Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Adakah boleh saya menjadikan teddy bear sebagai bantal peluk? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan riwayat daripada Abu Talhah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ
Maksudnya: “Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing dan juga gambar patung.”[1]
Al-Mubarakfuri menyebutkan, yang dimaksudkan dengan ungkapan ‘malaikat tidak akan masuk’ ialah malaikat rahmat, bukan malaikat hafazah (yang sentiasa bersama manusia dan mencatat perilakunya) dan bukan juga malaikat maut (yang mencabut nyawa). Manakala ungkapan ‘gambar yang menyerupai’ di dalam hadith tersebut pula bermaksud gambar berbentuk manusia dan binatang.[2] Seterusnya, Imam al-Nawawi ada menyebutkan — berkenaan sebab larangan menyimpan gambar patung (makhluk bernyawa) — bahawa antara sebab yang menghalang malaikat daripada masuk ke dalam rumah adalah kerana terdapatnya gambar (makhluk bernyawa). Ini disebabkan perbuatan meletakkan gambar itu merupakan maksiat yang amat keji dan seolah-olah menyerupai ciptaan Allah SWT dan sebahagian daripada gambar-gambar tersebut ada yang dijadikan sembahan.[3]
Selain daripada itu, Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyatakan bahawa terdapat kisah Nabi SAW tidak masuk ke dalam Kaabah dan mendirikan solat di dalamnya, melainkan setelah dikeluarkan kesemua gambar di dalamnya. Kemudian, beliau mengulas kisah tersebut dengan menyebutkan, ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa hukumnya adalah makruh mendirikan solat di tempat yang bergambar. Perkara ini lebih makruh lagi berbanding mendirikan solat di dalam bilik mandi kerana solat di dalam bilik mandi — dihukumkan sebagai makruh — sama ada disebabkan berkemungkinan terdapatnya najis atau kerana ia merupakan rumah syaitan. Pendapat ini yang sahih. Adapun tempat yang bergambar — solat di dalamnya dihukumkan sebagai makruh — kerana berkemungkinan ia membawa kepada syirik. Kebanyakkan umat-umat terdahulu menjadi syirik sama ada melalui gambar-gambar atau kuburan — para nabi dan orang soleh.[4]
Justeru, kita dapat fahami bahawa larangan kepada patung atau gambar-gambar — yakni lukisan — makhluk bernyawa adalah kerana ia menyerupai ciptaan Allah dan dikhuatiri benda-benda tersebut akan diagungkan, disucikan atau terlalu dihormati sehingga akhirnya membawa kepada kesyirikkan dan penyembahan.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, menjadi satu ikutan masa kini, di mana anak-anak menjadikan teddy bear dan seumpamanya sebagai bantal peluk semasa tidur. Mengenai perkara ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan satu pendapat daripada al-Khattabi yang menyebutkan bahawa sesungguhnya malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat anjing atau gambar (yakni gambar patung) yang haram digunakan. Adapun apa yang tidak haram untuk digunakan yang terdiri daripada anjing buruan, anjing bagi menjaga tanaman dan anjing bagi menjaga ternakan serta gambar yang direndahkan (yakni tidak dimuliakan) yang terdapat pada hamparan, bantal atau selainnya, maka ia tidak menghalang daripada para malaikat untuk masuk ke dalam rumah tersebut.
Walau bagaimanapun, Imam al-Nawawi kemudiannya mentarjihkan — yakni memilih — pendapat bahawa perkara tersebut adalah bersifat umum untuk semua jenis anjing dan gambar patung. Hal ini kerana hadith-hadith yang menyebutkan mengenainya adalah berbentuk mutlak — yakni tidak diikat dengan apa-apa. Begitu juga sebagaimana kisah anak anjing yang berada di bawah katil, di dalam rumah Nabi SAW. Secara zahirnya, bagi Baginda SAW keuzuran kerana Baginda tidak mengetahui akannya. Meskipun begitu, ia tetap menjadi halangan buat Malaikat Jibril A.S. untuk masuk ke dalam rumah Baginda disebabkan oleh anak anjing itu. Justeru, kalaulah adanya keuzuran pada gambar patung dan anjing untuk tidak menghalang para malaikat dari masuk ke dalam rumah, sudah tentu Malaikat Jibril A.S. tidak akan terhalang.[5]
Sekalipun begitu, terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:
كُنْتُ أَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ لِي صَوَاحِبُ يَلْعَبْنَ مَعِي فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ يَتَقَمَّعْنَ مِنْهُ فَيُسَرِّبُهُنَّ إِلَيَّ فَيَلْعَبْنَ مَعِي
Maksudnya: “Aku pernah bermain anak patung di sisi Nabi SAW, dan aku mempunyai teman-teman yang bermain bersamaku. Maka apabila Baginda SAW masuk, mereka menyorokkan diri mereka daripada Baginda, lalu Baginda memanggil dan menyuruh mereka bermain bersamaku.”[6]
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa dibolehkan patung boneka berupa perempuan dan mainan untuk anak perempuan. Hadith ini adalah pengecualian daripada keumuman hadith yang melarang daripada mencipta sesuatu yang menandingi dengan ciptaan Allah. Perkara ini ditegaskan oleh al-Qadi ‘Iyadh dan beliau menyatakan, inilah pendapat majoriti ulama.[7] Oleh yang demikian, difahami bahawa sekiranya patung tersebut dijadikan sebagai alat permainan dan pembelajaran bagi kanak-kanak, maka hukumnya adalah harus. Hal ini kerana patung permainan kanak-kanak bukanlah sesuatu yang disembah atau dimuliakan. Bahkan, kanak-kanak tersebut dengan tabiatnya akan mematahkan dan merosakkan patung tersebut seperti terputusnya kepala atau anggota badan patung itu. Ini jelas menunjukkan bahawa ia adalah sebagai patung permainan bagi mereka dan jauh sekali untuk dihormati, apatah lagi disembah.
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, dengan mengambil kira suasana dan ‘uruf masyarakat setempat, kami berpendapat tidak mengapa menjadikan teddy bear dan seumpamanya sebagai bantal peluk, selagi mana ia tidak dimuliakan, tidak diletakkan di tempat mulia, atau tidak disucikan, dihormati dan bertujuan untuk disembah atau dipuja. Tambahan lagi, apabila ia digunakan sebagai bantal, sudah jelas menunjukkan ia bukan bertujuan untuk dimuliakan, yang mana kadang-kadang terdedah kepada air liur basi dan lain-lain.
Akan tetapi sekiranya patung berkenaan digunakan sebagai bahan pujaan, atau diletakkan di tempat yang dihormati sehingga membawa kepada penyucian, maka jelas perkara tersebut adalah haram dan dilarang sama sekali. Selain daripada itu, elakkan juga penggunaan patung teddy bear dan seumpamanya yang bersaiz terlalu besar atau yang terlalu menyerupai makhluk hidup sekalipun ia digunakan sebagai bantal atau mainan, agar kita tidak termasuk dalam larangan hadith.
Selain itu, kami juga ingin mengesyorkan sekiranya dapat dielakkan penggunaan patung seperti teddy bear dan seumpamanya sebagai bantal adalah lebih baik, agar tidak timbul perkara yang boleh membawa kepada perasaan-perasaan pemujaan dan sebagainya. Begitu juga jika dapat diganti dengan bantal berbentuk lain seperti bintang, tumbuh-tumbuhan dan seumpamanya, adalah lebih baik dan selamat serta jauh daripada sebarang bentuk syubhah. Lebih-lebih lagi, meninggalkan perkara-perkara yang khilaf itu adalah digalakkan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 15 April 2022 bersamaan 13 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Riwayat al-Bukhari (3225); Muslim (2106)
[2] Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/72.
[3] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/84.
[4] Lihat Zad al-Ma‘ad, 3/402.
[5] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/84.
[6] Riwayat al-Bukhari (6130)
[7] Lihat Fath al-Bari, 10/527.