#976 Menghadap Kiblat ketika Membaca al-Quran

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Adakah disunatkan untuk menghadap ke arah kiblat ketika membaca al-Quran? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Membaca al-Quran termasuk dalam ibadah. Pada setiap ayat dan kalimatnya ada pahala dan ganjaran buat sesiapa yang membacanya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

منْ قرأَ حرفًا من كتابِ اللهِ فله به حسنةٌ، والحسنةُ بعشرِ أمثالِها لا أقولُ: آلم حرفٌ، ولكنْ ألِفٌ حرفٌ وميمٌ حرفٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran), maka baginya satu kebaikan (pahala). Dan satu kebaikan itu dilipat gandakan menjadi sepuluh kebaikan semisalnya. Tidaklah aku mengatakan: Alif, lam, mim itu satu huruf, akan tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf.”[1]

Begitu juga terdapat riwayat daripada Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْقُرْآنَ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah mengangkat suatu kaum dengan al-Quran ini dan merendahkan kaum yang lain dengannya.[2]

Maknanya, sesiapa yang beriman dengan al-Quran, memuliakan kedudukannya dan beramal dengannya, maka Allah SWT akan mengangkat kedudukannya di dunia dan akhirat serta mengurniakannya ke‘izzahan dan kemuliaan, manakala sesiapa yang tidak beriman dengan al-Quran atau tidak memuliakan kedudukannya, maka Allah SWT akan merendahkan dan menghinakannya di dunia dan akhirat, sekalipun dia ada kedudukan atau kemuliaan pada kaca mata manusia.[3]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Imam al-Nawawi ketika mengulas berkenaan adab-adab semasa membaca al-Quran menyebutkan, digalakkan bagi pembaca al-Quran di luar solat untuk menghadap ke arah kiblat.[4] Hal ini adalah berdasarkan kepada beberapa hadith, antaranya daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ الْمَجَالِسِ مَا اسْتُقْبِلَ بِهِ الْقِبْلَةَ

Maksudnya: “Sebaik-baik majlis adalah yang menghadap kiblat.”[5]

Selain itu, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَكْرَمُ الْمَجَالِسِ مَا اسْتُقْبِلَ بِهِ الْقِبْلَةُ

Maksudnya: “Semulia-mulia majlis adalah yang menghadap kiblat.[6]

Begitu juga terdapat dalam riwayat lain, daripada Abu Hurairah R.A, yang diriwayatkan secara marfu‘ bahawa

إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ سَيِّدًا، وَإِنَّ سَيِّدَ الْمَجَالِسِ قُبَالَةَ الْقِبْلَةِ

Maksudnya: “Segala sesuatu itu ada pemimpinnya, dan pemimpin majlis adalah yang menghadap kiblat.”[7]

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ شَرَفًا وَإِنَّ أَشْرَفَ الْمَجَالِسِ مَا اسْتُقْبِلَ بِهِ الْقِبْلَةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi setiap sesuatu ada kemuliaannya, dan semulia-mulia majlis adalah yang menghadap kiblat.”[8]

Al-Munawi menyebutkan, hadith ini memberi isyarat bahawa setiap pergerakan mahupun diamnya hamba mengikuti aturan perhambaan kepada Allah SWT, berdasarkan niatnya. Sama ada ketika sedar atau tidur, ketika duduk atau berdiri, ketika minum atau makan, keadaannya menjadi bernilai disebabkan hal tersebut. Oleh itu, dia memilih arah kiblat dalam majlisnya, dia tidak banyak bermain-main, sehingga dianjurkan untuk menjaga agar selalu menghadap ke arah kiblat.[9]

Lebih-lebih lagi, di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan bahawa para fuqaha telah mentakrirkan bahawa arah kiblat ialah semulia-mulia arah. Justeru disunatkan memelihara ke arahnya ketika duduk, berdasarkan hadith-hadith sebagaimana yang telah disebutkan di atas.[10]

Selain daripada itu, Dr. Soleh al-Fauzan juga pernah ditanya berkenaan perkara ini yakni adakah diwajibkan seseorang itu menghadap ke arah kiblat ketika membaca al-Quran? Beliau menjawab, seseorang itu sepatutnya menghadap ke arah kiblat ketika membaca al-Quran kerana membaca al-Quran termasuk dalam perkara ibadah, dan disunatkan dalam perkara ibadah untuk menghadap ke arah kiblat. Justeru, jika dia dapat melakukannya (menghadap ke arah kiblat), maka ia termasuk dalam mukammalat — yakni yang melengkapkannya lagi. Namun, jika dia tidak dapat melakukannya, maka tidak mengapa.[11]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa digalakkan dan disunatkan untuk membaca al-Quran dengan menghadap ke arah kiblat. Lebih-lebih lagi, membaca al-Quran termasuk dalam perkara mulia dan ibadah, maka digalakkan untuk menghadap ke arah semulia-mulia arah iaitu kiblat, di samping mengikut arahan Nabi SAW.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 19 April 2022 bersamaan 17 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] Riwayat al-Tirmizi (2910)

[2] Riwayat Muslim (817); riwayat Ibn Majah (218); riwayat Ibn Hibban (772)

[3] Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/67-68; Tatriz Riyadh al-Salihin oleh Faisal bin ‘Abd al-‘Aziz al-Mubarak, hlm. 581

[4] Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 60.

[5] Riwayat al-Tabari dalam Tahzib al-Athar (1/235)

[6] Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (8361)

[7] Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (2375)

[8] Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (7706)

[9] Lihat Faidh al-Qadir, 2/512.

[10] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 4/76.

[11] Lihat al-Muntaqa min Fatawa al-Fauzan, 2/35.