#939 Merasa Makanan Ketika Puasa

Soalan

Apakah merasa makanan membatalkan puasa?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan. Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”[1]

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya.[2]

Namun begitu, terdapat beberapa perbuatan yang boleh membatalkan puasa seseorang itu, iaitu:

  • Makan dan minum. Batal sama ada sedikit atau banyak.
  • Sampainya ain kepada rongga tengah badan melalui laluan yang terbuka. Ain bererti fizikal sesuatu yang terlihat pada mata. Ruang tengah termasuklah bahagian otak, dan bahagian bawah halkum, perut dan terus ke kemaluan depan dan belakang. laluan terbuka bererti lubang mulut, hidung, qubul dan dubur.
  • Sengaja muntah.
  • Sekalipun tidak mengeluarkan air mani.
  • Istimna’ iaitu mengeluarkan air mani.
  • Datang darah haid atau nifas.
  • Gila dan murtad.

Semuanya membatalkan puasa apabila dilakukan secara sengaja (kecuali gila), jika tidak sengaja, terlupa dan dipaksa, maka tidak batal. [3]

Merasa Makanan Ketika Berpuasa

Perbuatan merasa atau mencicip makanan ketika berpuasa adalah dengan meletakkan makanan tersebut dengan kuantiti yang sedikit tanpa menelannya. Ibnu Abbas R.Anhuma berkata:

لاَ بَأْسَ أَنْ يَتَطَعَّمَ القِدْرَ أَوِ الشَّيْءَ

Maksudnya: Tidak mengapa merasa masakan di periuk atau sesuatu (yang seumpamanya).”[4]

Di dalam riwayat Ibn Abi Syaibah, Ibn Abbas R.Anhuma berkata:

لَا بَأْسَ أَنْ يَذُوقَ الْخَلَّ أَوِ الشَّيْءَ، مَا لَمْ يَدْخُلْ حَلْقَهُ وَهُوَ صَائِمٌ

Maksudnya: Tidak mengapa seseorang yang sedang berpuasa merasa cuka atau sesuatu, selagimana ia tidak masuk sampai ke kerongkong.”[5]

Ibn Qudamah di dalam al-Mughni menukilkan kata Imam Ahmad, katanya: Aku lebih suka jika seseorang itu tidak merasai makanan. Tetapi jika dia melakukannya, ia tidak akan menjejaskan puasanya dan perbuatan itu tidak mengapa.[6]

Syeikh al-Islam Abu al-Abbas berkata di dalam al-Fatawa al-Kubra: Merasa makanan adalah makruh jika ia dilakukan tanpa keperluan. Namun, ia tidak membatalkan puasa. [7]

Syeikh Muhammad bin Soleh pernah ditanya berkenaan hal ini, maka beliau menjawab: Puasa tidak batal dengan merasa makanan selagimana ia tidak ditelan. Walaubagaimanapun, ia tidak boleh dilakukan melainkan jika benar-benar berhajat dan mendesak. [8]

Katanya lagi: Makruh bagi orang yang berpuasa merasa makanan seperti kurma, roti dan sayur-sayuran melainkan keadaan memaksa, maka ia dibolehkan. Hal ini kerana boleh jadi terdapat serpihan makanan yang masuk ke dalam perut tanpa dirasa, sehingga ia boleh membatalkan puasanya. Boleh jadi juga, hidangan itu mengiurkannya sehingga dia merasa makanan itu dengan tujuan untuk menikmatinya. Ada kemungkinan juga, apabila dia merasa makanan itu dengan menghirupnya dengan kuat sehingga sebahagiannya masuk ke dalam perutnya.[9]

Al-Lajnah al-Daimah menyatakan di dalam fatwanya: Tidak ada masalah untuk seseorang merasa makanan pada hari berpuasa jika keadaan memaksanya untuk melakukannya. [10]

Ibn Sirin pernah berkata mengenai rasa yang terdapat di dalam kayu sugi ketika bersiwak, katanya:

لاَ بَأْسَ بِالسِّوَاكِ الرَّطْبِ. قِيلَ: لَهُ طَعْمٌ. قَالَ: وَالمَاءُ لَهُ طَعْمٌ وَأَنْتَ تُمَضْمِضُ بِهِ

Maksudnya: Tiada masalah bagi yang berpuasa menggunakan siwak segar. Dikatakan: siwak jenis ini ada rasa. Beliau menjawab: Air juga mempunyai rasa, walaupun kamu berkumur dengan air.[11]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa merasa makanan adalah dibolehkan bagi mereka yang berhajat dengan dikecap di hujung lidahnya dan perbuatan ini tidak membatalkan puasanya mengikut pendapat yang terpilih selagi mana makanan tersebut tidak ditelan. Situasinya adalah seperti tukang masak atau surirumah yang sedang memasak di dapur. Bagi mereka yang tidak ada keperluan untuk merasa makanan, maka hukumnya adalah makruh sebagaimana fatwa-fatwa yang dikemukakan di atas.

Namun begitu, perbuatan merasa makanan tersebut hendaklah dilakukan di dalam kuantiti yang sedikit dan tidak boleh ditelan makanan tersebut kerana jika ditelan masuk bersama air liur, maka batallah puasanya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 13 April 2022 bersamaan 11 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1]  Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)

[2] Lihat Fath al-Bari, 4/115

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/241-245

[4] Riwayat al-Bukhari secara al-Mu’allaq pada bab Mandi Bagi Orang Yang Berpuasa (4/153)

[5] Riwayat Ibn Abi Syaibah di dalam al-Musannaf (9527) dan al-Baihaqi (4/261)

[6] Lihat al-Mughni, 4/359

[7] Lihat Majmu’ Fatawa, 4/474

[8] Lihat Fatawa al-Siyam, hlm. 356

[9] Lihat al-Syarh al-Mumti’, 3/261

[10] Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 10/332

[11] Riwayat al-Bukhari secara al-Mu’allaq pada bab Mandi Bagi Orang Yang Berpuasa (4/153)