#999 Sujud Syukur Pemain Bola Tanpa Wudhu dan Menghadap Kiblat

Soalan

Apakah hukum sujud syukur bagi pemain bola sepak dalam keadaan tidak berwudhu’ dan menghadap kiblat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Syukur merupakan pengiktirafan terhadap kurniaan Tuhan dengan memujinya. Hakikatnya menzahirkan atas kesan nikmat pada lidah, hati dan anggota badan di mana lidah memuji, hati mengiktiraf dan anggota badan melakukan mengikut apa yang diredhai-Nya.[1] Syukur pada istilah ialah seorang hamba menggunakan semua nikmat kurniaan Allah kepadanya untuk mentaati-Nya.[2]

Sedangkan takrif sujud syukur sebagai sujud yang dilakukan oleh seseorang ketika mendapat nikmat atau tertolak bala.[3]

Ulama telah khilaf (berselisih pandangan) berkenaan dengan sujud syukur seperti berikut:

  • Pandangan pertama: Ia tidak disyariatkan. Inilah pendapat Abu Hanifah, Malik dalam satu pendapat yang masyhur dan al-Nakha’ie mengikut yang dinyatakan oleh Ibn al-Munzir.
  • Pandangan kedua: Ia disyariatkan dan hukumnya sunat. Inilah pendapat Imam al-Syafi’e, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur, Ibn al-Munzir, Abu Yusuf, Muhammad Ibn Habib daripada mazhab Maliki dan Ibn Qassar menisbahkan kepada Imam Malik bahkan ditashihkan oleh al-Banani.

Dalil Sujud Syukur

Dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan sujud syukur adalah berdasarkan hadith Nabi SAW daripada Abu Bakrah RA, katanya:

أَنَّهُ كَانَ إِذَا جَاءَهُ أَمْرُ سُرُورٍ أَوْ بُشِّرَ بِهِ خَرَّ سَاجِدًا شَاكِرًا لِلَّهِ

Maksudnya: “Adalah Nabi SAW ketika telah datang sesuatu perkara yang menggembirakan ataupun diceritakan sesuatu yang gembira dengannya akan turun sujud, bersyukur terhadap Allah SWT.”[4]

Antara hujahnya adalah berdasarkan hadith daripada Abu Bakrah R.A, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى الله عَليْهِ وسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَتَاهُ أَمْرٌ يَسُرُّهُ أَوْ بُشِّرَ بِهِ ، خَرَّ سَاجِدًا ، شُكْرًا لِلَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى

Maksudnya“Bahawa sesungguhnya Nabi SAW apabila datang kepadanya sesuatu yang menggembirakan atau khabar gembira, beliau lantas sujud untuk berterima kasih kepada Allah SWT.”[5]

Dalam riwayat lain, daripada Abu Bakrah R.A juga, beliau berkata:

اَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ اِذَا جَاءَهُ خَبَرٌ يَسُرُّهُ خَرَّ سَاجِدًا للهِ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya apabila datang kepada Nabi SAW sesuatu yang baik yang menggembirakan, beliau langsung sujud kerana berterima kasih kepada Allah SWT.”[6]

Begitu juga diriwayatkan daripada para Sahabat yang mana turut juga melakukan sujud syukur ketika menerima satu perkhabaran yang gembira. Sebagai contoh, diriwayatkan bahawa Abu Bakar RA sujud syukur ketika pembukaan Yamamah dan mendengar perkhabaran Musailamah al-Kazzab dibunuh. Begitu juga Ali RA telah sujud syukur apabila mendapati bahawa Dzu al-Thudayyah daripada kalangan Khawarij telah terbunuh. Seterusnya, diriwayatkan juga bahawa Ka’ab bin Malik telah sujud syukur ketika mana mendengar khabar bahawa taubatnya telah diterima oleh Allah SWT.

Disunatkan untuk melakukan sujud syukur ketika mana menerima kurnian nikmat daripada Allah SWT seumpama kelahiran anak, mendapat harta, pangkat, lulus peperiksaan dengan cemerlang dan juga selainnya. Begitu juga disunatkan untuk sujud syukur ketika mana kita terbebas dari segala bala dan bencana sepertimana terselamat dari kemalangan, gempa bumi dan juga perkara-perkara yang tidak baik.

Sepertimana dijelaskan, inilah pendapat al-Syafi’e (begitu juga pendokong mazhab Syafi’e), Ahmad bin Hanbal (begitu juga pendokong mazhab Hanbali), Ishak, Abu Thaur dan juga Ibn al-Munzir. Adapun al-Nakha’ie, Malik dan juga Abu Hanifah berpendapat bahawa sujud syukur adalah makruh.[7] Namun, terdapat juga pendapat sebahagian Malikiyyah yang mengatakan bahawa sunatnya sujud syukur.

Pemain Bola Sepak Melakukan Sujud Syukur  Kerana Gembira Dengan Gol Yang Diperoleh

Antara yang sering menunjukkan contoh sujud ketika menjaringkan gol ialah salah seorang pemain Liverpool berbangsa Mesir, iaitu Mohamad Salah. Apa yang paling menarik tentang gol Mohamad Salah ialah sambutannya yang konsisten. Beliau melakukan dua perkara selepas menjaringkan gol iaitu dengan memeluk rakan sepasukannya iaitu tindak balas yang biasa. Tetapi kemudian, dia melakukan sujud, iaitu sujud syukur. Persembahan Mohamad Salah dengan sujud di luar solat ialah ungkapan kesyukuran khusus untuk gol yang dijaringkan. Walaupun ramai pemain bola sepak Liga Perdana yang lain beragama Islam, Mohamad Salah adalah satu-satunya yang kerap dan konsisten sujud di atas padang.[8]

Dalam isu ini, hal ini berkait rapat dengan sujud syukur itu, adakah wajib untuk dilakukan dengan berwudhu’, menghadap kiblat ataupun tidak. Terdapat pandangan para ulama’ yang membenarkan untuk sujud syukur tanpa wudhu’ serta tidak pula menghadap kiblat. Ini adalah pendapat kebanyakan salaf  serta sebahagian al-Malikiyyah.[9] Begitu juga ianya adalah pendapat jemaah muhaqqiq seperti Ibn Jarir al-Tabari, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah[10], Ibn al-Qayyim[11], al-Syaukani[12] dan al-San’ani[13]. Hal ini kerana:

  • Pendapat yang mengatakan bahawa sujud syukur memerlukan wudhu’ perlu mendatangkan dalil. Mengqiyaskan sujud syukur dengan solat adalah tidak tepat kerana sujud syukur itu adalah sujud dan bukannya seperti solat.
  • Zahir hadith Abu Bakrah RA yang menunjukkan bahawa Nabi SAW terus sujud syukur tatkala menerima sesuatu yang menggembirakan Baginda. Tiada pula disebutkan perlunya dalam keadaan berwudhu’. Sekiranya memerlukan wudhu’ pasti akan diterangkan oleh Baginda SAW kerana berhajatkan kepadanya bahkan hadith menyebutkan Nabi SAW terus sujud tatkala menerima khabar yang gembira.
  • Sujud syukur dilakukan apabila mendapat nikmat atau terselamat dari mudarat tanda syukur kepada Allah SWT. Ianya dilakukan secara serta merta. Jika memerlukan kepada wudhu’, sudah tentu ianya tidak dapat dilakukan dengan segera kerana perlu mencari air untuk berwudhu’, mencari kiblat kemudian barulah boleh melakukan sujud syukur. Ini boleh menghilangkan rahsia makna disyariatkan sujud syukur itu sendiri.

Mantan Mufti Besar Arab Saudi ketika ditanya berkenaan isu sujud syukur tanpa wudhu’, maka beliau menjawab: Sujud tilawah adalah sujud yang terpisah daripada solat (mustaqil), jika di luar solat, boleh sujud dalam keadaan tidak berwudhu’ mengikut sujud yang betul, dan ini sama juga dengan sujud syukur. Hal ini kerana kedua-dua sujud ini berlaku dengan sebab-sebab yang mungkin berlaku semasa seseorang itu tidak dalam keadaan suci. Boleh jadi seseorang itu membaca al-Quran dengan tidak melihat mushaf tanpa wudhu’, apabila dia melalui ayat sujud tilawah ataupun datangnya berita yang menggembirakannya, sedangkan dia tidak beada dalam keadaan suci, maka dia boleh sujud tanda syukur kepada Allah dan ini merupakan perkara yang baik. Di dalam hadith, “Bahawa sesungguhnya Nabi SAW apabila datang kepadanya sesuatu yang menggembirakan, baginda lantas sujud kepada Allah.[14]

Kesimpulan

Kami melihat di dalam isu ini, pendapat yang lebih dekat adalah pendapat yang mengatakan bahawa sujud syukur boleh dilakukan tanpa adanya wudhu’ dan juga menghadap ke kiblat. Ini dengan melihat bahawa tiada dalil yang menjadi pemutus akan perlunya untuk berwudhu’ dan menghadap kiblat. Justeru, dibolehkan untuk pemain bola sepak muslim meraikan gol dengan melakukan sujud syukur tanpa wudhu’ dan tanpa menghadap kiblat. Bahkan ia boleh jadi satu cara untuk pemain bola muslim untuk menunjukkan syiar Islam dan boleh jadi juga dalam satu bentuk dakwah kepada yang bukan Islam untuk menyatakan bahawa orang Islam apabila mendapat nikmat akan tetap mengingati Allah dengan bersujud kepada-Nya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 21 April 2022 bersamaan 19 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Lihat Madarij al-Salikin, 2/244

[2] Lihat Hasyiah al-Syabramalisi, 1/22

[3] Lihat Syarh al-Minhaj dan Hasyiah al-Qalyubi, 1/208

[4] Riwayat Abu Daud (2774)

[5] Riwayat Ibn Majah (1394)

[6] Riwayat Abu Daud (2774)

[7] Lihat al-Mughni, 1/449 dan al-Majmu’, 4/70

[8] Lhat https://theconversation.com/liverpool-fcs-mohamed-salahs-goal-celebrations-a-guide-to-british-muslimness-93084

[9] Lihat Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Khalil, 2/62

[10] Lihat al-Fatawa al-Kubra, 5/340

[11] Lihat Tahzib Sunan, 1/69

[12] Lihat Nail al-Autar, 3/127

[13] Lihat Subul al-Salam, 1/315

[14] Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 10/450