#325 Memakan Burung Bangau

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Sebenarnya, apakah hukum memakan burung bangau kerana saya dengar ada yang ia adalah haram dan ada juga yang kata dibenarkan? Mohon pencerahan.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أَوَلَمْ يَرَوْا إِلَى الطَّيْرِ فَوْقَهُمْ صَافَّاتٍ وَيَقْبِضْنَ ۚ مَا يُمْسِكُهُنَّ إِلَّا الرَّحْمَٰنُ ۚ إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ بَصِيرٌ

Maksudnya: “Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-Mulk: 19)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan bahawa ayat ini mengandungi teguran dan dorongan untuk memperhatikan keadaan burung yang ditundukkan Allah SWT serta Allah menundukkan udara dan angin untuknya. Burung mengepakkan sayapnya untuk terbang dan menjaganya agar tidak jatuh ke tanah. Burung tetap bertasbih ketika berada di udara dan mengulang-ulangnya sesuai dengan kehendak dan keperluannya. Tidak ada yang dapat menahannya di udara selain Allah SWT kerana Dia-lah yang menundukkan langit bagi burung dan menjadikan tubuh badannya dalam bentuk yang boleh membuatkannya terbang. Justeru, sesiapa pun yang memperhatikan dan merenung keadaan penciptaan burung, akan mengetahui bahawa burung itu menunjukkan kepada kekuasaan Allah Yang Maha Pencipta serta pengawasan-Nya. Hanya Dia semata-mata Tuhan yang berhak disembah. Dia-lah yang mengatur para hamba-Nya dengan segala sesuatu yang sesuai bagi mereka sebagaimana tuntutan hikmah-Nya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/877)

Burung bangau dan habitatnya

Burung bangau merupakan salah satu daripada lapan spesies burung dalam famili burung pucung. Ia mempunyai kaki yang panjang, leher yang panjang, dan paruh yang kecil dan panjang. Kebanyakan bangau berbulu putih. Bangau hidup hampir di seluruh dunia kecuali Artik dan Antartika. Selain itu, kebanyakan bangau juga tinggal dekat air. Ia memakan ikan, katak dan haiwan lain yang terdapat dalam air di sekitarnya. Untuk menangkap mangsanya, bangau berdiri kaku dalam air cetek hingga mangsa itu menghampirinya. Kemudian, dengan cepat ia menangkap mangsa itu dengan menggunakan paruhnya. Bangau juga boleh menghendap mangsa atau cuba mengejarnya untuk menangkap. Ada juga bangau yang memakan serangga di kawasan tanah tinggi. Begitu juga, terdapat pelbagai jenis bangau seperti bangau lembu, bangau putih besar, bangau kemerah-merahan dan bangau China. (Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 3/193-194)

Dalam bahasa Arab, burung bangau disebut sebagai al-Laqlaq (اللَّقْلَقُ). Hal ini kerana ia didefiniskan sebagai burung yang mempunyai leher yang panjang, berwarna putih, memakan kotoran dan ular, berbaris serta termasuk dalam jenis burung-burung air.(Lihat al-Ghurar al-Bahiyyah fi Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah, 5/175; al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 9/555; Mughni al-Muhtaj, 6/152)

Selain itu, perkataan al-Laqlaq ini juga telah diterjemahkan oleh Dawud al-Fatani dalam kitabnya, Matla‘ al-Badrain sebagai bangau. (Lihat Matla‘ al-Badrain, (susunan PMWP), 2/28)

Tambahan lagi, Idris al-Marbawi juga turut menterjemahkannya sebagai burung ranggung yang merupakan sejenis burung bangau yang jinak. (Lihat Kamus Idris al-Marbawi, 2/224) [1]

Hukum memakan burung bangau

Berbalik kepada soalan yang diajukan, terdapat dua pendapat ulama dalam mazhab Syafi‘i mengenai hukum memakan bangau. Al-Syeikh Abu Muhammad berpendapat bahawa ia halal dimakan sebagaimana burung kurki — yakni burung jenjang[8] — dan pendapat ini telah dipilih oleh Imam al-Ghazali. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 3/701-702)

Namun pendapat yang muktamad di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i ialah burung bangau haram dimakan kerana kejijikannya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/152; Tuhfah al-Muhtaj, 9/382; Nihayah al-Muhtaj, 8/154)

Hal ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Rafi‘i bahawa semua jenis burung air itu adalah halal dimakan kecuali burung bangau dan al-Saimari menyatakan:

أَنَّهُ لَا يُؤْكَلُ لَحْمُ طَيْرِ الْمَاءِ الْأَبْيَضِ، لِخُبْثِ لَحْمِهَا

 Maksudnya:Daging burung air putih (merujuk kepada bangau) tidak dimakan disebabkan oleh kejijikan dagingnya.

(Lihat Raudhah al-Talibin, 3/273-274; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/35; al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 9/555)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa daging bangau adalah haram dimakan kerana kejijikan dagingnya.  Fakhruddin al-Razi juga ada menyebutkan bahawa semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit, sedangkan apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Oleh itu, setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan hukumnya yang berbeza. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381)

Sehubungan dengan itu, menjadi tuntutan ke atas kita sebagai seorang Muslim, bukan sahaja perlu memilih makanan yang halal tetapi juga perlu baik dan berkualiti.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 20 Januari 2022 bersamaan 17 Jamadil Akhir 1443H

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=ranggung.

[2] Lihat Kamus Idris al-Marbawi, 2/180.