Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum orang yang berpuasa berkumur dengan menggunakan Mouth-Rinsing Gargle? Dengan maksud, dia sedang berpuasa, dan dalam masa sama berkumur secara gargle menggunakan ubat kumur. Adakah batal puasanya?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Dalam hal berkumur pada bulan puasa, terdapat panduan daripada Nabi SAW:
أَسْبِغِ الوُضُوءَ، وَخَلِّلْ بَيْنَ الأَصَابِعِ، وَبَالِغْ فِي الِاسْتِنْشَاقِ، إِلَّا أَنْ تَكُونَ صَائِمًا
Maksudnya: “Sempurnakanlah wudhu, selatilah antara jari-jari dan bersungguh-sungguhlah dalam menghisap air ke dalam hidung kecuali ketika berpuasa.”[1]
Dalam hadis di atas, apa yang dilarang adalah daripada berlebih-lebihan dalam beristinsyaq ketika berpuasa.[2]
Imam al-Nawawi menjelaskan: “Pendapat para ulama’ Syafi’iyyah dan Imam al-Syafi’i adalah bahawa tetap disunatkan bagi orang yang berpuasa ketika berwudhuk untuk berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung (istinsyaq), sepertimana orang yang tidak berpuasa disunatkan demikian. Akan tetapi, bagi orang berpuasa, disyaratkan tidak berlebih-lebihan (mubalaghah). Yang berlaku perselisihan, ketika masuk air dalam rongga tubuh ketika berkumur-kumur atau memasukkan air ke dalam hidung. Namun, jika tidak berlebihan, maka tidaklah batal.[3]
Al-Khatib al-Syirbini pula berkata: “Menurut mazhab Syafi’i, jika seseorang berlebih-lebihan dalam berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung (istinsyaq), lalu air tersebut masuk ke dalam tubuh, maka puasanya terbatal. Ini kerana orang yang berpuasa dilarang daripada berlebih-lebihan ketika berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung. Namun, sekiranya tidak secara berlebih-lebihan, lalu kemudian air masuk, maka ia tidak membatalkan puasa kerana bukan termasuk dalam hal disengajakan.”[4]
Justeru, dapat difahami bahawa para ulama’ memahami hadith di atas sebagai satu anjuran daripada Nabi SAW untuk bersungguh-sungguh ketika menghisap air ke dalam hidung dan berkumur-kumur melainkan seseorang itu berada dalam keadaan ketika berpuasa.
Dalam satu hadith yang lain, Nabi SAW ditanya oleh Umar al-Khattab R.A:
يَا رَسُولَ اللَّهِ صَنَعْتُ الْيَوْمَ أَمْرًا عَظِيمًا قَبَّلْتُ وَأَنَا صَائِمٌ قَالَ أَرَأَيْتَ لَوْ مَضْمَضْتَ مِنَ الْمَاءِ وَأَنْتَ صَائِمٌ
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, hari ini aku telah lakukan sesuatu yang berat. Aku telah bercium dalam keadaan aku berpuasa. Maka Rasulullah SAW menjawab: Apa pendapat kamu sekiranya kamu berkumur-kumur dalam keadaan kamu sedang berpuasa?”[5]
Tatkala mengulas hadith ini, Imam al-Nawawi menjelaskan jika seseorang itu berkumur lalu air sampai ke dalam rongganya, maka itu membatalkan puasa. Sekiranya air tidak sampai maka ia tidak membatalkan.[6]
Berkumur Secara Gargle Menggunakan Ubat Kumur
Dalam hal berkumur-kumur menggunakan mouth-rinsing gargle seperti ubat kumur misalnya, kami melihat ianya tidak membatalkan puasa kerana ia tidak sampai kepada had batin bagi rongga mulut iaitu makhraj huruf al-ha’ (الهاء). Kaedah berkumur-kumur secara gargling hanya melibatkan sekitar had zahir iaitu makhraj huruf al-kha’ (الخاء). Pun begitu, kami tidak menggalakkannya jika tidak keperluan.
Air Yang Berbaki di dalam Mulut & Termasuk di dalam Rongga
Sekiranya berlebih-lebihan berkumur dan termasuk dalam rongga, batal puasanya. Namun jika tidak berlebih-lebihan tetapi termasuk dalam rongga, tidak batal puasanya. Al-Khatib al-Syarbini menyatakan, “Menurut mazhab Syafie, jika seseorang berlebih-lebihan dalam berkumur-kumur dan menghisap air ke dalam hidung, lantas air tadi masuk ke dalam rongga, maka puasanya batal. Ini kerana orang yang berpuasa dilarang daripada berlebih-lebihan ketika berkumur-kumur dan menghisap air ke dalam hidung sebagaimana telah dijelaskan dalam perbahasan berkenaan wudhu. Namun, jika tidak berlebih-lebihan kemudian masuk air, tidak membatalkan puasa kerana ia tidak disengajakan.”[7]
Berhubung air yang tersisa dalam mulut, sekiranya saki baki airnya kekal dalam mulut selepas diluahkan, ia tidak membatalkan puasa dan tidak perlu mengeringkannya. Hal ini tidak ada khilaf dalam kalangan ulama’ Syafi’iyyah, menurut al-Mutawalli. Ini kerana jika diluahkan juga, tetap ada basahan di dalam mulut.[8]
Hal ini juga bertepatan dengan Garis Panduan Berpuasa Bagi Pesakit yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menyatakan, “Berkumur-kumur termasuk berkumur-kumur secara gargle (sehingga air hampir ke tekak), dan ubat terapeutik semburan ke mulut yang tidak membabitkan proses menelan;…”[9]
Penutup
Berdasarkan nas dan keterangan di atas, dalam hal berkumur-kumur menggunakan mouth-rinsing gargle seperti ubat kumur misalnya, kami melihat ianya tidak membatalkan puasa kerana ia tidak sampai kepada had batin bagi rongga mulut iaitu makhraj huruf al-ha’ (الهاء). Kaedah berkumur-kumur secara gargling hanya melibatkan sekitar had zahir iaitu makhraj huruf al-kha’ (الخاء). Pun begitu, kami tidak menggalakkannya jika tidak keperluan.
Semoga Allah SWT menerima ibadah kita dan menggolongkan kita dalam golongan orang-orang yang bertakwa.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 19 April 2022 bersamaan 17 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Riwayat al-Tirmizi (788)
[2] Lihat Majmu’ah al-Fatawa, 25/266
[3] Lihat al-Majmu’, 6/230
[4] Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/629
[5] Riwayat Abu Daud (2385)
[6] Lihat al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 6/321
[7] Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/629
[8] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/327
[9] Lihat Garis Panduan Berpuasa Bagi Pesakit, hlm. 6