#947 Meninggalkan Puasa Dengan Sengaja

Soalan

Apakah hukum meninggalkan puasa dengan sengaja?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan. Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”[1]

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya.[2]

Imam al-Nawawi pula berkata makna keimanan adalah seseorang itu membenarkan akan fadhilatnya dan makna pengharapan pula adalah seseorang itu berpuasa kerana menginginkan Allah dan tidak melakukannya disebabkan ingin dilihat oleh manusia atau apa yang bertentangan dengan makna ikhlas.[3]

Meninggalkan Puasa Dengan Sengaja

Puasa di dalam bulan Ramadhan adalah salah satu daripada rukun Islam yang difardhukan ke atas setiap umat Islam. Hal ini jelas seperti mana yang disebutkan di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: Terbinanya Islam itu atas lima perkara; syahadah bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan puasa di bulan Ramadhan.[4]

Maka jelaslah puasa Ramadhan ini adalah perkara utama di dalam Islam yang tidak boleh ditinggalkan sekiranya tidak ada sebarang keuzuran.

Ibn Hajar al-Haitami menyebutkan bahawa betapa besarnya kesalahan meninggalkan puasa dengan sengaja terutamanya di bulan Ramadhan. Hal ini jelas seperti yang disebutkan beliau: Dosa besar yang ke 140 dan 141, meninggalkan puasa pada salah satu hari daripada hari-hari dalam bulan Ramadhan, dan berbuka puasa padanya dengan persetubuhan atau selainnya tanpa sebarang keuzuran seperti sakit atau bermusafir.[5]

Namun begitu, Islam masih memberikan peluang kepada umatnya yang telah terlanjur meninggalkan puasa dengan sengaja dan mempunyai kesedaran untuk bertaubat kepada Allah SWT. Maka, para fuqaha’ membahaskan hal ini di dalam perbahasan bab mengqada’ puasa bagi mereka yang meninggalkan puasa secara sengaja.

Kesalahan berbuka dengan sengaja ini sangat berat sehinggakan mazhab Imam Malik dan mazhab Imam Abu Hanifah mewajibkan kafarah dan qada’ kepada orang yang makan dan minum secara sengaja pada bulan Ramadhan.

Mazhab Imam al-Syafie dan Mazhab Imam Ahmad pula berpandangan orang yang meninggalkan puasa dengan makan atau minum secara sengaja tidak dikenakan kafarah, kerana kafarah hanya khusus kepada orang yang melakukan persetubuhan pada siang hari dalam bulan Ramadhan sahaja. Namun kedua mereka seiring bahawa puasa tetap wajib diqada’kan.[6]

Hal ini turut dinyatakan oleh para fuqaha’ kontemporari tentang apa yang perlu dilakukan bagi orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja, atau melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan puasa terbatal selain daripada persetubuhan di siang hari.

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya al-Mu’tamad: Sesiapa yang berbuka puasa ketika Ramadhan selain daripada jima’ dengan makan atau minum, atau memasukkan sesuatu (cecair atau ubat) ke dalam hidung, atau bersentuhan selain pada kemaluan kemudian terkeluar mani, atau melakukan onani, kemudian keluar mani dan sebenarnya mampu untuk berpuasa, maka wajib untuk dia menggantikannya, sebelum masuk bulan Ramadhan tahun seterusnya.[7]

Mantan Mufti Besar Arab Saudi pula pernah ditanya berkenaan seseorang yang sengaja berbuka puasa ketika Ramadhan beberapa tahun sebelumnya, maka jawab beliau: Berbuka puasa dengan makan atau minum atau apa-apa yang membatalkan selain jima’ adalah perkara munkar yang diharamkan. Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja hendaklah bertaubat kepada Allah, dan menyesal di atas perbuatan tersebut. Seterusnya menggantikannya pada hari-hari yang ditinggalkan dan inilah kewajipan untuknya kerana berbuka puasa tanpa sebarang keuzuran merupakan perkara munkar yang diharamkan. [8]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa orang yang sengaja berbuka puasa di dalam bulan Ramadhan adalah berdosa besar kerana meninggalkan salah satu daripada rukun Islam berdasarkan nas dan hujah yang dikemukakan.

Namun begitu, Allah SWT sangat mengasihani hamba-hambanya dengan memberi peluang untuk menebus kembali dosa tersebut. Maka kami katakan bahawa, orang yang meninggalkan puasa di dalam bulan Ramadhan dengan apa cara sekalipun selain daripada jima’ di siang hari hendaklah menggantikan puasa tersebut secepatnya sebelum datang Ramadhan pada tahun berikutnya. Bagi mereka yang gagal menggantikan puasa sebelum datang Ramadhan berikutnya, hendaklah membayar fidyah mengikut kadar yang telah ditentukan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 14 April 2022 bersamaan 12 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)

[2]Lihat Fath al-Bari, 4/115

[3]Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/39

[4]Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)

[5]Lihat al-Zawajir, 1/323

[6]Lihat al-Mausuah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 28/60

[7]Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/200

[8]Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 16/201