#332 Nikah Wanita Hamil Akibat Zina

Soalan

Adakah dibolehkan untuk berkahwin dengan wanita yang hamil akibat berzina?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Zina menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud  persetubuhan yang tidak sah atau haram (bukan antara suami isteri).[1]

Zina ialah perbuatan yang keji dan dimurkai oleh Allah sebagaimana firman Allah S.W.T:

وَلا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلا

MaksudnyaDan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan.

(Surah al-Nisa’: 32)

Hukuman Penzina Muhsan

Bagi penzina yang memenuhi ciri-ciri muhsan iaitu baligh, berakal, merdeka dan pernah bersetubuh dalam akad nikah yang sah, maka dia tertakluk kepada hukuman penzina muhsan iaitu direjam dengan batu hingga mati. (Lihat al-Tasyri’ al-Jina’iy al-Islami, 2/322-324)

Hukuman ini disahkan melalui ucapan dan tindakan Rasulullah SAW. Malah hukuman ini juga telah dinyatakan di dalam al-Quran dan kemudian ayat ini dimansuhkan bacaannya.

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: Umar RA berada di Mimbar Nabi SAW dan beliau berkhutbah:

إِنَّ اللَّهَ بَعَثَ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْحَقِّ ، وَأَنْزَلَ عَلَيْهِ الْكِتَابَ ، فَكَانَ مِمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ آيَةُ الرَّجْمِ ، فَقَرَأْنَاهَا ، وَعَقَلْنَاهَا ، وَوَعَيْنَاهَا ، رَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجَمْنَا بَعْدَهُ ، فَأَخْشَى إِنْ طَالَ بِالنَّاسِ زَمَانٌ أَنْ يَقُولَ قَائِلٌ : وَاللَّهِ مَا نَجِدُ آيَةَ الرَّجْمِ فِي كِتَابِ اللَّهِ ، فَيَضِلُّوا بِتَرْكِ فَرِيضَةٍ أَنْزَلَهَا اللَّهُ ، وَالرَّجْمُ فِي كِتَابِ اللَّهِ حَقٌّ عَلَى مَنْ زَنَى إِذَا أُحْصِنَ مِنْ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ ، إِذَا قَامَتْ الْبَيِّنَةُ ، أَوْ كَانَ الْحَبَلُ ، أَوْ الِاعْتِرَافُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengutuskan Muhammad dengan kebenaran dan telah menurunkan al-kitab. Di antara perkara yang telah diturunkan oleh Allah ialah ayat rejam. Kami baca, kami pelihara dan kami faham. Apabila Rasulullah S.A.W. merejam, kami juga akan merejam selepas ketiadaannya. Namun aku bimbang setelah berlalu masa, akan ada yang berkata: “Kami tidak jumpa ayat rejam dalam kitabullah (al-quran)”, maka mereka meninggalkan kefardhuan yang Allah telah turunkan. Rejam di dalam Kitab Allah adalah haq ke atas penzina yang muhsan daripada kalangan lelaki dan perempuan sekiranya terdapat bukti, penyaksian ataupun pengakuan.

Riwayat Al-Bukhari (6830) dan Muslim (1691)

Hukuman Penzina Bukan Muhsan

Sekiranya seseorang berzina dan dia bukan muhsan, dia akan dihukum dengan100 kali sebatan dan dibuang negeri selama setahun. Hukuman 100 kali sebatan telah dinyatakan di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah S.W.T:

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman yang dikenakan ke atas mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.”

(Surah al-Nur: 2)

Hukuman buang negeri selama setahun pula disabitkan berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang sahih yang diriwayatkan daripada Ubadah bin Al-Somit R.A katanya, Rasullah SAW bersabda:

خُذُوا عَنِّي خُذُوا عَنِّي، قَدْ جَعَلَ اللهُ لَهُنَّ سَبِيلًا، الْبِكْرُ بِالْبِكْرِ، جَلْدُ مِائَةٍ وَنَفْيُ سَنَةٍ، وَالثَّيِّبُ بِالثَّيِّبِ، جَلْدُ مِائَةٍ وَالرَّجْمُ

Maksudnya: “Terimalah daripada aku, terimalah daripada aku. Allah telah menetapkan hukuman bagi wanita-wanita ini. Dara dan teruna akan disebat 100 kali dan dibuang negeri selama setahun. Wanita dengan lelaki yang pernah berkahwin akan disebat 100 kali dan rejam”.

Riwayat Muslim (1690)

Berdasarkan persoalan di atas, perkahwinan dengan wanita hamil akibat zina ini khilaf dalam kalangan ulama. Dalam mazhab al-Syafie pernikahan itu sah:

Jika seorang lelaki mengahwini seorang perempuan yang hamil daripada perbuatan zina sahlah nikahnya di sisi Abu Hanifah dan Muhammad (bin Hasan al-Syaibani), tetapi tidak dibenarkan dia menyetubuhi isterinya itu sehingga dia melahirkan anak, supaya dia tidak menjadikan airnya mengalir atas ladang orang lain (maksudnya ialah jimak) , berdasarkan sabda Rasulullah SAW tidak dihalalkan bagi seorang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat untuk mengalirkan air atas ladang orang lain dan sabda Baginda SAW bahawa jangan disetubuhi orang hamil sehingga dia bersalin maka inilah dalil menunjukkan larangan menyetubuhi isteri itu sehingga dia bersalin. Berbeza dengan mazhab Syafie yang mengatakan bolehnya bernikah dan bersetubuh bagi perempuan yang hamil daripada zina menurut pendapat yang asah.” (Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/338)

Dalil dalam mazhab al-Syafie ialah berdasarkan firman Allah SWT:

وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَاءَ ذَٰلِكُمْ

Maksudnya: Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu (yakni yang diharamkan dalam ayat sebelumnya).

(Surah al-Nisa’: 24)

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, sabda Rasulullah SAW:

لاَ يُحَرِّمُ الْحَرَامُ الْحَلاَلَ

MaksudnyaPerkara yang haram tidak mengharamkan perkara yang halal.

Riwayat Ibn Majah (2015)

Justeru, seperti mana halal menikahi seorang wanita sebelum dia berzina dan sebelum dia hamil maka tidaklah haram bernikah kerana nikah.

Terdapat riwayat bahawa seorang lelaki pernah memiliki anak lelaki. Dia berkahwin dengan seorang wanita yang memiliki seorang anak perempuan, lalu anak kepada lelaki dan anak kepada perempuan itu berzina. Maka Saidina Umar al-Khattab RA bertanya kepada mereka hal itu, lalu mereka mengakuinya dan Umar menyebat kedua-duanya. Umar bercadang untuk mengahwinkan mereka berdua tetapi tidak dipersetujui oleh anak lelaki tersebut, dan Umar tidak menganggap hal itu menyebabkan iddah. Perkara itu tidak diingkari oleh para sahabat, lalu perkara tersebut jadilah ijmak. Zina itu persetubuhan yang tidak melayakkan nasab keturunan, atau begitu juga hamil akibat zina, justeru ia tidak menghalang sahnya nikah pada waktu mengandung. (Lihat al-Majmu Sharh al-Muhazzab, 16/241-242)

Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-3 yang bersidang pada 21-22 Januari 1971 telah membincangkan Mengahwini Perempuan Yang Sedang Mengandung Anak Luar Nikah. Persidangan telah memutuskan bahawa perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah harus dinikahkan tetapi anaknya

  • tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu,
  • tidak dapat pusaka daripadanya,
  • tidak menjadi mahram kepadanya
  • dan lelaki itu tidak boleh menjadi walinya.

    (Lihat Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Fatwa Munakahat, hlm. 47)

Semoga Allah SWT melindungi kita dan keturunan kita ini daripada perbuatan zina yang sangat ditegah dan dilarang oleh syara’. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahua`lam.

Bertarikh: 20 Januari 2022 bersamaan 17 Jamadil Akhir 1443H

 

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=zina