#330 Isteri Iring Jenazah Suami

Soalan

Adakah wanita yang kematian suami boleh mensolatkan dan mengiringi jenazah suaminya sedangkan iddahnya sudah bermula?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

‘Iddah dari sudut bahasa bermaksud kiraan,hitungan atau bilangan. Ini kerana ia merangkumi bilangan suci daripada haid dan juga bilangan bulan.

Dari segi istilah, ‘iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/61)

‘Iddah bagi perempuan yang kematian suami adalah 4 bulan 10 hari dan termasuk di dalam bilangan ‘iddah tersebut adalah hukum ihdad (berkabung) bagi si isteri. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوۡنَ مِنكُمۡ وَيَذَرُونَ أَزۡوَٰجًا يَتَرَبَّصۡنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرۡبَعَةَ أَشۡهُرٍ وَعَشۡرًاۖ

Maksudnya: Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber’iddah) empat bulan sepuluh hari.

(Surah al-Baqarah: 234)

Sekiranya isteri yang kematian suaminya dalam keadaan sedang mengandung, maka ‘iddahnya adalah sehingga perempuan tersebut melahirkan anaknya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأُوْلَٰتُ ٱلۡأَحۡمَالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعۡنَ حَمۡلَهُنَّۚ

Maksudnya: Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya.

(Surah al-Talaq: 4)

Dalam menempuh bilangan ‘iddah serta berkabung bagi kematian suami, seseorang perempuan itu tidak boleh keluar dari rumahnya sepanjang tempoh ber’iddah tersebut melainkan darurat atau keperluan hajat. Ini juga berdasarkan sabda Nabi SAW kepada Furay’ah binti Malik bin Sinan yang mana telah bertemu Nabi SAW bertanyakan adakah boleh bagi dirinya untuk pulang ke pangkuan ahli keluargnaya, Bani Khudrah kerana telah kematian suaminya. Lalu jawab Baginda SAW:

امْكُثِي فِي بَيْتِكِ حَتَّى يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ

Maksudnya: Tetaplah kamu di rumahmu sehingga sampai apa yang telah ditetapkan.

Riwayat Abu Dawud (2300) dan al-Tirmidzi (1204)

Furay’ah R.Anha telah melengkapkan ‘iddahnya selama 4 bulan 10 hari dan ketika zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin ‘Affan RA, beliau telah menghantarkan seseorang untuk bertanyakan mengenai peristiwa tersebut lalu Furay’ah menceritakan perihal peristiwa tersebut dan Khalifah Uthman RA mengikutinya dan juga berhukum dengannya.

Al-Imam al-Khattabi menyatakan bahawa berdasarkan hadith di atas, bagi perempuan yang kematian suaminya, perlulah ber’iddah di rumah suaminya dan tidak boleh untuk keluar dari rumah tersebut melainkan dalam keadaan darurat serta hajat dan itulah pendapat al-Imam Malik, al-Thauri, al-Syafi’e, Ahmad dan Muhammad bin al-Hasan. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 3/287)

Begitu juga al-Imam Ibn Abd al-Bar menyebutkan di dalam kitabnya al-Istizkar bahawa perempuan yang kematian suaminya perlulah ber’iddah di dalam rumah di mana didiami olehnya sama ada miliknya atau suaminya. Tidak boleh bagi perempuan tersebut untuk menyelesaikan ‘iddahnya kecuali di rumah tersebut dan inilah pendapat al-Imam Malik, al-Syafi’e, Abu Hanifah serta pengikutnya, al-Thauri, al-Auza’ie, al-Laith bin Sa’ad dan Ahmad bin Hanbal. (Lihat al-Istizkar, 6/214)

Berdasarkan nas al-Quran serta hadith di atas, para ulama’ sepakat mengatakan bahawa hukum perempuan yang dalam ‘iddah kematian suaminya tidak boleh keluar sebaliknya haruslah tetap berada di dalam rumah suaminya sehingga sempurna ‘iddahnya.

Hikmah ‘Iddah bagi kematian suami yang disyariatkan dengan bertujuan:

  • Menunjuk kesetiaan kepada suami yang telah meninggal. Oleh itu Allah SWT mewajibkan isteri bagi menghormatinya, setia dan melayaninya. Justeru tidak sesuai bagi isteri bersikap sebaliknya selepas kematian suami
  • Menggantikan adat jahiliyyah yang mewajibkan isterinya berkurung di tempat yang gelap selama setahun selepas kematian suaminya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/61)

Berdasarkan persoalan di atas, kami nyatakan bahawa Islam datang meraikan sifat asal wanita. Apabila kaum wanita kehilangan suami, ayah dan sanak saudaranya yang rapat dengannya, ramai yang tidak tahan perasaan lalu meraung pedih, menarik-narik baju dan memukul-mukul badan sendiri kerana kedukaan. Perbuatan-perbuatan sebegini berasal daripada adat jahiliyyah yang ditegah oleh Islam. Daripada Abdullah bin Mas’ud R.anhuma, sabda Rasulullah SAW:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ ضَرَبَ الخُدُودَ، وَشَقَّ الجُيُوبَ، وَدَعَا بِدَعْوَى الجَاهِلِيَّةِ

Maksudnya: Bukan daripada kalangan kami orang yang menampar-nampar pipi (kerana kematian), mencarik-carik baju, dan mengikut seruan (tradisi) Jahiliyyah.

Riwayat al-Bukhari (1297)

Daripada Umm Atiyyah R.Anha bahawa dia berkata:

نُهِينَا عَنْ اتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ وَلَمْ يُعْزَمْ عَلَيْنَا

Maksudnya: Kami (kaum wanita) dilarang daripada mengikut jenazah-jenazah (ke kekuburan) dan Baginda (SAW) tidak melarang dengan keras (hal demikian) ke atas kami.

Riwayat al-Bukhari (1278)

Menurut Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’: Larangan ini bersifat makruh tanzih. Inilah mazhab Syafie dan jumhur, manakala dalam Mazhab Malik tidak menganggap makruh kecuali bagi bagi wanita muda. Diceritakan daripada al-Abdari bahawa Imam Malik menganggapnya makruh kecuali jika jenazah itu ialah anaknya, ibu ayahnya, dan suaminya. (Lihat al-Majmu’, 5/277-278)

Sebahagian ulama menganggap perbuatan mengiringi jenazah ini sebagai makruh tahrim berdasarkan sebuah hadith Rasulullah SAW menegur wanita yang menunggu-nunggu jenazah:

ارْجِعْنَ مَأْزُورَاتٍ غَيْرَ مَأْجُورَاتٍ

Maksudnya: Pulanglah kalian, kalian akan berdosa dan tidak mendapat pahala.

Riwayat Ibn Majah (1578), al- Bazzar (653) dan al-Baihaqi (7452). Hadith ini dinilai dhaif berdasarkan kitab al-Silsilah al-Dhaifah (2742)

Justeru, berdasarkan hujjah di atas, kami berpendapat bahawa cukuplah bagi wanita itu tinggal di rumah dan, jika ingin solat jenazah, solat sahaja di rumah dan tidak mengikuti jenazah ke perkuburan. Hal ini bagi menghormati hukum ihdad (berkabung) dalam tempoh iddah bagi wanita yang kematian suami. Jika sudah tamat waktu iddah, maka bolehlah menziarahi kubur suaminya sambil menjaga akhlaq ketika ziarah kubur.

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dan kekuatan untuk mengikuti setiap perintah Syariat Islam dalam mencapai Mardhatillah. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 20 Januari 2022 bersamaan 17 Jamadil Akhir 1443H