Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum penggunaan lipstick (gincu bibir) ketika sedang berpuasa? Adakah puasa seseorang terbatal jika dia mengenakan lipstick ketika berpuasa? Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”[1]
Sayyid Qutb menyebutkan bahawa perhiasan itu halal bagi perempuan untuk memenuhi keinginan semula jadinya. Setiap perempuan ingin menjadi cantik dan dipandang cantik. Walaupun perhiasan itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman, namun asas perhiasan itu adalah sama sahaja dalam fitrah perempuan, iaitu ingin mendapat dan menyempurnakan sifat-sifat kejelitaan dan menunjukkannya kepada kaum lelaki. Islam tidak menentang keinginan semula jadi ini, tetapi Islam mahu mengatur dan mengawalnya. Islam mahu menjadikan keinginan semula jadi itu menuju ke arah yang terang, iaitu ke arah suaminya yang tunggal selaku rakan kongsi hidupnya, yang dapat memandang bahagian-bahagian badannya, yang tidak boleh dipandang oleh orang-orang yang lain daripadanya — yakni suaminya itu.[2]
Pada asasnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian — yakni halal dan harus — selagi mana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut.[3] Justeru, hukum wanita memakai lipstik serta alat-alat solek yang lain adalah diharuskan selagi mana tiada dalil yang menunjukkan sebaliknya. Hal ini adalah sebagaimana keumuman firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Maksudnya: “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”[4]
Walau bagaimanapun, terdapat batasan dalam hal tersebut. Perkara yang harus diingat dan diberi perhatian bagi seorang wanita itu, adalah hendaklah dia mengelakkan diri daripada bertabarruj. Al-Syaukani menyebutkan bahawa al-Tabarruj ialah menampakkan dan mempamerkan — yakni perhiasan dan kecantikkannya — bagi mata-mata — untuk melihat dan menikmatinya.[5]
Firman Allah SWT:
وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.”[6]
Al-Maraghi menyebutkan, larangan untuk mempamerkan perhiasan diri dan kecantikan wanita kepada kaum lelaki seperti yang dilakukan oleh kaum perempuan pada zaman Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam.[7]Begitu juga, al-Syaukani ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan bahawa al-Tabarruj ialah apabila seorang wanita menampakkan sebahagian daripada perhiasan dan kecantikannya yang (sepatutnya) wajib untuk ditutupinya, yang mana perkara tersebut dapat menarik perhatian laki-laki — yakni syahwat mereka.[8]
Berlebihan dalam berhias bagi seseorang perempuan adalah diharuskan hanya kepada suaminya sahaja. Dalam hal ini, mempamerkan perhiasan dan kecantikan kepada sesiapa yang tidak sepatutnya dilihat seperti memakai pakaian yang ketat untuk mempamerkan bentuk badan atau selainnya. Lalu disebabkan itu dapat menaikkan syahwat dan nafsu orang yang memandangnya, maka para ulama telah menyatakan ijma’ bahawa ia adalah haram melainkan kepada suaminya sahaja.[9]
Hukum Penggunaan Gincu Bibir Ketika Berpuasa
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, hukum penggunaan lipstick pada siang hari Ramadhan adalah tidak membatalkan puasa selagi mana ia tidak menelan masuk ke dalam rongga. Sekadar terdapat ‘rasa’ di bibir maka ianya tidak membatalkan puasa.
Ini berdasarkan fatwa Ibn ‘Abbas R.Anhuma mengenai merasa makanan yang mana menyebutkan:
لَا بَأْسَ أَنْ يَذُوقَ الْخَلَّ أَوِ الشَّيْءَ، مَا لَمْ يَدْخُلْ حَلْقَهُ وَهُوَ صَائِمٌ
Maksudnya: “Tidak mengapa untuk merasa cuka atau yang lainnya, selagi tidak memasuki tekaknya dan dia sedang berpuasa”.[10]
Tatkala seseorang merasa makanan, sudah pasti ianya akan memberikan kesan rasa kepada yang merasanya (pada lidah) dan selagi mana dia tidak menelannya maka tidak batal puasanya. Begitu juga keadaannya bagi lipstick. Sekadar terdapat rasa sahaja, ianya belum membatalkan puasa melainkan dia menelannya, maka batallah puasanya.
Kebanyakan kitab-kitab fiqh mazhab al-Syafi’e juga menyebutkan mengenai isu merasa makanan ini, dan kebanyakannya mengatakan perbuatan itu makruh tidak membatalkan puasa kerana dibimbangi boleh tertelan dan membatalkan puasa. Ini boleh di lihat di dalam kitab Mughni al-Muhtaj[11] oleh al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah, kitab Nihayah al-Muhtaj[12] oleh al-Imam al-Ramli Rahimahullah dan ianya juga terdapat di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji.
Begitu juga telah berkata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: “Merasa makanan adalah makruh sekiranya tiada hajat tetapi ianya tidak membatalkan puasa. Sekiranya terdapat hajat (untuk merasanya) maka ianya seperti al-Madhmadhoh (berkumur)”.[13]
Adapun berkumur[14], jika diperhatikan masih terdapat baki-baki air yang sedikit di dalam mulut dan jika tertelan bersamanya air liur maka ianya tidak membatalkan puasa kerana ianya amat payah untuk dielakkan.[15]
Seperti juga bersugi, bersiwak dan memberus gigi ketika berpuasa, telah sepakat para fuqaha’ akan keharusannya. Begitu juga penggunaan ubat gigi. Jika kita perhatikan, semasa memberus gigi, bersiwak dan sebagainya pasti akan terdapat ‘rasa’ pada lidah namun jika tidak ditelan, ianya tidak membatalkan puasa
Kesimpulan
Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa penggunaan gincu di siang hari bulan Ramadhan tidak membatalkan puasa. Namun, sekiranya ditelan (memasuki rongga) rasa yang terdapat pada gincu tersebut, maka ianya membatalkan puasa. Adapun semata-mata terdapat ‘rasa’ daripada bibir yang digincu itu maka ianya tidaklah membatalkan puasa kecuali dia menelannya selepas itu.
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam kitabnya Sabil al-Muhtadin ada menyebutkan: “Tiada batal puasa sebab merasai makanan dengan lidah dan jika sampai rasa makanan itu kepada rukungan (kerongkong) sekalipun dari kerana rasa makanan itu athar’ jua bukan ‘ain.”
Jika seseorang merasa makanan ketika berpuasa, kemudian dia meludahkannya tetapi masih berbaki rasanya pada lidah sekalipun sampai kepada tekak dan ditelannya, maka ianya tidak membatalkan puasa seseorang itu kerana ‘ain makanan tersebut telah diludahkan dan yang tinggal hanya athar (kesan) sahaja yang berbaki.
Kami juga ingin tegaskan di sini bahawa memakai gincu untuk memperlihatkan pada yang lain dalam keadaan berlebih-lebihan (tabarruj) adalah amat tidak digalakkan di dalam Islam. Tetapi untuk suami, ianya dibenarkan sebagai berhias diri.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 20 April 2022 bersamaan 18 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] (Surah al-Nur: 31)
[2] Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2512
[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90
[4] (Surah al-Baqarah: 29)
[5] Lihat Fath al-Qadir, 4/61
[6] (Surah al-Ahzab: 33)
[7] Lihat Tafsir al-Maraghi, 22/6
[8] Lihat Fath al-Qadir, 4/320
[9] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/62
[10] Riwayat Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (9277)
[11] 2/168
[12] 3/183
[13] Lihat Majmu’ al-Fatawa, 25/266
[14] Berkumur yang dimaksudkan di sini adalah dengan tidak berlebih-lebihan kerana sedang berpuasa. Ini sepertimana mafhum hadith Nabi ﷺ yang menyuruh agar mubalaghah (berlebih-lebihan) dalam berkumur bagi mereka yang tidak berpuasa.
[15] Lihat Radd al-Muhtar, 2/98