Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan
Assalamualaikum ustaz. Ketika seseorang berbuka puasa, mana satu yang perlu dia dahulukan? Adakah solat Maghrib dahulu, atau boleh untuk makan berat dahulu? Manakah lebih afdhal antara kedua perbuatan ini. Hal ini kerana, sesetengah masjid, apabila tiba waktu berbuka, mereka akan menyediakan juadah ringan dahulu seperti kurma dan air. Kemudian, mereka akan solat Maghrib berjemaah. Selepas selesai solat, barulah akan makan juadah berat. Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari.
Firman Allah SWT:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
Maksudnya: “…dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib);…” [1]
Imam al-Qurtubi dalam al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an berkata: “Allah jadikan sebutan malam sebagai tempat atau waktu untuk makan, minum, berjima’. Sedangkan siang hari sebagai waktu untuk berpuasa.” [2]
Imam al-Bukhari meriwayatkan hadith dalam menafsirkan ayat ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Adi bin Hatim RA, katanya:
قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا الخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الخَيْطِ الأَسْوَدِ؟ أَهُمَا الخَيْطَانِ؟ قَالَ: إِنَّكَ لَعَرِيضُ القَفَا، إِنْ أَبْصَرْتَ الخَيْطَيْنِ، ثُمَّ قَالَ: لاَ، بَلْ هُوَ سَوَادُ اللَّيْلِ وَبَيَاضُ النَّهَارِ
Maksudnya: “Aku berkata: Wahai Rasulullah, apakah (yang dimaksudkan dengan) benang putih dan benang hitam? Apakah kedua-duanya betul-betul benang?” Baginda bersabda: “Sesungguhnya kamu orang yang sangat lebar tengkuk (ia adalah kiasan bagi orang yang tidak cerdik atau tidak faham) jika kamu melihat kedua-dua benang itu.” Kemudian Baginda bersabda: “Tidak, bahkan (maksudnya ialah) ia adalah gelapnya malam dan terangnya siang.” [3]
Antara perkara yang dituntut atau sunat dilakukan bagi orang yang berpuasa adalah menyegerakan berbuka puasa. Hal ini sepertimana disebut dalam hadith yang diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الفِطْرَ
Maksudnya: “Manusia itu akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagimana mereka mempercepatkan berbuka puasa.” [4]
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan bahawa hikmah dituntut mempercepatkan berbuka adalah agar tidak ditambah waktu siang hari berpuasa ke malam hari kerana itu lebih baik bagi orang yang berpuasa dan lebih menguatkannya dalam beribadah. Para ulama’ telah bersepakat bahawa dibolehkan berbuka apabila yakin terbenamnya matahari dengan melihatnya sendiri atau dengan pengkhabaran dua orang yang adil dan begitu juga seorang pada pendapat yang lebih tepat. [5]
Selain itu, Imam al-Nawawi RA mengatakan bahawa pada hadith ini terdapat galakan mempercepatkan berbuka setelah ia yakin akan terbenamnya matahari. Antara maknanya adalah urusan umat ini akan sentiasa tersusun dan mereka akan berada dalam kebaikan selagimana mereka berterusan menjaga sunnah ini. Sebaliknya jika mereka melewatkannya, ini menunjukkan tanda kerosakan telah berlaku padanya. [6]
Solat Maghrib atau Makan Juadah Berat Dahulu Ketika Berbuka?
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, – sepertimana dalam hadith yang kami telah sebutkan di atas – bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ
Maksudnya: “Sentiasalah manusia itu berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka.” [7]
Berdasarkan hadith ini, dapat difahami bahawa antara amalan sunnah adalah dengan menyegerakan berbuka puasa sebaik sahaja telah dipastikan bahawa matahari telah terbenam.
Selain itu, disebut juga dalam satu riwayat lain, bahawa Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji ruthab kemudian Baginda mendirikan solat. Hal ini sepertimana dalam hadith daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَى رُطَبَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْرَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تُمَيْرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ
Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW berbuka puasa sebelum bersolat (Maghrib) dengan beberapa biji ruthab, sekiranya tiada ruthab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka baginda minum beberapa teguk air.” [8]
Imam al-Saharanfuri menyebut Nabi SAW akan berbuka dengan ruthab atau tamar atau air sebelum menunaikan solat Maghrib. Dikatakan juga, Nabi SAW akan berbuka puasa dengan buah tamar pada musim syita’ (musim sejuk) dan berbuka dengan air pada musim soifi (musim panas). [9]
Dari sudut yang lain, terdapat juga hadith yang menjelaskan berkenaan isu mendirikan solat dalam keadaan makanan telah terhidang. Antaranya adalah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Atiq R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ صَلاَةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ وَلاَ وَهُوَ يُدَافِعُهُ الأَخْبَثَانِ
Maksudnya: “Tidak sempurna solat dengan keberadaan makanan (yang telah terhidang) dan begitu juga tidak sempurna solat bagi mereka yang menahan air kecil dan air besar.” [10]
Imam al-Tirmizi berkata di dalam Jami’nya: Maksudnya: “Hadith ini diamalkan oleh sebahagian ahli ilmu daripada kalangan sahabat Nabi SAW. Antaranya ialah Abu Bakar, Umar dan Ibn Umar. Ini juga merupakan pendapat Imam Ahmad dan Ishak. Mereka berdua berkata: Mulakanlah dengan makanan walaupun kamu terlepas melaksanakan solat secara berjemaah.” [11]
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas berkata: “Pada hadith-hadith ini menunjukkan kemakruhan solat ketika terhidangnya makanan yang ingin dimakannya kerana perbuatan ini akan menyibukkan hati dengannya (makanan) dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. Makruh juga bagi orang yang solat dalam keadaan menahan dua perkara yang kotor, iaitu membuang air kecil dan besar. Maka dengan itu, apa yang boleh difahami adalah (solat ketika makanan terhidang) hal ini akan menyibukkan hati dan menghilang kesempurnaan khusyuk. Kemakruhan ini adalah di sisi jumhur ashab kami (ulama’ al-Syafi’eyyah) dan selain daripada mereka.” [12]
Selain itu, Ibn Qudamah juga ada menyebut berkenaan pentingnya melapangkan hati dalam menghadirkan khusyuk ketika solat. Kata beliau: “Apabila telah tersedia makan ketika waktu solat, maka sunat dimakan terlebih dahulu sebelum daripada solat. Ini kerana, ia akan melapangkan hati dan menghadirkan khusyuk. Selain itu, tidak disunatkan untuk tergesa-gesa ketika makan malam atau makan tengahari.” [13]
Beliau turut menyebut: “Ashab kami (ulama’ bermazhab Hanabilah) berkata: Sesungguhnya didahulukan makan daripada solat berjemaah jika dirinya cenderung kepada makanan (lebih daripada solat) dan Imam al-Syafie berkata seperti itu juga.” [14]
Berdasarkan hadis di atas juga, kalimah لاَ di situ adalah La al-Naafiyah yang dalam konteks ini menafikan kesempurnaan solat. Implikasi hukumnya adalah makruh solat dalam keadaan makanan telah dihidangkan dan begitulah juga makruh solat dalam keadaan menahan buang air kecil dan air besar. Hal ini sepertimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi seperti yang telah dinukilkan: “Hadis-hadis sebegini menunjukkan kepada kemakruhan solat dengan adanya makanan disediakan bagi mereka yang ingin makan. Ini disebabkan akan hilangnya kesempurnaan khusyuk serta hadirnya perkara-perkara yang menyibukkan hati.” [15]
Selain itu, terdapat juga hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ عَلَى الطَّعَامِ فَلاَ يَعْجَلْ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ مِنْهُ، وَإِنْ أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ
Maksudnya: “Apabila salah seorang kamu berada di hadapan hidangan makan maka janganlah dia bersegera sehinggalah dia menyelesaikan hajatnya dari makanan tersebut, meskipun solat telah didirikan.” [16]
Di samping itu, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا قُدِّمَ الْعَشَاءُ فَابْدَءُوا بِهِ قَبْلَ أَنْ تُصَلُّوا صَلاَةَ الْمَغْرِبِ، وَلاَ تَعْجَلُوا عَنْ عَشَائِكُمْ
Maksudnya: “Apabila makan malam telah disediakan maka mulakanlah dengannya sebelum kamu menunaikan solat maghrib. Maka janganlah kamu tergopoh gapah dengan makan malam kamu.” [17]
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan bahawa al-Fakihani berkata: “Sewajarnya hadith ini difahami sebagaimana cakupannya yang bersifat umum, demi menjaga ‘illah (sebab penetapan hukum), yakni gangguan yang menghilangkan kekhusyukan. Adapun, penyebutan ‘solat Maghrib’ dalam riwayat di atas, tidak bermaksud hukum tersebut hanya terbatas pada solat Maghrib. Ini kerana orang yang lapar dan tidak berpuasa, terkadang keinginannya untuk makan lebih besar daripada orang yang berpuasa.” Kata Ibn Hajar: Memahami hadith ini di bawah konteks umum adalah berdasarkan maknanya, yakni menyamakan orang yang lapar dengan orang yang berpuasa dan menyamakan makan waktu siang dengan makan malan, dan bukan dari sisi lafaz yang disebutkan dalam riwayat. [18]
Imam al-Bukhari menukilkan sebuah kata-kata dari Abu al-Darda’ yang mana beliau berkata: “Antara feqh (kefahaman beragama) seseorang itu adalah dia mendahulukan hajat (keperluannya dengan makanan) kemudian barulah dia pergi ke arah solatnya dalam keadaan jantung hatinya kosong (tenang dari gangguan).”
Dalam satu riwayat, turut disebutkan:
وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يُوضَعُ لَهُ الطَّعَامُ، وَتُقَامُ الصَّلاَةُ، فَلاَ يَأْتِيهَا حَتَّى يَفْرُغَ، وَإِنَّهُ لَيَسْمَعُ قِرَاءَةَ الإِمَامِ.
Maksudnya: “Kebiasaannya Ibn Umar ketika dihidangkan juadah untuk-nya dan iqamat dikumandangkan, dia tidak datang untuk solat melainkan setelah dia selesai menikmati juadah itu, meskipun dia mendengar bacaan imam.” [19]
Manakala dalam sebuah riwayat yang lain daripada Nafi’ beliau berkata:
وَكَانَ ابْن عُمَر إِذَا حَضَرَ عَشَاؤُهُ وَسَمِعَ الْإِقَامَة وَقِرَاءَة الْإِمَام لَمْ يَقُمْ حَتَّى يَفْرُغَ
Maksudnya: “Adalah Ibn Umar apabila telah terhidang makan malam dan beliau mendengar iqamah serta mendengar bacaan imam, beliau tidak bangun (untuk menunaikan solat) sehinggalah selesai makan.” [20]
Terdapat juga satu riwayat yang menceritakan berkenaan dengan Abu Hurairah dan juga Ibn Abbas R.Anhuma bahawa ketika keduanya sedang memakan hidangan lalu muazzin hendak iqamat bagi mendirikan solat, maka Ibn Abbas berkata kepadanya:
لَا تَعْجَلْ لِئَلَّا نَقُومَ وَفِي أَنْفُسِنَا مِنْهُ شَيْءٌ
Maksudnya: “Jangan kamu bersegera (untuk iqamat) supaya kita tidak berdiri dalam keadaan dalam diri kita ada memikirkan sedikit tentang makanan tersebut.” [21]
Al-Hafiz Ibn Hajar turut menukilkan kenyataan daripada Ibn al-Jauzi, katanya: “Sebahagian orang mengira bahawa hal ini merupakan bentuk mendahulukan hak hamba daripada hak Allah SWT. Sedangkan, sebenarnya ia tidaklah sedemikian. Bahkan, ini adalah cara memelihara hak Allah SWT agar para hamba dapat melaksanakan ibadah kepada-Nya dengan penuh tumpuan dan kekhusyukan. Di samping itu, makanan mereka ketika itu tidak banyak dan untuk menyantapnya tidak memerlukan waktu yang lama, sehingga umumnya tidak menyebabkan seseorang ketinggalan solat berjemaah.” [22]
Kesimpulan
Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa jika sekiranya juadah dan makanan untuk berbuka puasa telah pun dihidangkan, maka seseorang itu boleh menyelesaikan makan berbuka terlebih dahulu. Setelah itu, barulah dia menunaikan solat Maghrib. Hal ini bertujuan agar jiwanya lebih tenang dan fikirannya tidak terganggu semasa mendirikan solat Maghrib.
Berdasarkan persoalan di atas juga, berdasarkan suasana masjid pada hari ini, yang mana sebahagiannya mengambil jalan untuk berbuka dengan juadah ringan terlebih dahulu, maka kami nyatakan bahawa hal tersebut tidaklah bercanggah dengan syariat. Malah, ia lebih afdhal kerana dapat mengamalkan sunnah berbuka puasa segera, di samping dapat menunaikan solat berjemaah dalam tempoh yang awal.
Hal ini juga sepertimana yang disebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar: “Ini kerana dia telah mengambil dari makanan dengan kadar yang dapat menghalang sibuknya fikiran dirinya dengan makanan tersebut.” [23]
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 8 April 2022 bersamaan 6 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Surah al-Baqarah: 187
[2] Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 2/321
[3] Riwayat al-Bukhari (4510)
[4] Riwayat al-Bukhari (1957) dan Muslim (1098)
[5] Lihat Fath al-Bari, 4/199
[6] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/208
[7] Riwayat al-Bukhari (1957)
[8] Riwayat al-Tarmizi (696) dan Abu Daud (2356). Imam al-Tarmizi menghukumkan hadis ini sebagai hasan gharib.
[9] Lihat Bazl al-Majhud, 11/91-92
[10] Riwayat Muslim (560)
[11] Lihat Jami’ al-Tirmizi, 2/184
[12] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/46
[13] Lihat al-Mughni, 1/655
[14] Lihat al-Mughni, 1/655
[15] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/46)
[16] Riwayat al-Bukhari (674)
[17] Riwayat al-Bukhari (672)
[18] Lihat Fath al-Bari, 2/500
[19] Riwayat al-Bukhari (673) dan Muslim (559)
[20] Lihat Fath al-Bari, 2/3
[21] Lihat Fath al-Bari, 2/188
[22] Lihat Fath al-Bari, 2/190
[23] Lihat Fath al-Bari, 2/161