#962 Status Hadith Berkenaan Kelebihan Orang Yang Berumur 40 Tahun Dan Ke Atas

Soalan

Apakah status hadith yang menyatakan bermulanya umur 40, maka Allah akan meringankan hisabnya. Apabila seorang hamba itu sampai umur 60, maka Allah akan mengurniakannya perasaan ingin bertaubat kepadanya. Apabila seorang hamba itu sampai umur 70, maka akan dikasihi penduduk langit. Apabila seorang hamba itu sampai umur 80 tahun, maka Allah akan menetapkan ganjaran kebaikannya dan menghapuskan daripadanya dosa-dosa. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Berdasarkan persoalan di atas, yang dimaksudkan adalah sebagaimana riwayat daripada Uthman bin Affan RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْعَبْدُ الْمُسْلِمُ إِذَا بَلَغَ خَمْسِينَ سَنَةً خَفَّفَ اللَّهُ حَسَنَاتِهِ، وَإِذَا بَلَغَ سِتِّينَ رَزَقَهُ اللَّهُ الْإِنَابَةَ إِلَيْهِ، وَإِذَا بَلَغَ سَبْعِينَ سَنَةً أَحَبَّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ، فَإِذَا بَلَغَ ثَمَانِينَ سَنَةً ثَبَّتَ اللَّهُ حَسَنَاتِهِ، وَمَحَا سَيِّئَاتِهِ، فَإِذَا بَلَغَ تِسْعِينَ سَنَةً غَفَرَ اللَّهُ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ، وَشَفَّعَهُ اللَّهُ – عَزَّ وَجَلَّ – فِي أَهْلِ بَيْتِهِ، وَكُتِبَ فِي السَّمَاءِ أَسِيرَ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ

Maksudnya: Apabila seorang hamba itu mencecah usia empat puluh, Allah akan meringankan baginya hisabnya. Lalu apabila dia mencecah usia enam puluh, Allah mengurniakannya (keinginan) kembali kepada-Nya. Lalu apabila dia mencecah usia tujuh puluh, Dia menjadikan penduduk langit mencintainya. Lalu apabila dia mencecah usia lapan puluh tahun, Allah mengekalkan kebaikannya dan menghapuskan buatnya keburukannya. Lalu apabila dia mencecah usia sembilan puluh tahun, Allah mengampunkan buatnya dosanya yang telah berlalu dan yang akan datang. Allah juga menerima syafaatnya buat ahli keluarganya, serta ditulis buat penduduk langit: Tawanan Allah di bumi-Nya.[1]

Hadith ini  dalam daripada sudut makna datang daripada jalur tujuh orang sahabat, iaitu Anas bin Malik, Uthman bin Affan, Abu Hurairah, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Syaddad bin Aus, dan Abdullah bin Abu Bakar Al-Siddiq, dan yang paling masyhur di antara hadith-hadith ini ialah Hadith Anas bin Malik RA yang datang dari banyak jalur dan sebahagiannya diriwayatkan oleh al-Hafiz Abu Ya’la dalam Musnadnya[2]

Hadith ini juga disebut oleh Syeikh Masyhur bin Hasan Ali Salman dalam kitabnyaSilsilah al-Ahadith al-Dha’ifah wa al-Maudhu‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrij.[3]

Pandangan Ulama’ Hadith Berkenaan Status Hadith Ini

Imam al-Baihaqi berkata: Hadith ini diriwayatkan daripada pelbagai lafaz dan wajah, dan yang paling masyhur ialah daripada Anas bin Malik RA, diriwayatkan juga daripada Uthman, dan semuanya dhaif.[4]

Ibn al-Jauzi berkata: Hadith ini tidak sahih dari Rasulullah SAW.[5]

Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan kalam al-Hafiz al-Iraqi berkenaan hadith ini, katanya: Hadith ini palsu secara qat’ie. [6]

Ibn Kathir berkata: Hadith ini gharib (pelik), dan mengandungi kemunkaran dan bantahan yang kuat. [7]

Setelah meneliti kata-kata ahli ilmu tentang hadith-hadith ini, menunjukkan bahawa hadith ini semuanya lemah daripada setiap jalur yang ada dan tidak boleh menguatkan antara satu sama lain.

Syarah Hadith

Akan tetapi, jika hadith ini sahih sekalipun, ia hanya ditujukan kepada orang yang beristiqamah dalam ketaatan. Hal ini kerana mereka ini dimuliakan oleh Allah SWT dengan apa yang terdapat dalam hadith ini. Namun begitu, bagi ahli fasiq dan maksiat, mereka tidak layak untuk penghormatan walaupun umur mereka telah lanjut.

Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan: Takhrij hadith ini bagiku, tidak ada yang menetapkan bahawa hadith ini sahih. Namun begitu, jika lafaz hadith ini bersifat umum, ia hanya khusus untuk sesetengah orang sahaja, dan bukan untuk semua orang. Hal ini kerana umur tersebut secara umumnya berlaku kepada semua orang, dan ia semestinya khusus untuk orang Islam, kerana orang-orang kafir, Allah SWT tidak akan melindungi mereka, tidak mengabaikan perbuatan buruk mereka, tidak mengampuni dosa mereka, dan juga tidak memberi syafaat untuk mereka. Dan jika dikhususkan istilah umum itu padaperkara yang khusus, maka ia boleh juga khusus untuk sebahagian orang Islam dan bukan kepada sebahagian yang lain, contohnya khusus untuk seseorang selain orang yang fasiq, iaitu khusus untuk orang-orang baik dan soleh, maka tidak ada halangan bagi Allah untuk memberkati orang yang memiliki sifat-sifat ini sebagaimana yang disebutkan dalam khabar ini. Sesiapa yang mendakwa hal ini adalah khilaf, maka dia wajib menjelaskannya. Wallahu al-Musta’an (Allah sebaik-baik penolong).[8]

Ibn al-Jauzi menyebutkan dalam bukunya Soid al-Khatir sebuah peringatan berkenaan  berlalunya masa seseorang, dan apa yang dia hadapinya. Katanya: Orang yang bijak ialah orang yang memahami dimensi masa, kerana sebelum balighnya seorang lelaki, dia tidak sebaya umurnya. Maka apabila sudah cukup umurnya, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya itu adalah waktu untuk berjihad melawan nafsunya, belajar ilmu. Jika direzekikan dengan anak, maka itu adalah waktu mencari rezeki, dan apabila dia mencapai umur empat puluh, maka selesailah kesempurnaannya. Dan apabila sampai ajalnya, maka kembalilah dia ke tanah. Seolah-olah remaja itu menaiki tangga sehingga umurnya mencecah empat puluh tahun dan merosot. Jadi, apabila dia berumur empat puluh tahun, dia harus memberi perhatian untuk persediaannya pada kehidupan akhirat, Dan semakin tinggi umurnya, hendaklah dia semakin bertambah rajin. Maka jika dia masuk umur lapan puluhan, itu tidak lain hanyalah perpisahan, dan tidak ada yang tersisa daripada hidupnya kecuali penyesalan atas kelalaian, atau ibadah karena kelemahan. Kita memohon kepada Allah SWT Yang Maha Tinggi, Yang Maha Agung, untuk menyedarkan kita sepenuhnya, memalingkan kelalaian daripada kita, dan menjadikan kita untuk melakukan amal soleh yang dengannya kita akan selamat daripada penyesalan pada Hari Akhirat kelak.”[9]

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan di atas dan juga kalam ulama’ hadith berkenaan hadith ini, kami menyatakan bahawa hadith ini lemah dan tidak ada dalam kalangan ulama’ hadith yang mengsahihkan hadith ini, bahkan terdapat dalam kalangan ulama’ hadith yang menyatakan bahawa hadith ini munkar dan palsu sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn al-Jauzi dan al-Hafiz al-Iraqi.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 19 April 2022 bersamaan 17 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] Riwayat Abu Ya’la di dalam Musnadnya (6/351) dan Ibn Jauzi di dalam al-Maudhu’at, (1/180)

[2] Lihat Musnad Abu Ya’la al-Musili, 6/351

[3] Lihat Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah wa al-Maudhu‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrij, hlm. 516 (hadith no. 2742)

[4] Lihat al-Zuhd, hlm. 646

[5] Lihat al-Maudhu’at, 1/180

[6] Lihat al-Qaul al-Musaddad, hlm. 9

[7] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/397

[8] Lihat al-Qaul al-Musaddad, hlm. 22-24

[9] Lihat Soid al-Khatir, hlm. 278