#926: Tidur Sepanjang Hari Pada Bulan Ramadhan

Soalan

Apakah dibolehkan untuk tidur sepanjang hari di siang Ramadhan, hanya bangun untuk solat fardhu, kemudian dia menyambung kembali tidurnya sehingga berbuka.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan. Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”[1]

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya.[2]

Imam al-Nawawi pula berkata makna keimanan adalah seseorang itu membenarkan akan fadhilatnya dan makna pengharapan pula adalah seseorang itu berpuasa kerana menginginkan Allah dan tidak melakukannya disebabkan ingin dilihat oleh manusia atau apa yang bertentangan dengan makna ikhlas.[3]

Bulan Ramadhan adalah bulan yang digalakkan untuk memperbanyakan beribadah seperti membaca al-Quran dan lain-lain lagi. Begitu juga, bulan Ramadhan adalah bulan yang diberi ganjaran pahala yang besar serta berlipat kali ganda. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ

Maksudnya: Setiap amalan anak Adam akan digandakan, satu kebaikan digandakan dengan sepuluh kali sehingga tujuh ratus kali ganda.[4]

Tidur Sepanjang Hari di Bulan Ramadhan

Para ulama bersepakat bahawa orang yang berpuasa, apabila dia tidur sepanjang hari, ia tidak membatalkan puasa oleh kerana tidur sepanjang hari bukanlah termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa.

Imam al-Nawawi menyebut: Dan jika tidur seseorang itu sepanjang siang hari, maka sah puasanya menurut pendapat yang sahih lagi diketahui.[5]

Imam Syihab al-Din al-Ramli pula berkata: Tidak menjadi kemudharatan (kepada puasanya) sekiranya ia tidur yang nyenyak sehingga habisnya waktu siang mengikut pandangan yang sahih. Hal ini kerana ia tetap sebagai golongan yang diperintahkan oleh syara’ (untuk berpuasa). Lalu apabila dikejutkannya dan ia terjaga dari tidurnya maka ia diwajibkan untuk mengqada’ sembahyang yang tertinggal ketika tidur, bukan tertinggal disebabkan ia pengsan.[6]

Namun perbuatan tidur sepanjang hari pada bulan Ramadhan adalah perbuatan yang boleh mengurangkan fadhilatnya serta berlawanan dengan adab dan hilangnya nikmat merasa kepayahan serta kesusahan berpuasa. Ini jelas bahawa kesusahan dalam menghadapi bulan ramadhan merupakan salah satu hikmah berpuasa bahawa Allah SWT ingin mentarbiah hambanya supaya sentiasa mengawal diri dan nafsu daripada memenuhi keinginannya serta sentiasa mengingati Allah SWT.

Hal ini seperti yang disebut oleh Imam al-Ghazali: Antara adab berpuasa ialah tidak memperbanyakkan tidur pada siang hari, sehingga seseorang itu merasakan kelaparan, haus dan merasakan lemah keupayaannya. Maka dengan itu akan dibersihkan hatinya.[7]

Oleh itu, para ulama menyebut bahawa tidur sepanjang siang hari pada bulan Ramadhan adalah termasuk daripada perkara yang dimakruhkan. Imam al-Hattab al-Maliki menyebut di dalam kitabnya, di antara perkara makruh ketika berpuasa adalah banyak tidur pada siang hari di bulan ramdhan.[8]

Al-Lajnah Al-Daimah pernah ditanya berkenaan hal ini, maka mereka menjawab, ‘Puasanya sah. Akan tetapi orang puasa jika terus menghabiskan waktunya dengan tidur menunjukkan kelemahan darinya. Hal ini kerana bulan Ramadhan merupakan bulan yang mulia, sepatutnya seorang muslim mengambil manfaat daripadanya dengan memperbanyakkan membaca Al-Qur’an, mencari rezeki dan menimba ilmu.[9]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa perbuatan tidur sepanjang hari di siang Ramadhan adalah perkara yang dimakruhkan serta sah puasanya pada hari tersebut. Namun sebaiknya pada bulan Ramadhan adalah bulan untuk melipat gandakan amalan dan beribadah kepada Allah SWT.

Dan sekiranya seseorang itu tidur dan berniat di dalam hatinya bahawa dengan tidurnya itu dapat merehatkan tubuh badannya supaya ia dapat melakukan ibadah dengan lebih kuat, maka tidurnya itu boleh menjadi ibadah bergantung dengan niatnya. Ini secara umumnya tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadah kerana tidur dalam keadaan dia sedang berpuasa.

Justeru, di bulan yang penuh dengan keberkatan ini kami menyeru agar memperbanyakan amalan ibadah dan melakukan perbuatan yang bermanfaat agar amalan pada Ramadhan pada kali ini diterima oleh Allah SWT serta menjadikan Ramadhan yang terbaik daripada sebelumnya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 8 April 2022 bersamaan 6 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

 

[1]  Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)

[2] Lihat Fath al-Bari, 4/115

[3] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/39

[4] Riwayat Muslim (1151)

[5] Lihat Raudah al-Talibin, 2/366

[6] Lihat Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, 3/176

[7] Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 1/235

[8] Lihat, Mawahib al-Jalil, 2/415

[9] Lihat al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-‘Ilmiah, 10/212