#908 Bersiwak Selepas Zohor Ketika Berpuasa

Soalan

Apakah hukum bersiwak atau gosok gigi selepas zohor pada bulan Ramadhan?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Bersiwak menurut al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiah bermaksud perbuatan menggunakan kayu siwak untuk membersihkan gigi dan mulut daripada kotoran.[1] Bersiwak merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَوْلَا أنْ أشُقَّ علَى أُمَّتي أوْ علَى النَّاسِ لَأَمَرْتُهُمْ بالسِّوَاكِ مع كُلِّ صَلَاةٍ

Maksudnya: Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang.[2]

Ibn Rejab di dalam syarahnya menyebut: Hadith ini menunjukkan bahawa bersiwak  bukanlah satu kewajipan seperti mengambil wudhu’ untuk solat.[3]

Imam Ibn Hajar ‘Asqalani menukilkan pendapat Imam al-Syafi’ie, katanya: Hadith ini menyatakan bahawa  bersiwak sebelum solat  tidak wajib kerana sekiranya hukumnya wajib nescaya Baginda SAW akan menyuruh umatnya bersugi sama ada ia menyusahkan atau tidak menyusahkan mereka. Kebanyakan ulama berpegang pendapat tersebut. Oleh itu, bersiwak hukumnya sunat yang disukai ( مُسْتَحَب )  setiap kali sebelum solat  fardhu mahupun nawafil (sunat).”[4]

Ibn Battal pula menyatakan, perkataan ” kalaulah tidak menyusahkan umatku  ”  menunjukkan  ia merupakan perkara sunat yang disukai (مُسْتَحَب) kerana kelebihannya dapat menghilangkan bau mulut serta sentiasa bersih ketika hendak bermunajat kepada Allah SWT.[5]

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa bersiwak tidak  terikat pada waktu tertentu mahupun keadaan bahkan pada bila-bila masa. Sementara waktu bersiwak yang sangat digalakan oleh muslim adalah ketika ingin mendirikan solat, ketika sedang berwuduk, ketika ingin membaca al-Quran, ketika gigi berubah kekuningan  mahupun ketika  berubah berbau busuk kerana makan sesuatu atau mulut berbau kerana meninggalkan makanan mahupun terlalu lama berdiam diri dan ketika bangun tidur.[6]

Bersiwak Selepas Tergelincir Matahari Ketika Berpuasa

Terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama’ berkenaan hukum bersiwak atau gosok gigi selepas gelincir matahari ketika berpuasa adalah khilaf. Sebahagian memakruhkannya dan sebahagian yang lain mengharuskannya

Syeikh Izz al-Din Abd al-Salam menyatakan di dalam al-Ghayah fi Ikhtisar al-Nihayah: Disunnahkan untuk bersiwak sehingga tergelincirnya matahari dengan syarat menjaganya daripada tertelannya rasa atau bahagian daripada kayu siwak. Kami tidak melihat akan kesunnahan tersebut bagi orang yang berpuasa setelah tergelincirnya matahari, sama ada puasa wajib atau sunnah.[7]

Ibn Qasim al-Ghazzi menyatakan di dalam Fath al-Qarib: “Bersiwak digalakkan pada setiap waktu dan keadaan dan hukum bersiwak tidak makruh tanzih melainkan setelah masuk waktu Zuhur bagi orang yang berpuasa sama ada puasa wajib ataupun sunat. Hilang kemakruhan itu apabila telah terbenam matahari. al-Nawawi pula memilih pandangan tidak makruh bersiwak secara mutlak[8]

Ulama’  dalam kalangan Syafi’ieyyah memakruhkan perbuatan bersiwak apabila telah masuk waktu masuknya waktu Zuhur[9]. Hal ini kerana terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ تَعَالَى مِنْ رِيحِ المِسْكِ،

Maksudnya: Demi Dia (Allah) yang jiwaku berada di tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah SWT daripada aroma minyak kasturi.[10]

Imam al-Nawawi pula menyatakan sebaliknya bahawa tidak makruh untuk bersiwak setelah waktu Zuhur. Pandangan ini juga merupakan pandangan mazhab Hanafi. Imam al-Nawawi berkata: “Nukilan yang disandarkan kepada Imam al-Syafi’ie ini adalah gharib, walaupun pandangan ini kuat dari sudut dalil”[11]. Syeikh Ibrahim al-Bajuri menyatakan berkenaan pandangan Imam Nawawi yang mengatakan tidak makruh secara mutlak, katanya: “Imam al-Nawawi memilih pandangan tidak makruh kerana menilai dari sudut dalil” [12]

Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Amir bin Rabiah, katanya:

” رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا لَا أُحْصِي يَتَسَوَّكُ وَهُوَ صَائِمٌ

Maksudnya: Aku pernah melihat Rasulullah SAW bersiwak sedangkan baginda dalam keadaan puasa sehingga aku tidak dapat menghitung jumlahnya” [13]

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَوْلَا أنْ أشُقَّ علَى أُمَّتي أوْ علَى النَّاسِ لَأَمَرْتُهُمْ بالسِّوَاكِ مع كُلِّ صَلَاةٍ

Maksudnya: Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang.[14]

Berdasarkan dalil ini sebahagian fuqaha membenarkan bersiwak setelah masuk waktu Zuhur kerana hadith ini bersifat mutlak. Tidak ada hadith yang jelas berstatus sahih melarang secara mutlak untuk bersiwak setelah masuknya waktu Zuhur.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa menurut mazhab al-Syafi’e, makruh bagi orang yang berpuasa untuk bersiwak setelah masuknya waktu zohor. Namun begitu, kami lebih cenderung kepada pandangan yang dipilih oleh Imam al-Nawawi bahawa tidak makruh bersiwak walaupun setelah waktu Zuhur. Hal ini kerana terdapat hujah dan dalil yang lebih kuat yang mengharuskannya. Tambahan lagi, bau mulut yang melampau juga akan menyebabkan seseorang itu tidak disenangi oleh orang yang sekeliling dan berhampiran. Namun begitu, perlu diingatkan agar berhati-hati ketika bersiwak atau memberus gigi supaya kayu siwak atau ubat gigi itu tidak tertelan semasa membersihkan gigi dan mulut serta ketika berkumur.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 8 April 2022 bersamaan 6 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

 

[1] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiah, 4/135-136

[2] Riwayat al-Bukhari (887)

[3] Lihat Fath al-Bari li Ibn Rejab, 8/122

[4] Lihat Fath al-Bari, 2/375-376

[5] Lihat Syarh Sahih al-Bukhari li lbn Battal, 2/486

[6] Lihat alMu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 1/60

[7] Lihat al-Ghayah fi Ikhtisar al-Nihayah, 2/411

[8] Lihat Fath al-Qarib, hlm. 74

[9] Lihat Faidh al-Ilahi al-Malik, 1/22, Hasyiyah al-Baijuri, 1/83, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/300-301

[10] Riwayat al-Bukhari (1894)

[11] Lihat Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 2/341

[12] Lihat Hasyiah al-Bajuri, 1/136

[13] Riwayat al-Tirmizi (725) dan beliau menghasankan hadith ini. Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Takhrij Misykah al-Masabih (2/328) menyatakan hadith ini bertaraf Hasan.

[14] Riwayat al-Bukhari (887)