnya janji yang telah ditetapkan oleh Allah, maka janganlah kamu minta disegerakan.”[11]

Semoga Allah tempatkan kita bersama golongan soleh yang akhirnya melayakkan kita menduduki syurga-Nya. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 6 April 2022 bersamaan 4 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

 

[1] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/69

[2] Lihat al-Budur al-Tali`ah Syarh Risalah al-Jami`ahhlm. 123

[3]  (Surah al-Maidah: 6)

[4] Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 222

[5] Riwayat al-Bukhari (1897) dan Muslim (1705)

[6] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/100

[7] Lihat Fath al-Bari, 7/37

[8] Riwayat Muslim (234), Abu Daud (169), al-Nasa’ie (148), Ibn Majah (470) dan al-Tirmizi (55)

[9] (Surah al-Ankabut: 69)

[10] Lihat al-Tafsir al-Kabir, 25/94

[11] (Surah al-Nahl: 1)