#326 Adab-adab Menziarahi Maqam Nabi SAW

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah di sana terdapat adab-adab ketika menziarahi Maqam Rasulullah SAW? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Maksudnya:Dia-lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) — untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).

(Surah al-Mulk: 2)

Salah satu tanda kekuasaan Allah SWT ialah Dia yang menghidupkan dan mematikan; kehidupan dan kematian itu merupakan sebahagian daripada makhluk-Nya. Dia memberi kehidupan kepada yang Dia kehendaki dengan menghidupkan sesuatu yang sebelumnya mati, dan setelah itu mematikannya pula tanpa ada kehendak daripada makhluk itu. Hal ini kerana kehendak untuk menghidupkan dan mematikan hanyalah milik Allah SWT. Tambahan pula, ayat ini menjelaskan hikmah wujudnya kehidupan dan kematian; iaitu sebagai ujian bagi para hamba-Nya, agar jelas kebaikan orang yang baik dan keburukan orang yang buruk. Allah Maha Kuasa, keputusan dan perintah-Nya pasti terlaksana, dan Dia Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat dan memperbaiki diri. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 1714)

Mukadimah

Menziarahi kubur adalah dituntut dalam Islam. Bahkan ia adalah sunat mengikut pendapat yang sahih. Hal ini adalah berdasarkan kepada nas yang banyak walaupun pada awalnya Rasulullah SAW melarang daripada menziarahi kubur tetapi kemudiannya diizinkannya dan diperintahkan. Daripada Buraidah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

نَهَيْتُكُمْ عن زِيارَةِ القُبُورِ، فَزُورُوها فإِنَّها تُذَكِّرُكمُ الموتَ

Maksudnya:Dahulu aku telah melarang kamu daripada menziarahi kubur, namun sekarang ziarahilah kerana ia mengingatkan kamu akan kematian.

Riwayat Muslim (1977); Ahmad (13487); al-Hakim (1388)

Jelaslah bahawa antara tujuan utama menziarahi kubur adalah bagi mengingati mati. Selain itu, terdapat juga dalam riwayat lain yang datang dengan lafaz:

فإنَّها تذَكِّرُ الآخرةَ

Maksudnya:Sesungguhnya ia (yakni menziarahi kubur) akan mengingatkan diri kepada hari akhirat.

Riwayat al-Tirmizi (1054); Ahmad (23016)

Begitulah juga, disunatkan menziarahi maqam Rasulullah SAW dan mendapat pahala yang banyak bagi sesiapa yang melakukannya. Lebih-lebih lagi, galakan dan pahala berziarah akan berganda apabila yang diziarahi itu maqam Rasulullah SAW. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/172)

Ini berdasarkan hadith, sabda Rasulullah SAW kepada Mu‘az ketika Baginda mengutuskannya ke Yaman:

يَا مُعَاذُ، عَسَى أَنْ لاَ تَلْقَانِي بَعْدَ عَامِي هَذَا، وَلَعَلَّكَ أَنْ تَمُرَّ بِمَسْجِدِي هَذَا وَقَبْرِي

Maksudnya: “Wahai Muaz! Sesungguhnya mungkin engkau tidak menemuiku lagi selepas tahun ini. Semoga engkau akan singgah di masjidku ini dan kuburku.

Riwayat Ahmad (22702); Ibn Hibban (647); al-Bazzar (2647)

Adab menziarahi maqam Rasulullah SAW

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, sudah tentu di sana terdapatnya adab-adab bagi menyempurnakan ziarah maqam tersebut sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama. Kami nyatakan di sini apa yang dinukilkan daripada al-Fiqh al-Manhaji (2/173-174) berkenaan perkara itu. Antaranya ialah:

  1. Sunat berazam menziarahi Nabi SAW dan masjidnya ketika menuju ke Madinah supaya mendapat pahala kedua-duanya. Begitu juga, sunat memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW dalam perjalanan tersebut.
  2. Sunat mandi sebelum masuk Madinah sekiranya ada kemudahan. Jika tiada kemudahan, mandilah sebelum masuk ke dalam masjid dan pakailah pakaian yang paling bersih.
  3. Apabila sampai di pintu masjid, Nabi SAW melangkah masuk dengan kaki kanan sambil membaca:

أَعُوْذُ بِاللهِ العَظِيْمِ وَبِوَجْهِهِ الكَرِيْمِ وَبِسُلْطَانِهِ القَدِيْمِ مِنِ الشَّيْطَاِن الرَّجِيْمِ، بِسْمِ اللهِ، وَالْحَمْدُلله، اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ وَسَلَّمَ. اللَّهُمَّ اغْفِرْلِي ذُنُوْبِي وَافْتَحْ لِي أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ

Maksudnya:Aku memohon perlindungan dengan Allah yang Maha Agung, dengan zat-Nya yang Maha Mulia dan dengan kekuasaan-Nya yang Maha Qadim, daripada syaitan yang direjam. Dengan nama Allah dan segala puji-pujian bagi Allah. Ya Allah, berselawatlah ke atas Nabi Muhammad SAW dan ke atas keluarganya, dan sejahterakanlah mereka! Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku dan bukakanlah pintu rahmat-Mu untukku.”

  1. Setelah mendirikan solat di Raudhah, pergilah ke maqam Baginda yang mulia. Berdirilah di situ dengan membelakangi kiblat dan menghadap dinding maqam kira-kira 4 hasta jaraknya daripada bahagian kepala.

Sambil tunduk menghadap dinding maqam, kosongkanlah fikiran daripada hal-hal keduniaan, seolah-olah berhadapan dengan Baginda dengan segala kemuliaan dan kedudukannya yang tinggi dan ucapkanlah salam dengan perlahan:

السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا رَسُوْلَ اللهَ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا نَبِيَّ اللهِ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا خَيْرَةَ اللهِ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا خَيرَةَ رَبِّ العَالَمِيْنَ. جَزَاكَ اللهُ يَا رَسُوْلَ اللهَ عَنَّا أَفْضَلَ مَا جَزَى نَبِيًّا وَرَسُوْلاً عَنْ أُمَّتِهِ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّكَ عَبْدُهُ وَرَسُوْلِهِ مِنْ خَلْقِهِ، وَأَشْهَدُ أَنَّكَ قَدْ بَلَّغْتَ الرِّسَالَةَ، وَأَدَّيْتَ الأَمَانَةَ، وَنَصَحْتَ الأُمَّةَ، وَجَاهَدْتَ فِي اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ

Maksudnya:Sejahtera ke atasmu wahai Rasulullah. Sejahtera ke atasmu wahai Nabi Allah. Sejahtera ke atasmu wahai insan pilihan Allah. Sejahtera ke atasmu wahai insan pilihan Tuhan seluruh alam. Semoga Allah memberi balasan kepadamu bagi pihak kami wahai Rasulullah, sebaik-baik balasan yang Allah berikan kepada Nabi dan Rasul bagi pihak umatnya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah yang tiada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahawa engkau adalah hamba-Nya dan Rasul dari kalangan makhluk-Nya. Aku bersaksi juga bahawa engkau telah menyampaikan risalah, menunaikan amanah, menasihati ummah dan berjihad untuk Allah sebenar-benar jihad.”

Kemudian, bergeraklah sedikit ke kanan di tempat kubur Abu Bakar dan ucapkanlah salam:

السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا أَبَا بَكْرِ الصِّدِّيْقِ

Maksudnya:Sejahtera ke atasmu wahai Abu Bakar al-Siddiq.”

Kemudian, bergerak lagi ke kanan di tempat kubur Umar bin al-Khattab dan ucapkanlah salam:

السَّلاَمُ عَلَيْك يَا عُمَرَ بِنْ الْخَطَّابِ

Maksudnya:Sejahtera ke atasmu wahai Umar bin al-Khattab.”

Kemudian, kembalilah ke tempat permulaan. Sambil menghadap kiblat, berdoalah untuk diri sendiri dan semua orang Mukmin, sebarang doa yang dihajati. Sesungguhnya itulah masa berdoa yang mustajab, Insya-Allah.

  1. Tidak boleh tawaf di maqam Nabi SAW. Al-Nawawi menyebutkan: “Makruh melekapkan badan di dinding maqam, mengusap-usap dan mengucupnya, sebagaimana yang banyak dilakukan oleh mereka yang jahil. Cara yang beradab adalah dengan berada jauh dari maqam tersebut, seolah-olah berada di hadapan Baginda ketika hayatnya.”
  2. Sebaik-baiknya, dirikanlah solat di masjid Rasulullah SAW selama berada di Madinah dan ziarahilah perkuburan Baqi‘ pada setiap hari dan juga perkuburan para syuhada’ di Uhud. Begitu juga, sunat muakkad mengunjungi Masjid Quba’, sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadith sahih Bukhari dan Muslim dan yang lainnya, bahawa Nabi SAW sentiasa mengunjunginya pada setiap hari Sabtu.

Kesimpulannya

Justeru kami menyimpulkan bahawa antara tujuan utama dibenarkan menziarahi kubur adalah kerana ia mengingatkan kita kepada kematian dan hari akhirat. Selain itu, disunatkan juga menziarahi maqam Rasulullah SAW dan mendapat pahala yang banyak bagi sesiapa yang melakukannya. Lebih-lebih lagi, galakan dan pahala berziarah akan berganda apabila yang diziarahi itu maqam Rasulullah SAW. Namun, pada masa yang sama, kita hendaklah menjaga dan memelihara adab-adab ketika menziarahinya, mudah-mudahan dengan memelihara perkara tersebut akan menyempurnakan lagi pahala ziarah yang kita lakukan. Seterusnya dapat menyemarakkan lagi rasa cinta kita terhadap Baginda SAW.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 20 Januari 2022 bersamaan 17 Jamadil Akhir 1443H