Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan
Apakah yang perlu dilakukan oleh seseorang yang merasa terlalu lapar dan dahaga ketika berpuasa?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan. Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”[1]
Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya.[2]
Terlalu Lapar Dan Dahaga Ketika Berpuasa
Lumrah bagi orang yang berpuasa merasa lapar dan dahaga ketika berpuasa dan ini merupakan ujian Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya untuk menguji tahap ketaqwaan kepadaNya ketika berpuasa. Oleh itu, tidak boleh bagi seorang Muslim mengambil mudah mengenai puasa hanya kerana dia merasa dahaga atau lapar, atau hanya kerana dia takut tidak boleh meneruskan puasa. Sebaliknya, hendaklah dia terus bersabar dan meminta pertolongan kepada Allah supaya membantunya dalam beribadah dan berpuasa. Tidak salah untuk dia menuangkan air ke kepalanya untuk menyejukkan badannya dan menyegarkan badannya.
Dalam isu ini, bagi seseorang muslim yang diwajibkan puasa ke atasnya, hendaklah dia memulakan harinya dengan berpuasa, dan jika dia tidak dapat menyempurnakannya akibat teramat lapar dan dahaga sehinggan mengancam nyawanya dan memudharatkan kesihatannya, maka diharuskan untuk berbuka puasa dalam keadaan itu. Tetapi dia tidak boleh berbuka hanya berdasarkan andaiannya semata-mata kecuali apabila perkara tersebut memudharatkan dirinya.
Ibnu Qudamah berkata di dalam al-Kafi fi Fiqh al-Imam Ahmad: Pandangan yang benar ialah jika dia takut mudharat terhadap dirinya kerana dahaga yang melampau atau kelaparan yang melampau dan seumpamanya, maka dia boleh berbuka.[3]
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata dalam kitabnya al-Ta’liqat ‘ala al-Kafi li Ibn Qudamah: “Jika dia takut dahaga” tidak merujuk kepada dahaga yang biasa; sebaliknya ia merujuk kepada jenis dahaga yang mana terdapat ketakutan untuk mati, atau terdapat ketakutan yang memberikan mudharat dan bahaya.[4]
Imam al-Nawawi berkata dalam al-Majmu’: Para ashab kami (al-Syafi’ie) dan yang lain-lain berkata: Sesiapa yang lapar dan dahaga yang menyebabkan kebinasaan baginya, hendaklah dia berbuka, walaupun jika dia dalam keadaan sihat dan bermuqim, kerana Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu membunuh (atau membinasakan) diri kamu sendiri, sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepada kamu”, “Dan janganlah kamu mencampakkan dirimu dengan tanganmu sendiri ke dalam kebinasaan”, Dalam hal ini, dia wajib menggantikan puasanya itu, sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang yang sakit.[5]
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa setiap orang yang muslim yang difardhukan puasa, hendaklah berniat puasa pada malam hari bulan Ramadhan dan meneruskan puasanya pada siang harinya. Namun sekiranya puasa itu tidak dapat diteruskan disebabkan oleh lapar dan dahaga yang melampau sehingga memudharatkan dirinya dan kesihatannya serta boleh membinasakannya, maka hendaklah dia berbuka puasa dan menggantikan puasanya setelah berakhirnya Ramadhan.
Walaupun begitu, sekiranya seseorang itu terlalu tergesa-gesa dan berbuka sebelum mengalami tahap kesusahan yang membenarkan berbuka, maka hendaklah dia bertaubat kepada Allah SWT terhadap apa yang dilakukannya itu dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 20 April 2022 bersamaan 18 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)
[2] Lihat Fath al-Bari, 4/115
[3] Lihat al-Kafi fi Fiqh al-Imam Ahmad, 1/435
[4] al-Ta’liqat ‘ala al-Kafi li Ibn Qudamah, 3/124
[5] Lihat al-Majmu’, 6/258