Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah seorang gadis yang belum berkahwin menyusukan anak angkatnya? Mohon pencerahan.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Penyusuan ataupun dalam bahasa Arabnya al-Rada‘ (الرّضَاع) menurut al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah ialah perbuatan mengalirkan susu bagi seseorang perempuan ke dalam perut seorang bayi dengan syarat-syarat yang tertentu.[1] Manakala menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji, al-Rada‘ ialah susu perempuan yang mengalir masuk ke dalam perut bayi.[2]
Pada asasnya, penyusuan yang memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan akan menyebabkan terjadinya hubungan kekeluargaan. Firman Allah SWT:
وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ
Maksudnya: “Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu”[3]
Oleh itu, kesan daripada penyusuan akan menyebabkan anak susuan itu haram untuk dikahwini seperti mana anak yang dilahirkannya. Hal ini seperti mana hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda kepada anak Saidina Hamzah R.A:
لاَ تَحِلُّ لِي، يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ، هِيَ بِنْتُ أَخِي مِنَ الرَّضَاعَةِ
Maksudnya: “Dia tidak halal bagiku. Apa yang disebabkan keturunan turut diharamkan disebabkan penyusuan. Dia merupakan anak perempuan susuanku.”[4]
Begitu juga riwayat daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الرَّضَاعَةُ تُحَرِّمُ مَا تُحَرِّمُ الوِلاَدَةُ
Maksudnya: “Persusuan mengharamkan perkara yang diharamkan kerana nasab kelahiran.”[5]
Imam al-Nawawi menyebutkan, penyusuan merupakan perkara yang menyebabkan kepada pengharaman bagi anak susuan berkahwin dengan ibu susuannya selama-lamanya — yakni mahram muabbad. Oleh itu, halal bagi anak susuan untuk melihat ibu susuannya, tinggal bersamanya di rumah, bermusafir dengannya seperti mana keadaan ibu kandungnya sendiri.[6]
Umumnya bagi menyebabkan anak susuan dan ibu susuan mengambil hukum mahram terdapat tiga rukun:
- Penyusu
- Anak yang menyusu
- Susu
Justeru, untuk menjawab soalan yang diajukan, kami fokuskan perbahasan ini kepada syarat ke atas penyusu. Penyusu mestilah seorang manusia, sama ada dia sudah berkahwin atau belum, janda atau dara, Muslim atau kafir, berakal waras ataupun gila. Kemudian, para ulama telah menggariskan syarat-syarat di bawah rukun ini iaitu:
Seorang wanita. Justeru, susu haiwan tidak termasuk dalam susu yang mengharamkan. Oleh itu, kalaulah dua kanak-kanak diberi minum susu daripada kambing atau seumpamanya, maka tidaklah sabit antara keduanya sebagai saudara susuan, sebagaimana susu lelaki — jika ada — juga tidak termasuk dalam susu yang mensabitkan pengharaman.
Wanita itu masih hidup. Justeru, tidak berlaku pengharaman antara penyusu dan anak yang disusu apabila anak tersebut disusukan atau diambil susunya selepas wanita tersebut meninggal dunia. Oleh itu, sekiranya seorang perempuan yang menyusukan seorang anak kemudian meninggal dunia dalam keadaan masih tidak cukup bilangan susu (lima kali susu yang berasingan), tidak dianggap anak itu sebagai mahram kepadanya. Namun, sekiranya susu diambil semasa hidup penyusu dan diberikan kepada anak susuan ketika penyusu telah meninggal dunia, maka berlaku pengharaman (mahram) antara ibu susuan dan anak tersebut.
Berkebolehan untuk melahirkan anak. Dalam erti kata lain, mencapai umur baligh iaitu 9 tahun. Sekiranya susu keluar pada umur kurang sembilan tahun, susuan tersebut tidak dikira. Jika sudah mencapai umur baligh, 9 tahun dan mempunyai susu. Maka susuan itu dikira, sekalipun dia masih lagi belum dihukumkan sebagai baligh — yakni datang haid. Hal ini kerana kemungkinan baligh itu ada, dan hukum penyusuan ini adalah seperti hukum nasab. Cukup dengan adanya kemungkinan atau kebarangkalian padanya, sebagaimana jika dia hamil sebelum datangnya haid.[7]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa seorang gadis yang mempunyai susu kerana suntikan hormon atau ubat untuk menggalakkan susu, tetapi belum berkahwin boleh menyusukan anak angkatnya dan penyusuan tersebut diambil kira — yakni boleh menjadikannya mahram, sekiranya memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan. Hal ini kerana perkara ini tidak terikat dengan keadaan penyusu yang sudah berkahwin atau belum, gadis atau tidak, Muslim atau kafir, berakal waras ataupun gila.
Wallahu a‘lam.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 8 April 2022 bersamaan 6 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/238
[2] Lihat al-Fiqh al- Manhaji, 3/119
[3] Surah al-Nisa’, 23
[4] Riwayat al-Bukhari (2645) dan Muslim (1447)
[5] Riwayat al-Bukhari (5099)
[6] Lihat Syarh al-Nawawi ala Sahih Muslim, 10/23
[7] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/320-321.