Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seseorang melakukan aktiviti berenang dan menyelam ketika bulan Ramadhan?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Sebelum menjawab persoalan di atas, kami nukilkan terlebih dahulu firman Allah SWT:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”[1]
Berdasarkan ayat al-Quran ini, antara kewajipan bagi orang yang berpuasa Ramadan ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa setelah berniat puasa. Antaranya ialah memasukkan ain (suatu jirim) ke rongga dalam melalui saluran yang terbuka seperti mulut, hidung, telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan. [2]
Secara jelasnya, antara perkara yang membatalkan puasa adalah dengan memasukkan sesuatu ke rongga dalam (ruang selepas halkum hingga usus dan tali perut) melalui ruang yang sedia terbuka (manfaz maftuh) iaitu mulut, telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan. Rongga itu sama ada ia mempunyai kuasa memproses makanan dan ubat ataupun tidak. Sekiranya memasukkan sesuatu melaluinya sehingga sampai ke rongga dalam badan maka terbatal puasanya. [3]
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji dalam menjelaskan hal ini berkata, bahawa salah satu daripada perkara yang membatalkan puasa ialah “sampainya suatu ain ke jauh (rongga) daripada saluran yang terbuka. Ain itu adalah suatu yang boleh dilihat dengan mata kasar. Jauf pula ialah bahagian otak atau bahagian selepas tekak sehingga perut dan usus-usus. Saluran terbuka pula bermaksud mulut, telinga, alat sulit hadapan, dan belakang, bagi lelaki dan perempuan.” [4]
Maka dapat difahami bahawa antara perkara yang boleh menyebabkan puasa terbatal adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga melalui saluran yang terbuka seperti hidung, telinga, mulut, dubur dan kemaluan. Perkara ini juga dijelaskan oleh Imam al-Nawawi, katanya: “Antara perkara yang membatalkan puasa adalah masuknya sesuatu ke bahagian dalam rongga. Para ulama telah menentukan piawaian sesuatu yang masuk (ke dalam rongga) yang membatalkan puasa dengan ain (objek) yang sampai, iaitu (dari) had zahir ke dalam had batin melalui rongga terbuka dengan sengaja dan sedar dalam keadaan berpuasa.” [5]
Justeru, secara umumnya, batal bagi orang yang berpuasa jika memasukkan sesuatu ke dalam rongga tersebut secara sengaja dan ikhtiarnya sendiri. Dan dia mengetahui perbuatan tersebut adalah dilarang ketika berpuasa. [6]
Pengertian al-Jauf
Kami nyatakan terlebih dahulu penjelasan berkenaan al-jauf di sisi mazhab Syafi’i. Jauf sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Ibn Ruslan adalah:
وكُـــلِّ عَـيْــنٍ وَصَــلَــتْ مُـسَـمَّــى جَـــوفٍ بِمَـنْـفَـذٍ وذِكْــــرِ صَــوْمَــا
كالـبَـطْـنِ والـدِّمَــاغِ ثـــم الـمُـثُــنِ ودُبُــــــرٍ وبـــاطِــــنٍ مِـــــــن أُذُنِ
“Setiap sesuatu ‘ain (zat) yang sampai kepada yang disebut
Rongga melalui saluran terbuka dan dalam keadaan ingat
(Rongga tubuh itu) seperti perut, otak, kemudiannya pundi kencing
Dan (lubang) dubur dan bahagian dalam telinga.“[7]
Meskipun begitu, tidak mengapa sampai minyak ke dalam rongga atau perut dengan sebab diserap melalui liang roma. [8]
Jauf sepertimana yang disebut oleh Imam al-Ramli dalam Ghayah al-Bayan iaitu syarah bagi matan Zubad ialah perut, otak, pundi kencing, lubang dubur dan bahagian dalam telinga. Justeru, jika sesuatu ‘ain itu sampai kepada jauf melalui saluran yang terbuka, maka batallah puasanya. Tetapi, jika sampai melalui saluran yang tidak terbuka, maka tidak batal seperti:
- Minyak yang sampai kepada jauf melalui serapan daripada lubang pori-pori (liang roma).
- Kepala atau perut yang disapu minyak dengan sesuatu akhirnya masuk ke dalam.
- Celak yang dipakai pada mata kemudian terdapat rasa celak pada tekak. [9]
Sebahagian ulama menyatakan bahawa luka juga dikategorikan sebagai saluran yang terbuka manakala sebahagian yang lain menyatakan ia tidak memberi kesan apa-apa kepada puasa kerana ia bukanlah saluran terbuka secara asal. [10]
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji pula menyebut, “Jauf ialah bahagian otak atau bahagian selepas tekak sehingga perut dan usus-usus. Saluran terbuka pula bermaksud mulut, telinga, alat sulit hadapan, dan belakang, bagi lelaki dan perempuan.” [11]
Menurut Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili pula, al-Jauf di sisi mazhab Syafie adalah apa yang melepasi kerongkong hingga ke perut dan usus dalam, berbeza dengan apa yang sampai tanpa melalui jauf seperti ubat untuk luka pada daging betis atau peha, walaupun sampai ubat itu ke dalam otak atau daging, begitu juga jika dimasukkan besi ke dalamnya, tidak batal puasa.[12]
Isu Berenang dan Menyelam Ketika Berpuasa
Berbalik kepada persoalan di atas, kami nukilkan di sini beberapa pandangan fuqaha’ dalam menjelaskan permasalahan ini.
Menurut Imam al-Ramli dan Imam al-Bujairimi, sekiranya diketahui secara kebiasaan bahawa air akan sampai ke jaufnya dan juga rongga terbuka dengan cara menyelam, serta dia tidak mampu untuk mengelakkannya (daripada sampainya air), maka haram baginya untuk menyelam, dan puasanya terbatal secara pasti. [13]
Imam al-Azra’i berkata: “Jika sudah diketahui secara kebiasaan (adat) bahawa ketika seseorang menyelam pasti akan ada air yang sampai ke jaufnya, dan tidak memungkinkan baginya untuk menghindari hal tersebut, maka haram baginya menyelam, dan puasanya boleh terbatal disebabkan menyelam. [14]
Dalam kitab al-Syarh al-Kabir, dinukilkan pendapat al-Hasan al-Basri dan al-Sya’bi, di mana mereka menyatakan bahawa, “Makruh bagi seseorang untuk menyelam di dalam air, kerana dikhuatiri air akan masuk melalui telinganya.” [15]
Jika seseorang berenang dan biasanya ada air yang masuk, maka berenang bukan hanya makruh, bahkan haram. Inilah sepertimana yang dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami, katanya: “Demikian juga membatalkan (sebagaimana melebih-lebihkan berkumur dan menghisap air ke dalam hidung), masuknya air ketika mandi untuk tujuan menyegarkan atau membersihkan badan. Begitu juga masuknya air ke dalam rongga orang yang menyelam, sama ada dari lubang mulut atau hidungnya, kerana menyelam hukumnya adalah makruh sepertimana melebih-lebihkan berkumur dan menghisap air ke dalam hidung. Demikian ini apabila tidak ada kebiasaan masuknya air ke dalam rongga. Jika tidak demikian, (yakni diketahui bahawa biasanya air akan masuk, tetapi dia tetap melakukannya), maka berdosa dan puasa terbatal secara pasti. [16]
Justeru, dapat difahami bahawa sekiranya dalam kebiasaan, tidak ada air yang masuk ketika kita berenang, maka hukum berenang adalah makruh ketika berpuasa. Sebaliknya, jika dalam kebiasaan, ada air yang masuk, sama ada dari hidung, telinga mahupun mulut, maka berenang itu hukumnya adalah haram.
Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah (Badan Fatwa Jordan) juga pernah ditanya berkenaan isu ini, iaitu tentang hukum berenang bagi seseorang yang sedang berpuasa. Secara ringkasnya, dijawab: “Dimakruhkan berenang bagi orang yang sedang berpuasa. Ini kerana dikhuatiri air akan masuk pada bahagian dalam tubuh melalui lubang hidung, telinga dan mulut. Sekiranya air masuk, maka puasanya menjadi batal. Selain itu, bulan Ramadhan merupakan bulan untuk bertasbih, dan bukan bulan untuk berenang.”
Dalam ruangan yang lain, mereka menjawab dengan lebih terperinci seperti berikut: Sekiranya orang yang berenang mempunyai sangkaan yang kuat bahawa air tidak akan sampai ke al-jauf (rongga) dari lubang mulut, hidung atau telinga, maka tidaklah menjadi masalah untuk berenang pada siang hari bulan Ramadhan, kerana tidak adanya larangan mengenai hal tersebut. Itulah yang dimaksudkan dengan fatwa makruhnya berenang ketika berpuasa oleh ulama’ Syafi’iyyah kerana dikhuatiri masuknya air.
Terdapat riwayat yang menjadi pertimbangan dalam hal ini, iaitu daripada Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf, daripada Abu Bakar bin ‘Abd al-Rahman bin al-Harith, daripada seseorang yang melihat Nabi SAW menjirus kepalanya dengan air, sedangkan Baginda sedang berpuasa pada hari yang panas. Imam al-Nawawi berkata bahawa orang yang berpuasa boleh menjirus air dan berendam di dalam air, serta menjirus kepalanya, sama ada di bilik mandi mahupun selainnya. Hukum dalam masalah ini tidaklah terdapat ikhtilaf di dalamnya.
Namun, sekiranya air masuk ke dalam jauf (rongga) kerana cara yang salah ketika berenang, maka puasanya batal. Dan dia hendaklah menahan diri pada baki hari, dan puasanya hendaklah diqadha’ selepas Ramadhan. Sekiranya ada sangkaan kuat, bahawa air boleh masuk ke dalam kerongkong dengan sebab berenang, maka dia tidak boleh membuatkan puasanya batal. Kerana jika dia tetap melakukannya, dan air masuk, maka puasanya batal, dan dia wajib qadha’ dan bertaubat.
Meskipun begitu, terdapat satu riwayat, bahawa Anas bin Malik R.A pernah masuk dan berendam di dalam bekas takungan air ketika berpuasa. Kata beliau:
إِنَّ لِي أَبْزَنَ أَتَقَحَّمُ فِيهِ، وَأَنَا صَائِمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku memiliki satu takungan air, di mana aku masuk ke dalamnya, sedangkan aku sedang berpuasa.” [17]
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan bahawa al-abzan (الأَبْزَن) ialah batu yang diukir menjadi tempat mandi, dan ia adalah bekas yang dipenuhi dengan air. Apabila Anas berasa panas, maka beliau akan masuk ke dalam tempat mandi itu untuk menyejukkan diri dengannya. [18] Al-Abzan (الأَبْزَن) pada masa kini boleh dipanggil dan dinamakan sebagai tub mandi.
Penutup
Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa seseorang yang berpuasa adalah haram melakukan aktiviti berenang atau menyelam sekiranya dilihat dari segi kebiasaan, perbuatan tersebut boleh menyebabkan air memasuki rongga tengah mahupun rongga-rongga yang terbuka.
Namun, sekiranya seseorang melakukan aktiviti berenang atau menyelam dan pada kebiasaannya perbuatan tersebut tidak menyebabkan air memasuki rongga tengah mahupun rongga-rongga yang terbuka, maka ia adalah makruh kerana dikhuatiri air akan memasuki rongga.
Adapun, jika seseorang melakukan aktiviti berenang atau menyelam tetapi ia dilakukan atas alasan darurat sebagai contoh ia merupakan mata pencariannya sebagai nelayan atau juru kimpal pelantar minyak atau penyelam scuba dan sebagainya. Maka di atas perkara darurat ini hukumnya adalah harus tetapi dengan syarat orang itu perlu menjaga dengan sebaik-baiknya, supaya air tidak memasuki rongga tengah dan rongga-rongga yang terbuka.
Perkara ini juga selari dengan kaedah fiqh yang menyebut:
الْأَمْرُ إذَا ضَاقَ اتَّسَعَ، وَإِذَا اتَّسَعَ ضَاقَ
Maksudnya: “Ketika dalam kesempitan, diberikan keringanan (rukhsah). Apabila hilang kesempitan, kembali kepada hukum asal.”[19]
Kaedah ini menunjukkan kesusuaian hukum Islam yang boleh diterapkan secara tepat pada setiap keadaan atau diperbolehkan melakukan keringanan dan kemudahan di dalamnya hingga hilangnya sesuatu yang menyulitkan itu.
Penetapan kaedah ini ditetapkan para ulama’ berdasarkan pelbagai ayat al-Quran dan Hadis yang menunjukkan Syariah memberikan jalan keluar dan penyelesaian kepada beberapa keadaan yang mendesak. Contohnya ayat al-Quran yang menyebut,
يُرِيدُ اللَّـهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”
Hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,
إِنَّما بُعِثْتُم مُيَسِّرينَ ولَمْ تُبْعَثوا مُعَسِّريْنَ
Maksudnya: “Sesungguhnya kalian diutuskan untuk menjadi pemudah cara bukan memberi kesusahan dan kesukaran.”[20]
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 20 April 2022 bersamaan 18 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Surah al-Baqarah: 187
[2] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/181
[3] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/181
[4] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/342
[5] Lihat Raudah al-Talibin, 2/356
[6] Lihat Nihayah al-Zain, 1/187
[7] Lihat al-Zubad fi Fiqh al-Islami, m. 156
[8] Lihat Ghayah al-Bayan Syarh Zubad Ibn Ruslan, hlm. 232
[9] Lihat Ghayah al-Bayan, hlm. 302
[10] Pendapat ini disebutkan dalam Jurnal Majma’ al-Fiqh al-Islami, 10/652
[11] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/342
[12] Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 2/181
[13] Lihat Hasyiyah al-Jamal, 1/473 dan Hasyiyah al-Bujairimi, 2/74
[14] Lihat Hasyiyah al-Jamal, 3/423
[15] Lihat al-Syarh al-Kabir, 3/45
[16] Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 3/406
[17] Lihat Sahih al-Bukhari, 3/30
[18] Lihat Fath al-Bari, 4/197
[19] Lihat Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 1/321; Ghamz ‘Uyun al-Basair fi Syarh al-Asybah wa al-Nazha’ir, 1/273; al-Qawaid al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba‘ah, 1/282
[20] Riwayat al-Bukhari (220)