#972: Peringkat Penurunan al-Quran

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah al-Quran diturunkan secara sekaligus atau berperingkat-peringkat? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Menurut al-Qamus al-Muhit, al-Quran dari sudut bahasa bermaksud al-Tanzil (التَّنْزيل) iaitu yang diturunkan.[1] Menurut al-Mu’jam al-Wasit, al-Quran adalah kata terbitan daripada al-Qiraah (القراءة), iaitu bacaan sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ ﴿١٧)‏ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.”[2]

Kata qur’anah (bacaannya) pada ayat di atas bererti qira’atuh (bacaannya/cara membacanya).[3]

Firman Allah SWT:

وَقُرْآنَ الْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Maksudnya: “Dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).”[4]

Dikatakan juga bahawa al-Quran adalah majaz (kiasan) bagi solat, sebab itu ditafsirkan firman Allah SWT di atas dengan solat Fajr, dan dinamakan al-Quran kerana ianya adalah rukun sebagaimana dinamakan ruku’ dan sujud. Dikatakan juga sesungguhnya kalimah al-Quran digunakan dengan makna yang hakiki (sebenar).[5]

Dari sudut Istilah, al-Quran adalah kalam Tuhan sekalian alam yang diturunkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW untuk hidayah bagi manusia semuanya.[6]

Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni pula mendefinisikan: Al-Quran adalah Kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui Malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas.[7]

Makna al-Quran yang disepakati oleh Ulama’ Usul, fuqaha’ dan Ulama’ Bahasa – Al-Quran adalah Kalam yang mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada mashaf yang dipindahkan secara mutawattir dan membacanya adalah Ibadah.[8]

Pengertian Nuzul al-Quran

Sebelum menjawab persoalan di atas, perlu difahami terlebih dahulu berkenaan nuzul al-Quran. Dari sudut bahasa, perkataan nuzul bermaksud menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi. Kata perbuatannya nazala (نزل) membawa maksud ‘dia telah turun’ atau ‘dia menjadi tetamu’. Sebenarnya penggunaan istilah Nuzul al-Quran ini secara majaz atau (simbolik) sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-Quran. Tujuannya untuk menunjukkan ketinggian al-Quran.

Dalam erti kata yang lain, nuzul al-Quran bermaksud penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Antara dalil yang menyatakan tentang penurunan al-Quran adalah, firman Allah SWT:

وَبِالْحَقِّ أَنزَلْنَاهُ وَبِالْحَقِّ نَزَلَ ۗ وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا مُبَشِّرًا وَنَذِيرًا

Maksudnya: Dan dengan cara yang sungguh layak serta berhikmah Kami turunkan Al-Quran, dan dengan meliputi segala kebenaran ia diturunkan; dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira (bagi orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar).”[9]

Peringkat Penurunan al-Quran

Kenyataan di mana penurunan al-Quran berlaku secara berperingkat-peringkat atau sekaligus sebenarnya bukanlah bertentangan di antara satu sama lain. Tetapi kedua-duanya telah berlaku secara serentak dan secara berperingkat. Hal ini dapat difahami dengan kita meneliti perbahasan tentang hal ini.

Menurut Syeikh ‘Abd al-‘Azim al-Zurqani dalam kitabnya Manahil al-‘Irfan fi ‘Ulum al-Quran[10], penurunan al-Quran itu terbahagi kepada tiga peringkat. Ia boleh dijelaskan seperti berikut:

Peringkat Pertama: Al-Quran diturunkan secara sekaligus pada waktu yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Hal ini boleh dilihat melalui firman Allah SWT:

بَلْ هُوَ قُرْآنٌ مَّجِيدٌ ﴿٢١﴾ فِي لَوْحٍ مَّحْفُوظٍ

Maksudnya: (Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lauh Mahfuz.”[11]

Dalam mentafsirkan ayat di atas, al-Tabari dan al-Qurtubi menyatakan bahawa Luh Mahfuz di sisi Allah dan dipelihara daripada syaitan untuk sampai kepadanya.[12]

Peringkat Kedua: Al-Quran diturunkan daripada Luh Mahfuz ke Bait al-‘Izzah atau langit dunia. Hal ini boleh dilihat melalui firman Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ

Maksudnya: Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran.”[13]

Menurut al-Qurtubi, ayat ini telah disepakati oleh para ulama’ dan tiada khilaf bahawa penurunan yang dimaksudkan adalah daripada Luh Mahfuz ke langit dunia pada malam Lailatul Qadar secara sekaligus.[14]

Peringkat Ketiga: Al-Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat daripada langit dunia kepada Nabi SAW melalui perantaraan malaikat Jibril AS. Hal ini boleh dilihat melalui firman Allah SWT:

نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الْأَمِينُ ﴿١٩٣﴾ عَلَىٰ قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ الْمُنذِرِينَ ﴿١٩٤﴾بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُّبِينٍ

Maksudnya: Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah. Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia). (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata.”[15]

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

  • Al-Quran telah diturunkan secara sekaligus pada dua peringkat, iaitu ketika penurunannya ke Luh Mahfuz dan ketika penurunannya ke Bait al-‘Izzah atau langit dunia. Inilah yang dimaknakan oleh firman-firman Allah SWT yang menyebut bahawa al-Quran diturunkan secara sekaligus.
  • Maksud al-Quran diturunkan secara berperingkat pula adalah ketika penurunannya daripada langit dunia kepada Rasulullah SAW bermula detik awal Nabi menerima wahyu, sehinggalah yang terakhir.

Mudah-mudahan kita memperoleh taufiq dan hidayah untuk memahami dan mengamalkan segala yang diturunkan di dalam al-Quran. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 19 April 2022 bersamaan 17 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] Lihat al-Qamus al-Muhit, 1/49

[2] (Surah al-Qiyamah: 17-18)

[3] Lihat al-Mu’jam al-Wasit, 2/722

[4] (Surah al-Isra’: 78)

[5] Lihat Mu’jam Alfaz al-Quran al-Karim, 2/197-198

[6] Lihat al-Quran wa I’jazuhu al-‘Ilm, hlm. 2

[7] Lihat al-Tibyan fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 8

[8] Lihat Mabahith fi Ulum al-Quran, hlm. 21

[9] Surah al-Isra’ (105)

[10] 1/39

[11] (Surah al-Buruj: 21-22)

[12] Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 12/531 dan al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 10/196

[13] (Surah al-Baqarah: 185)

[14] Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 2/297

[15] (Surah al-Syu’ara’: 193-195)