Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Adakah dibolehkan seorang imam untuk mengimamkan solat dengan melihat mashaf al-Quran di hadapan? Mohon pencerahan.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, solat merupakan salah satu amal ibadat yang paling utama dalam kehidupan kita. Kemudian, dalam solat pula disyariatkan untuk membaca ayat-ayat al-Quran seperti surah al-Fatihah — yang merupakan salah satu rukun qauli — dan ayat-ayat yang lain. Firman Allah SWT:
فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ
Maksudnya: “Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari al-Quran; dan dirikanlah solat.”[1]
Berbalik kepada soalan yang diajukan, Imam al-Nawawi ada menyebutkan jika seseorang itu membaca al-Quran daripada mashaf, maka solatnya tidak terbatal, tidak kira dia menghafalnya ataupun tidak. Bahkan, wajib ke atasnya perkara tersebut jika dia tidak menghafal surah al-Fatihah. Begitu juga jika dia kadang-kadang membelek-belek halaman al-Quran (dengan tidak melakukan pergerakan yang besar tiga kali berturut-turut) di dalam solatnya, maka solatnya tidak terbatal. Begitu juga sekiranya dia melihat tulisan yang tercatat selain daripada al-Quran dan mengulang-ulangkan apa yang dilihatnya itu untuk bacaan dirinya, maka tidak juga membatalkan solat walaupun ia panjang tetapi perbuatan tersebut dikira makruh. Perkara itu telah dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam kitab al-Imla’, dan telah dipersetujui oleh ulama-ulama dalam mazhab Syafi‘i. Justeru, membaca al-Quran daripada mashaf tidak membatalkan solat. Inilah mazhab Syafi‘i, mazhab Malik, Abu Yusuf, Muhammad dan Ahmad.
Manakala Imam Abu Hanifah pula berpendapat, solatnya terbatal. Kemudian, Abu Bakar al-Razi menjelaskan, maksud Imam Abu Hanifah adalah sekiranya dia tidak menghafal al-Quran dan hendak membaca banyak ayat-ayat al-Quran melalui mashaf. Adapun sekiranya dia menghafal al-Quran atau tidak menghafal tetapi membaca sedikit sahaja daripada ayat al-Quran seperti beberapa ayat dan seumpamanya, maka ia tidak membatalkan solat. Mereka berhujah bahawa melihat kepada mushaf berhajat kepada berfikir dan melihat. Ini merupakan suatu pekerjaan yang banyak. Begitu juga jika seseorang menegur orang lain di dalam solat, ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i menggunakan hujah bahawa ia hendaklah menegur dengan mendatangkan bacaan. Adapun melihat selain daripada mashaf dengan cara berfikir dan melihat di dalam solat, maka ia tidak membatalkan solat secara kesepakatan para ulama. Oleh itu, melihat mashaf di dalam solat adalah lebih utama berbanding yang lain. Manakala menegur di dalam solat tidak membawa kepada batalnya solat di sisi ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i tanpa sebarang khilaf.[2]
Selain itu, Ibn Qudamah juga ada menukilkan daripada Imam Ahmad, beliau menyebutkan bahawa tidak mengapa untuk seseorang mengimamkan orang ramai dalam Qiyam (solat sunat), sedangkan dia melihat mashaf. Kemudian, ditanyakan kepadanya: “Dalam solat fardhu?” Beliau menjawab: “Tidak, aku tidak mendengar sesuatupun mengenainya.” Selain daripada itu, al-Qadhi menyebutkan, makruh hukumnya membaca daripada mashaf dalam solat fardhu, dan tidak mengapa melakukannya dalam solat sunat, jika dia tidak menghafal al-Quran. Sekiranya dia menghafalnya, maka dihukumkan juga sebagai makruh kerana Imam Ahmad ditanya berkenaan hukum mengimamkan orang ramai dengan membacanya daripada mashaf dalam bulan Ramadhan? Beliau menjawab, sekiranya terpaksa kepada perbuatan tersebut — yakni ada keperluan.
Di samping itu, dinukilkan daripada Ibn Hamid bahawa solat sunat dan fardhu dari segi keharusannya — yakni melihat mashaf sambil mengimamkan orang ramai — adalah sama. Selain itu, al-Zuhri juga pernah ditanya mengenai lelaki yang membaca al-Quran dengan melihat mashaf dalam bulan Ramadhan — yakni dalam solatnya. Beliau menjawab, mereka yang terpilih dan terbaik dalam kalangan kami membaca al-Quran dengan melihat mushaf ketika dalam solat di bulan Ramadhan. Tambahan lagi, diriwayatkan perkara tersebut daripada ‘Ata’ dan Yahya al-Ansari, serta daripada al-Hasan dan Ibn Sirin dalam solat sunat. Manakala diriwayatkan pula mengenai kemakruhan perbuatan itu daripada Sa‘id bin al-Musayyib, al-Hasan, Mujahid, Ibrahim, Sulaiman bin Hanzalah dan Rabi‘.[3]
Seterusnya, di antara dalil yang menunjukkan kepada keharusannya adalah berdasarkan kepada sebuah riwayat yang menceritakan bahawa Aisyah R.Anha pernah menjadi makmum kepada hambanya yang telah dimerdekakan, Zakwan dalam keadaan dia membaca al-Quran di dalam solat dengan melihat mashaf. Imam al-Bukhari meriwayatkannya secara mu‘allaq di bawah bab ‘Hamba dan Bekas Hamba menjadi Imam’ (بَابُ إِمَامَةِ العَبْدِ وَالمَوْلَى) dalam sahihnya.[4]
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, hadith ini menjadi dalil bahawa harus bagi orang yang sedang mengerjakan solat untuk membaca al-Quraan dengan melihat kepada mashaf.[5] Peristiwa ini menjadi dalil yang jelas bahawa Zakwan menunaikan solat dengan melihat mashaf dan Aisyah R.Anha tidak mengingkari perkara tersebut. Jika perkara tersebut tidak dibolehkan, nescaya Aisyah R.Anha akan melarangnya daripada berbuat demikian.
Begitu juga Nabi SAW pernah mendukung cucu Baginda, Umamah R.Anha ketika Baginda sedang solat seperti mana yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Ansari, beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي وَهُوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ زَيْنَبَ بِنْتِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَلِأَبِي العَاصِ بْنِ رَبِيعَةَ بْنِ عَبْدِ شَمْسٍ فَإِذَا سَجَدَ وَضَعَهَا، وَإِذَا قَامَ حَمَلَهَا
Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah SAW menunaikan solat sambil mendukung Umamah, anak perempuan kepada Zainab binti Rasulullah SAW dan Abu al-‘As bin Rabi‘ah bin ‘Abd Syams. Apabila sujud, Baginda akan meletakkannya dan apabila bangun, Baginda akan mendukung semula.”[6]
Oleh itu, jika tiada halangan untuk Rasulullah SAW mendukung Umamah R.Anha ketika solat, begitu juga halnya tiada halangan untuk seseorang itu memegang mashaf dan membacanya ketika solat.
Selain itu, Mantan Mufti Besar Arab Saudi juga pernah ditanya berkenaan, adakah dibolehkan seorang imam menginmamkan solat fardhu lima waktu dengan membaca melalui mashaf al-Quran, terutamanya solat Subuh kerana memanjangkan bacaan al-Quran di dalamnya adalah dituntut, dan takut tersilap atau terlupa? Beliau menjawab, perkara itu dibolehkan jika ada keperluan kepadanya, sebagaimana dibolehkan juga membaca ayat al-Quran daripada mashaf dalam solat terawih bagi sesiapa yang tidak menghafal al-Quran. Sesungguhnya Zakwan maula Aisyah R.Anha pernah mengimamkannya dalam solat di bulan Ramadhan dengan membaca melalui mashaf, seperti mana dinyatakan oleh Imam al-Bukhari dalam sahihnya. Begitu juga, memanjangkan bacaan dalam solat Subuh adalah termasuk dalam perkara sunnah. Justeru, jika imam tidak menghafal surah-surah al-Mufassal atau selainnya daripada al-Quran, maka dibolehkan baginya untuk membacanya daripada mashaf — yakni dengan melihatnya.
Meskipun begitu, dia hendaklah memulakan untuk menyibukkan diri dengan menghafal al-Quran dan bersungguh-sungguh dalam perkara itu, atau sekurang-kurangnya menghafal surah-surah al-Mufassal sehingga tidak lagi perlu membacanya daripada mashaf — ketika dalam solat. Surah-Surah al-Mufassal bermula daripada surah Qaf hingga akhir al-Quran. Sesiapa yang bersungguh-sungguh dalam menghafal al-Quran, Allah akan mempermudahkan urusannya.[7]
Selain daripada itu, al-Khatib al-Syirbini ada menjelaskan lagi bahawa membaca ayat al-Quran dengan melihat mashaf dan juga membelek kertas mashaf ketika sedang mendirikan solat adalah harus dengan syarat ia dilakukan dengan tidak berturut-turut sebanyak tiga kali dan ia dilakukan kerana mempunyai keperluan. Jika ia dilakukan dengan sengaja tanpa ada keperluan, maka hukumnya adalah makruh.[8]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa untuk membaca al-Quran dengan melihat mashaf bagi imam dan mereka yang solat bersendirian, sama ada dalam solat fardhu mahupun solat sunat. Lebih-lebih lagi jika ada keperluan kepada perkara tersebut seperti dengan melihat mashaf mampu untuk memanjangkan tempoh berdiri di dalam solat, membantu menambahkan kekusyukkan di dalam solat, mengurangkan kesilapan atau lupa ketika membaca ayat al-Quran, dan lain-lain. Sekalipun begitu, jika tiada sebarang keperluan sebaiknya elakkanlah, bagi mengelakkan daripada termasuk dalam pendapat mereka yang memakruhkannya kerana keluar daripada khilaf itu adalah mustahab (digalakkan).
Begitu juga bagi mereka yang memegang mashaf al-Quran, hendaklah memelihara adab-adabnya dengan tidak meletakkan di atas lantai atau seumpamanya ketika sujud atau rukuk. Selain itu, kami juga mengambil kesempatan di sini, menyarankan bahawa seorang Muslim itu sepatutnya berusaha bagi menghafal ayat-ayat al-Quran, meskipun ayat-ayat yang pendek daripada surah-surah lazim dan sebagainya, agar dapat membacanya dalam solat. Maka, tidak dinafikan perkara tersebut termasuk dalam kebaikan, apatah lagi menyibukkan diri dengan ayat-ayat al-Quran yang merupakan kalamullah.
Wallahu a‘lam.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 12 April 2022 bersamaan 10 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Surah al-Muzammil: 20
[2] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/95.
[3] Lihat al-Mughni, 2/280.
[4] Lihat Sahih al-Bukhari, 1/245.
[5] Lihat Fath al-Bari, 2/185.
[6] Riwayat al-Bukhari (516)
[7] Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn Baz, 11/117.
[8] Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/419.