Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Apakah hukum penggunaan venir pergigian (veneer)? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pengenalan venir pergigian
Venir pergigian adalah selapisan nipis bahan restorasi yang dilekatkan kepada permukaan hadapan gigi. Ia adalah satu cara yang konservatif untuk memperbaiki, mencantikkan gigi atau melindungi permukaan gigi yang telah rosak. Terdapat dua jenis bahan pergigian yang digunakan untuk membuat venir, iaitu bahan tampalan komposit dan porselin pergigian. Venir komposit dibuat secara terus kepada permukaan gigi di dalam klinik, sementara venir porselin di buat oleh juruteknologi pergigian di makmal pergigian.
Kelebihan venir adalah ia merupakan rawatan yang konservatif terhadap tisu pergigian. Hanya pengurangan sebanyak 0.5 mm pada lapisan enamel diperlukan dan prosedur ini kebiasaannya tidak memerlukan sebarang penggunaan ubat bius setempat. Venir porselin diperbuat daripada bahan seramik yang bersifat seperti kaca dan ia kelihatan seakan-akan gigi asli. Setelah dilekatkan pada permukaan gigi, restorasi venir akan kelihatan seperti gigi asli. Pesakit akan dapat memberikan senyuman baru yang cantik dan menarik. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kekurangannya seperti:
- Gigi yang dipasang dengan venir boleh kelihatan agak besar jika pengurangan lapisan enamel tidak mencukupi semasa penyediaan gigi
- Sensitiviti selepas rawatan dan kematian tisu pulpa boleh berlaku jika penyediaan gigi terlalu dalam pada lapisan dentin.
- Kelebihan simen atau porselin boleh berlaku jika perapian tidak disempurnakan oleh doktor pergigian
- Penstainan pada kawasan gusi boleh berlaku jika venir itu tidak padan dengan baik pada gigi. Ia juga boleh disebabkan oleh kontaminasi air atau darah (jika ada pendarahan gusi) semasa proses penyimenan.
- Venir boleh tertanggal jika ia tidak disimenkan dengan betul atau jika venir dipadankan pada lapisan dentin
- Harga yang mahal
Secara umumnya, venir pergigian digunakan untuk rawatan kosmetik kepada beberapa masalah pergigian seperti:
- Gigi yang terserpih atau retak.
- Perubahan warna gigi yang minima atau penstainan gigi.
- Kehadiran ruang di antara gigi.
- Bentuk gigi dan penjajaran gigi yang tidak betul.
- Kedudukan gigi yang sedikit tidak teratur.
- Enamel gigi yang haus.
- Saiz gigi yang kecil.
Prosedur rawatan venir memerlukan 3 lawatan pergigian. Pada lawatan pertama, doktor pergigian akan merancang rawatan dan menentukan saiz, bentuk dan jenis venir yang bersesuaian dengan senyuman, bentuk muka, dan ciri-ciri estetik pesakit. Lawatan selanjutnya adalah untuk penyediaan gigi dimana sedikit pengurangan pada lapisan enamel akan dilakukan untuk menempatkan venir. Venir sementara (jika pengurangan gigi melibatkan dentin) mungkin dilekatkan pada gigi tersebut untuk melindungi gigi sementara menunggu pembuatan venir porselin oleh makmal pergigian. Apabila venir porselin telah siap, pesakit akan dipanggil semula untuk proses penyimenan.[1]
Hukum venir pergigian
Pada asasnya, Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau dengan cara pembedahan atau seumpamanya. Hal ini kerana, terdapat hadith yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:
لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ
Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.”[2]
Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi.[3]
Manakala lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” pula bermaksud mereka melakukan perbuatan tersebut — yakni merenggangkan gigi — kerana ingin mencantikkannya lagi. Oleh yang demikian, terdapat isyarat yang menunjukkan bahawa hukum haram itu ditujukan kepada sesiapa yang melakukannya demi kecantikan semata-mata. Adapun jika kerana adanya keperluan mendesak seperti tujuan perubatan atau menghilangkan aib dan seumpamanya, maka ia adalah diharuskan.[4] Selain daripada itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini juga ada menyebutkan, difahami daripada lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” bahawa ia adalah perbuatan tercela jika mereka melakukan perbuatan tersebut untuk tujuan kecantikan. Namun, jika adanya keperluan bagi perkara tersebut seperti untuk rawatan, maka ia adalah diharuskan.[5]
Di samping itu, Dr. Soleh al-Fauzan menjelaskan lagi, pengikat iaitu lafaz “لِلْحُسْنِ” yakni untuk kecantikan tambahan, yang terdapat dalam hadith di atas menunjukkan bahawa larangan tersebut adalah khusus sekiranya ia dilakukan dengan tujuan mendapatkan kecantikan tambahan pada kejadian yang sedia ada (normal). Sekiranya dilakukan untuk merawat atau menghilangkan aib, maka hukumnya adalah diharuskan. Ini menunjukkan bahawa bukan semua bentuk perubahan itu diharamkan. Bahkan, huruf ‘lam’ yang terdapat pada lafaz “لِلْحُسْنِ” ini adalah untuk menjelaskan sebab (التعليل), sekali gus mengecualikan urusan yang melibatkan rawatan dan seumpamanya daripada larangan tersebut.[6]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa penggunaan venir pergigian adalah diharuskan sekiranya ada keperluan seperti bertujuan untuk rawatan dan menghilangkan aib pada gigi, serta mengembalikan fungsinya yang asal. Namun, jika pemakaiannya tanpa sebarang keperluan dan hanya demi kecantikan semata-mata, maka ia kembali kepada hukum asalnya iaitu tidak dibolehkan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 15 April 2022 bersamaan 13 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/venir-pergigian/. Diakses pada 14 April 2022.
[2] Riwayat al-Bukhari (4886)
[3] Lihat Fath al-Bari, 10/373.
[4] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107.
[5] Lihat Fath al-Bari, 10/372.
[6] Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 73.