Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan
Bilakah waktu berpuasa bermula? Adakah bermula semasa waktu imsak sebagaimana taqwim kita ataupun ketika masuknya waktu fajar?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Imsak daripada sudut bahasa bermaksud menahan dan berhenti.[1] Manakala menurut Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiah al-Mu’asirah, imsak ketika berpuasa bermaksud menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa iaitu makanan, minuman dan lain-lain dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari.[2]
Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
Maksudnya: Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).[3]
Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyebutkan bahawa ayat di atas memberi kebenaran untuk makan dan minum sehingga ternampaknya cahaya subuh (fajar sadiq) dari kegelapan malam.[4]
Sebab Diawalkan Waktu Imsak Di Dalam Taqwim
Terdapat beberapa hadith yang lain menceritakan tentang sifat sahur Nabi SAW serta arahan Baginda ketika bersahur, antaranya sebagaimana riwayat Zaid bin Thabit, katanya:
تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ، قُلْتُ: كَمْ كَانَ بَيْنَ الأَذَانِ وَالسَّحُورِ؟ قَالَ: قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً
Maksudnya: Kami telah bersahur bersama Nabi SAW kemudian kami mendirikan solat (solat sunat). Aku telah berkata (iaitu Anas bin Malik RA bertanyakan kepada Zaid bin Thabit RA): “Berapakah kiranya (masa) di antara azan dan sahur itu?”. Jawab Zaid bin Thabit RA: “Sekadar bacaan 50 ayat (al-Quran)”.[5]
Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan kadar bacaan 50 ayat tersebut adalah kadar bacaan sederhana. Tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu lambat. Begitu juga dengan kadar panjang ayat yang sederhana. Tidaklah ayat yang penjang, tidak juga ayat yang terlalu pendek.[6]
Dalam sebuah hadith yang lain yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ بِلاَلاً يُنَادِي بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُنَادِيَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ
Maksudnya: Sesungguhnya Bilal azan pada waktu malam, maka makan dan minumlah sehingga azannya Ibn Umm Maktum”.[7]
Ketika zaman Rasulullah SAW, azan subuh dilaungkan sebanyak dua kali. Sekali sebelum masuknya waktu subuh untuk memberikan peringatan manakala azan yang kedua bermaksud telah masuknya waktu subuh. Berdasarkan hadith di atas, Bilal RA melaungkan azan pada waktu malam menunjukkan bahawa beliau melaungkan azan yang pertama iaitu sebelum masuknya waktu subuh. Maka, Rasulullah SAW memberikan keizinan untuk makan dan minum pada waktu tersebut (untuk bersahur). Sekiranya Ibn Umm Maktum RA melaungkan azan untuk azan yang kedua, maka ia menunjukkan bahawa waktu subuh telah masuk dan telah bermulanya waktu berpuasa. Iktibarnya di sini adalah masuknya waktu iaitu terbitnya fajar al-sadiq dengan berkumandangnya azan.
Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ menyebutkan: “Telah kami sebutkan sekiranya telah terbit fajar dan padanya (di dalam mulutnya) terdapat makanan, maka perlu dia mengeluarkan makanan tersebut dan kemudian sempurnakan puasanya. Sekiranya dia menelan apa yang ada di dalam mulutnya itu, setelah mengetahui terbitnya fajar al-sadiq, maka batallah puasanya. Dalilnya adalah hadith daripada Ibn ‘Umar RA dan ‘Aisyah R.Anha yang mana Rasulullah SAW bersabda: إِنَّ بِلاَلاً يُنَادِي بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُنَادِيَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ …”.[8]
Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya al-Muktamad: Tujuan penandaan waktu imsak ini ialah sebagai langkah mengelakkan syak, sama ada sudah terbit fajar atau belum, dengan afdal meninggalkan makan dan minum sedikit masa sebelum terbitnya fajar.[9]
Ibnu Rusyd di dalam Bidayah al-Mujtahid menyatakan: “Ulama yang berpendapat bahawa wajib imsak sebelum fajar itu adalah dalam rangka ihtiyati iaitu berhati-hati (tidak meneruskan makan kerana dikhuatiri sudah masuk waktu fajar) dan sadd al-dzariah, iaitu mencegah kemungkinan bahawa sudah masuk waktu fajar. Ini merupakan pendapat yang paling wara’ antara dua pendapat.[10]
Syeikh Hasanain Makhluf mengatakan: “Daripada sini diketahui bahawa imsak itu tidak wajib kecuali sebelum terbitnya fajar, Namun digalakkan supaya terdapat jarak antara sahur dengan terbitnya fajar itu kira-kira lima puluh ayat, iaitu lebih kurang 10 minit.[11]
Kesimpulan
Setelah melihat kepada dalil serta nas yang terdapat di dalam perbahasan ini, kami menyatakan bahawa waktu imsak (10 minit sebelum masuknya waktu subuh) bukanlah waktu bermulanya puasa. Maka pada tempoh tersebut dibolehkan lagi untuk makan dan minum. Namun, sekiranya telah kedengaran azan subuh, maka hendaklah berhenti serta merta dan kemudian sempurnakan puasa tersebut sehingga masuk waktu berbuka.
Kami melihat bahawa waktu imsak yang selama 10 minit itu pada asasnya adalah sebagai waktu ihtiyat (berjaga-jaga) agar tidak makan melebihi waktu yang telah ditetapkan yang mana boleh membatalkan puasa seseorang itu. Kami amat bersetuju dengan waktu imsak ini dan sekiranya seseorang yang bangun lewat untuk bersahur dan masa masih berbaki untuk beliau bersahur di dalam waktu imsak, maka ianya dibolehkan dan ianya tidak pula memudharatkan puasanya pada hari tersebut. Oleh itu, kami mencadangkan agar sahur itu diselesaikan sebelum masuknya waktu iaitu sebelum azan agar tidak timbul syubhah (keraguan).
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 13 April 2022 bersamaan 11 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Lihat Mu’jam Lughah al-Fuqaha’, hlm. 89
[2] Lihat Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiah al-Mu’asirah, 3/2099
[3] Surah al-Baqarah: 187
[4] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/512
[5] Riwayat Al-Bukhari (1921) dan al-Tirmizi (703)
[6] Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 4/138
[7] Riwayat al-Bukhari (620)
[8] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/333
[9] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/189
[10] Lihat Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid 2/52
[11] Lihat Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 1/101