Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Benarkah kita tidak sepatutnya memakan makanan yang dijual oleh pelaku maksiat seperti orang yang tidak menutup aurat? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”[1]
Ayat ini menunjukkan bahawa dihalalkan segala benda-benda yang berasa elok pada jiwa dan enak pada tabiat manusia, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan bahawa ia adalah haram. Begitu juga diharamkan segala apa yang jijik pada jiwa seperti bangkai dan darah, serta orang yang memakannya dianggap fasik. Dalam kata lain, semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit. Lalu apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Justeru setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum sebaliknya.[2]
Begitu juga tidak menjadi kesalahan ke atas seorang Muslim untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh orang bukan Islam yang bukan ahli kitab berupa susu, sayur-sayuran, buah-buahan dan segala jenis makanan yang lain kecuali sembelihan mereka. Bahkan terdapat riwayat daripada Qatadah yang menyatakan bahawa:
لَا بَأْسَ بِأَكْلِ طَعَامِ الْمَجُوسِ مَا خَلَا ذَبِيحَتَهُ
Maksudnya: “Tidak mengapa dengan memakan makanan orang Majusi selain daripada sembelihannya.”[3]
DI samping itu, al-Qurtubi juga ada menukilkan dalam tafsirnya daripada Abu Umar yang menyebutkan bahawa tidak mengapa dengan memakan makanan penyembah berhala, penganut Majusi dan sekalian penganut bukan Islam yang tidak diberikan kitab (yakni bukan ahli kitab) selain daripada sembelihan mereka. Begitu juga, makanan tersebut tidak berhajat kepada sembelihan mengikut syarak kecuali keju kerana ia berasal daripada renet bangkai — disebabkan oleh haiwan itu tidak disembelih mengikut syarak.[4]
Begitu juga, status halal suatu makanan itu, bukanlah dilihat daripada individu yang menyediakan makanan tersebut. Akan tetapi, kayu ukurnya adalah pada bahan-bahan dan perkakas yang digunakan bagi menyediakan makanan tersebut. Dalam erti kata lain, mestilah daripada bahan-bahan yang halal dan bersih, di samping alat-alat perkakas yang digunakan untuk memasaknya juga, mestilah tidak digunakan untuk memasak makanan yang haram.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, dalam isu ini, nas-nas syarak tidaklah menyebutkan mengenainya secara jelas mahupun terperinci. Syarak hanya meletakkan garis panduan asas iaitu makanan yang hendak dimakan mestilah halal lagi suci tanpa melihat kepada siapa yang memasak dan menjualnya. Malah, kita dibenarkan untuk memakan makanan yang dimasak oleh orang bukan Islam selagi mana bahan-bahan yang digunakan adalah halal lagi suci dan alat-alat perkakas memasak juga adalah bersih dan tidak bernajis. Justeru, jika makanan yang berasaskan bahan-bahan yang halal, yang disediakan oleh orang bukan Islam, kita dibolehkan untuk memakannya, maka lebih-lebih lagilah makanan yang disediakan oleh orang Islam sendiri sekalipun mereka terdiri daripada golongan fasiq dan pelaku maksiat.
Namun, al-Mulla Ali al-Qari ketika mensyarahkan satu riwayat dengan lafaz “وَلَا تَأْكُلْ إِلَّا طَعَامَ تَقِيّ” (Yakni janganlah kamu makan melainkan makanan orang bertaqwa), beliau menyebutkan, hal ini kerana kebiasaannya makanan mereka (yakni orang bertaqwa itu) adalah halal dan akan memberi kesan dalam mencapai kesempurnaan ibadah.[5] Oleh itu, sekiranya seseorang itu atas dasar waraknya, bagi menjaga keperibadian dirinya, memilih untuk tidak membeli makanan daripada peniaga yang mendedahkan aurat atau melakukan maksiat yang lain, maka perkara ini adalah dibolehkan bagi dirinya tanpa melarang orang lain daripada berbuat demikian. Lebih-lebih lagi, bagi mengelakkan timbulnya salah faham dalam kalangan masyarakat.
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa membeli dan memakan makanan yang disediakan oleh para peniaga yang tidak menutup aurat atau pelaku maksiat adalah dibolehkan selagi mana makanan yang disediakan itu adalah halal lagi baik, terutamanya dari segi aspek penyediaan, kebersihan, dan tempat jualan.
Selain itu, pada kesempatan ini juga, kami ingin menasihati para peniaga terutamanya dalam bulan Ramadhan ini untuk sama-sama muhasabah diri, seterusnya berusaha menjadikan bulan Ramadhan ini sebagai medan bagi mencapai keberkatan dalam perniagaan dengan mematuhi segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 8 April 2022 bersamaan 6 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Surah al-A‘raf: 157
[2] Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381.
[3] Riwayat ‘Abd al-Razzaq di dalam Musannafnya (10155)
[4] Lihat Tafsir al-Qurtubi, 2/221
[5] Lihat Mirqah al-Mafatih, 8/3141.