Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan
Apakah hukum melewatkan berbuka puasa dengan sengaja? Hal ini kerana terdepat sesetengah orang tidak yakin dengan pengumuman atau ketetapan waktu berbuka sesetengah pihak kerana telah banyak kali berlaku kesilapan. Mohon pencerahan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan. Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”[1]
Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya.[2]
Imam al-Nawawi pula berkata makna keimanan adalah seseorang itu membenarkan akan fadhilatnya dan makna pengharapan pula adalah seseorang itu berpuasa kerana menginginkan Allah dan tidak melakukannya disebabkan ingin dilihat oleh manusia atau apa yang bertentangan dengan makna ikhlas.[3]
Melewatkan Berbuka Puasa
Tidak ada dalil dan nas yang jelas yang melarang untuk melambatkan berbuka puasa. Namun begitu, melambatkan berbuka puasa boleh menghilangkan keberkatan. Hal ini kerana terdapat riwayat daripada Sahl bin Sa’ad bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ
Maksudnya: Manusia akan sentiasa dalam kebaikan selagi mana mereka menyegerakan berbuka puasa. [4]
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari menukilkan kalam Ibn Abd al-Barr, katanya: Hadith-hadith berkaitan menyegerakan berbuka dan melewatkan sahur adalah hadith-hadith yang sahih lagi mutawatir. Abd al-Razzaq dan selainnya meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada ‘Amr bin Maimun al-Audi, katanya: Sahabat-sahabat Muhammad SAW adalah manusia yang paling bersegera berbuka puasa dan melewatkan sahur.[5]
Imam al-Nawawi berkata: Hadith ini mengajak kita agar menyegerakan berbuka puasa sebaik sahaja matahari terbenam. Maksudnya ialah umat akan terus berada dalam keadaan sihat dan kebaikan selagi mana mereka terus berpegang kepada sunnah ini. Jika mereka melengahkannya, hal ini menunjukkan petanda bahawa sudah timbul kerosakan dalam kalangan mereka. [6]
Di dalam riwayat lain, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
عَجِّلُوا الْفِطْرَ فَإِنَّ الْيَهُودَ يُؤَخِّرُونَ
Maksudnya: Segeralah berbuka. Sesungguhnya Yahudi melewatkannya.[7]
Al-Tibi berkata: Alasan ini menunjukkan bahawa asas agama tauhid yang sebenar adalah bertentangan dengan apa yang dilakukan oleh musuh-musuhnya dalam kalangan Ahli Kitab, dan bahawa sekiranya menyerupai dengan mereka membawa kepada azab dan kebinasaan.
Terdapat juga riwayat daripada Abu Atiyyah, katanya:
دَخَلْتُ أَنَا وَمَسْرُوقٌ عَلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا. فَقَالَ لَهَا مَسْرُوقٌ: رَجُلَانِ مِنْ أَصْحَابِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. كِلَاهُمَا لَا يَأْلُو عَنِ الْخَيْرِ. أَحَدُهُمَا يُعَجِّلُ الْمَغْرِبَ وَالْإِفْطَارَ. وَالْآخَرُ يُؤَخِّرُ الْمَغْرِبَ وَالْإِفْطَارَ. فَقَالَتْ مَنْ يُعَجِّلُ الْمَغْرِبَ وَالْإِفْطَارَ؟ قَالَ: عَبْدُ اللَّهِ. فَقَالَتْ: هَكَذَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلم يصنع.
Maksudnya: Aku dan Masruq pernah masuk ke tempat Aisyah R.Anha., lalu Masruq berkata kepadanya, ‘Dua orang sahabat Nabi SAW ini sama-sama menginginkan kebaikan, salah seorangnya menyegerakan solat maghrib dan berbuka, sedangkan yang seorang lagi melewatkan solat maghrib dan berbuka.’ Aisyah bertanya, ‘Siapa yang menyegerakan solat maghrib dan berbuka?’ Kami menjawab, ‘Abdullah (bin Mas’ud),’ Lalu Aisyah R.Anha berkata, ‘Demikianlah yang biasa dilakukan oleh Rasulullah SAW.”[8]
Imam al-Syafie’ie berkata dalam al-Umm: Menyegerakan berbuka adalah mustahab. [9]
Ibn Hazm berkata dalam al-Muhalla: Disunnahkan menyegerakan berbuka dan melambatkan sahur, iaitu apabila matahari telah hilang di bawah ufuk bagi orang yang berpuasa dan tidak lebih. [10]
Syeikh Salim Jamal al-Handawi menyatakan di dalam kitabnya Tazkir al-Anam bi Sunan wa Adab al-Siyam: Para ulama telah menyebutkan beberapa sebab disunnahkan menyegerakan berbuka, antaranya sebagai berikut:
- Untuk membezakan dengan Yahudi dan Nasrani
- Mengikut Sunnah
- Supaya tidak memanjangkan siang berbanding malam
- Memberi kebaikan kepada orang yang berpuasa dan memberinya lebih kekuatan untuk beribadat
- Untuk bersegera menikmati apa yang diizinkan Allah kepadanya, kerana Allah maha pemurah dan suka melihat manusia menikmati kemurahan-Nya. Maka Dia suka hamba-hamba-Nya bersegera menikmati apa yang telah Allah izinkan kepada mereka sebaik sahaja matahari terbenam.[11]
Berkenaan waktu berbuka puasa, Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan: Para ulama bersepakat bahawa waktu berbuka puasa ialah ketika matahari telah terbenam, dengan melihatnya dengan mata sendiri ataupun dengan diberitahukan oleh dua orang saksi yang adil dan baik akhlaknya, atau salah satunya menurut pendapat yang benar.[12]
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa tidak ada larangan yang jelas yang melarang untuk melewatkan berbuka puasa dengan sengaja, namun begitu, yang paling menepati sunnah adalah dengan menyegerakan berbuka puasa sebagaiman dalil dan hujah yang dikemukakan setelah yakin dan terbukti bahawa matahari telah terbenam sepenuhnya menandakan waktu maghrib sudah masuk. Kami juga menasihatkan, jika penetapan atau pengumuman itu telah disahkan oleh majlis agama setempat, maka ikutilah penetapan tersebut dan jauhkanlah daripada perasaan was-was.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 8 April 2022 bersamaan 6 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)
[2] Lihat Fath al-Bari, 4/115
[3] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/39
[4] Riwayat al-Bukhari (1957) dan Muslim (1098)
[5] Lihat Fath al-Bari, 4/199
[6] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/208
[7] Riwayat Ibnu Majah (1768)
[8] Riwayat Muslim (1099)
[9] Lihat al-Umm, 3/238
[10] Lihat al-Muhalla, 4/380
[11] Lihat Tazkir al-Anam bi Sunan wa Adab al-Siyam, hlm. 136
[12] Lihat Fath al-Bari, 4/199