#937 Maksud Waktu Imsak

Soalan

Apakah yang dimaksudkan dengan waktu imsak?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Imsak daripada sudut bahasa bermaksud menahan dan berhenti.[1] Manakala menurut Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiah al-Mu’asirah, imsak ketika berpuasa bermaksud menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa iaitu makanan, minuman dan lain-lain dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari.[2]

Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).[3]

Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyebutkan bahawa ayat di atas memberi kebenaran untuk makan dan minum sehingga ternampaknya cahaya subuh (fajar sadiq) dari kegelapan malam.[4]

Imam al-Qurtubi dalam al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an berkata: “Allah jadikan sebutan malam sebagai tempat atau waktu untuk makan, minum, berjima’. Sedangkan siang hari sebagai waktu untuk berpuasa.”[5]

Imam al-Bukhari meriwayatkan hadith dalam menafsirkan ayat ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Adi bin Hatim RA, katanya:

قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا الخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الخَيْطِ الأَسْوَدِ؟ أَهُمَا الخَيْطَانِ؟ قَالَ: إِنَّكَ لَعَرِيضُ القَفَا، إِنْ أَبْصَرْتَ الخَيْطَيْنِ، ثُمَّ قَالَ: لاَ، بَلْ هُوَ سَوَادُ اللَّيْلِ وَبَيَاضُ النَّهَارِ

Maksudnya: “Aku berkata: Wahai Rasulullah,  apakah (yang dimaksudkan dengan) benang putih dan benang hitam? Apakah kedua-duanya betul-betul benang?” Baginda bersabda: “Sesungguhnya kamu orang yang sangat lebar tengkuk (ia adalah kiasan bagi orang yang tidak cerdik atau tidak faham) jika kamu melihat kedua-dua benang itu.” Kemudian Baginda bersabda: “Tidak, bahkan (maksudnya ialah) ia adalah gelapnya malam dan terangnya siang.”[6]

Abu Bakar Al-Jasas di dalam Ahkam al-Quran menyatakan: Allah SWT membenarkan untuk bersetubuh, makan dan minum pada malam-malam puasa, dari awal malam sehingga terbit fajar. Kemudian Dia memerintahkan untuk menyempurnakan puasa sehingga malam. [7]

Kesimpulan

Justeru, jelaslah menunjukkan bahawa maksud waktu imsak ialah waktu bermulanya untuk seseorang itu menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula  ketika masuknya waktu fajar sehingga terbenamnya matahari. Hal ini kerana pada waktu malam bulan Ramadhan adalah waktu berbuka dan dibenarkan untuk makan, minum, bersetubuh dengan isteri dan segala perbuatan yang membatalkan puasa pada siang harinya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ ۚ

Maksudnya: Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu.[8]

Hal ini menunjukkan bahawa apa sahaja perbuatan yang boleh membatalkan puasa seperti bersetubuh dibenarkan untuk dilakukan pada malam hari Ramadhan. Justeru, waktu malam sebagaimana yang didefinisikan oleh Al-Fayumi di dalam al-Misbah al-Munir fi Syarh al-Kabir, menyatakan: waktu malam adalah waktu yang diketahui, iaitu bermula daripada terbenamnya matahari sehingga terbitnya fajar.[9]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 13 April 2022 bersamaan 11 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] Lihat Mu’jam Lughah al-Fuqaha’, hlm. 89

[2] Lihat Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiah al-Mu’asirah, 3/2099

[3] Surah al-Baqarah: 187

[4] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/512

[5] Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 2/321 

[6] Riwayat al-Bukhari (4510)

[7] Lihat Ahkam al-Quran, 1/265.

[8] Surah al-Baqarah: 187

[9] Lihat al-Misbah al-Munir fi Syarh al-Kabir, 2/561