#935: Doa Iftitah Ketika Solat Tarawih

Soalan

Apakah perlu membaca doa iftitah bagi setiap rakaat pertama solat tarawih ataupun sudah memadai dengan rakaat pertama pada solat tarawih yang pertama? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Doa iftitah merupakan bacaan yang dibaca sebelum membaca Surah al-Fatihah. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‌إِذَا ‌افْتَتَحَ ‌الصَّلَاةَ قَالَ: سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ وَتَبَارَكَ اسْمُكَ وَتَعَالَى جَدُّكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Maksudnya: “Apabila Baginda Nabi SAW memulakan solat, Baginda akan membaca: Maha Suci Engkau wahai Allah dan segala puji bagi Engkau. Nama-Mu penuh berkat dan Maha Tinggi. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau.”[1]

Membaca doa iftitah adalah antara perkara sunat yang dituntut untuk dibaca di dalam solat. Imam Al-Nawawi menjelaskan: “(Rukun) Yang keempat adalah membaca Al-Fatihah dan disunatkan selepas takbiratul ihram untuk membaca doa Iftitah.”[2]

Doa iftitah Ketika Solat Tarawih

Berdasarkan persoalan di atas, disunatkan untuk membaca doa iftitah pada setiap awal rakaat solat tarawih. Hal ini berdasarkan dengan keumuman dalil yang menyarankan untuk membaca doa iftitah bagi setiap solat tidak kira pada solat-solat sunat ataupun pada solat fardhu, kecuali bagi orang yang masbuk dan pada solat jenazah.

Imam al-Nawawi berkata: “Perkara yang disebutkan ini menjelaskan sunatnya membaca doa Iftitah bagi setiap orang yang mendirikan solat. Ianya termasuk juga solat Sunat Rawatib, solat Sunat Mutlak, Solat Sunat Hari Raya, Solat Solat Gerhana dan lain-lain pada permulaan qiyam yang pertama (rakaat pertama). Bacaan tersebut dikecualikan pada dua tempat (iaitu Solat Jenazah dan orang yang masbuk).”[3]

Muhammad Ali ‘Allan dalam kitabnya al-Futuhat al-Rabbaniyah ‘ala al-Azkar al-Nawawiyah menyatakan: Antara kesalahan yang sering dilakukan oleh orang ramai ketika Solat Tarawih ialah mereka meninggalkan doa Iftitah, tasbih dan perkara sunat yang lain. Ia dianggap sebagai bermudah-mudahan dalam meninggalkan perkara sunat. Sedangkan perkara sunat itu membawa kepada kesempurnaan solat. [4]

Namun begitu, disebabkan solat tarawih dilakukan dengan bilangan rakaat yang banyak, maka kami cadangkan beberapa lafaz yang ringkas dan mudah untuk panduan semua sebagaimana berikut:

  • Bacaan Pertama

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، تَبَارَكَ اسْمُكَ، وَتَعَالَى جَدُّكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Maksudnya: “Maha suci Engkau, ya Allah. Ku sucikan nama-Mu dengan memuji-Mu. Nama-Mu penuh keberkatan. Maha Tinggi Engkau. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau”[5]

  • Bacaan Kedua

اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Maksudnya:Allah Maha Besar dengan segala kebesaran, segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, Maha Suci Allah, baik waktu pagi dan petang”[6]

  • Bacaan Ketiga

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ

Maksudnya:Segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, pujian yang terbaik dan pujian yang penuh keberkatan di dalamnya”[7]

  • Bacaan Keempat

اللَّهُ أَكْبَرُ ذُو الْمَلَكُوتِ وَالْجَبَرُوتِ، وَالْكِبْرِيَاءِ وَالْعَظَمَةِ

Maksudnya:Allah Maha Besar. Yang memiliki kerajaan besar, kekuasaan, kebesaran, dan keagungan”[8]

Imam al-Nawawi berkata: “Ketahuilah bahawa semua doa-doa ini (pelbagai versi doa iftitah dalam hadith) hukumnya sunat dalam solat wajib mahupun solat sunat.[9]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 12 April 2022 bersamaan 10 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] Riwayat al-Tirmizi (243)

[2] Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 26

[3] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/319

[4] Lihat al-Futuhat al-Rabbaniyah ‘ala al-Azkar al-Nawawiyah, 1/454

[5] Riwayat Muslim (52)

[6] Riwayat Muslim (150)

[7] Riwayat Muslim (129)

[8] Riwayat Ahmad  (23375)

[9] Lihat al-Azkar, 1/107