#338 Berkahwin Dengan Ibu Saudara Isteri

Soalan

Adakah dibolehkan berkahwin dengan ibu saudara isteri? Jika tidak boleh, adakah pengharaman itu bersifat sementara ataupun kekal?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Mahram dari sudut istilah para fuqaha’ bermaksud: ‘’Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’’.(Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 114)

Penjelasan berkenaan dengan golongan yang dianggap sebagai mahram ini ada dinyatakan dalam firman Allah SWT :

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

(Surah Al-Nisa’: 23)

Pengharaman berkahwin dengan wanita tertentu terbahagi kepada dua. Yang pertama ialah Muabbad iaitu haram untuk bernikah selama-lamanya. Yang kedua ialah tahrim muaqqat iaitu haram berkahwin buat sementara waktu disebabkan ada faktor-faktor yang menghalang. Jika ia tetap dilakukan maka ia tergolong di dalam akad yang batil dan tidak sah pernikahan tersebut.

Al-Quran tidak menjelaskan berkenaan hukum dengan Ibu saudara kepada isteri. Apa yang dijelaskan di dalam al-Quran adalah berkenaan larangan berkahwin dengan dua beradik sekaligus. Firman Allah :

وَأَن تَجْمَعُوا۟ بَيْنَ ٱلْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ

Maksud :” Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu.”

(Surah Al-Nisa’: 23)

Namun hukum ini telah diperincikan oleh Nabi saw di dalam satu riwayat daripada Jabir :

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ تُنْكَحَ الْمَرْأَةُ عَلَى عَمَّتِهَا أَوْ خَالَتِهَا

Maksudnya:Rasulullah SAW melarang dari dinikahi perempuan bersama Ibu saudara sebelah ayahnya atau ibu saudara sebelah ibunya.”

Riwayat al-Bukhari (5108) dan Muslim(3506)

Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa tiada ahli ilmu yang berselisih tentang larangan berkahwin dan menghimpunkan di antara seorang perempuan dan ibu saudaranya. (Lihat Fath al-Bari, 25/290)

Di dalam riwayat yang lain daripada Abu Hurairah bahawa Nabi saw memperincikan lagi hukum ini. Nabi saw bersabda :

لَا تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ عَلَى عَمَّتِهَا وَلَا الْعَمَّةُ عَلَى بِنْتِ أَخِيهَا وَلَا الْمَرْأَةُ عَلَى خَالَتِهَا وَلَا الْخَالَةُ عَلَى بِنْتِ أُخْتِهَا وَلَا تُنْكَحُ الْكُبْرَى عَلَى الصُّغْرَى وَلَا الصُّغْرَى عَلَى الْكُبْرَى

Maksudnya: “Jangan dinikahi perempuan bersama ibu saudaranya. Juga jangan dinikahi ibu saudara bersama anak perempuan saudaranya. Begitu juga jangan dinikahi perempuan bersama dengan ibu saudara sebelah ibunya. Jangan juga dinikahi yang besar(ibu-ibu saudara sebelah ibu atau bapa) bersama dengan yang kecil dan juga yang kecil bersama yang besar.”

Riwayat al-Tirmizi (1045), Abu Dawud (2065) dan al-Nasaie (3294)

Melalui dua riwayat ini, jelas dan terang bahawa tidak boleh menikahi ibu saudara kepada isteri. Namun adakah pengharaman ini secara muabbad iaitu tidak boleh dikahwini selama-lamanya?. Para ulama secara keseluruhannya menyatakan bahawa pengharaman ini bukanlah pengharaman secara muabbad namun ia termasuk di dalam kategori muaqqat iaitu bersifat sementara yang mana ianya adalah disebabkan oleh faktor-faktor tertentu. Iaitu tidak boleh dinikahi selagi mana ikatan kita dengan isteri masih wujud.

Kaedah yang masyhur dalam kalangan fuqaha menyatakan :

يَحْرُمُ الْجَمْعُ بَيْنَ كُلِّ امْرَأَتَيْنِ بَيْنَهُمَا قَرَابَةٌ وَلَوْ كَانَتْ إِحْدَاهُمَا رَجُلًا لَم يجز لَهُ الزَّوَاج بِالأُخْرَى

Maksudnya:” Haram untuk menggabungkan (berkahwin sekaligus) di antara dua perempuan yang mempunyai pertalian. Jika salah satunya telah dikahwini tidak boleh mengahwini yang lain.”

Akan tetapi, jika isteri meninggal dunia atau ditalakkan sehingga habis tempoh iddah. Maka pada saat itu, dibenarkan kepada untuk berkahwin dengan ibu saudara si isteri kerana tamatnya mahram muaqqat (mahram sementara).

Hikmah di sebalik pengharaman ini telah dijelaskan oleh Nabi saw di dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َنَهَى أَنْ تُزَوَّجَ الْمَرْأَةُ عَلَى الْعَمَّةِ وَعَلَى الْخَالَةِ، وَقَالَ: إِنَّكُمْ إِنْ فَعَلْتُمْ ذَلِكَ قَطَعْتُمْ أَرْحَامَكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah saw melarang seorang lelaki dari mengahwini seorang perempuan bersama dengan ibu saudara sebelah ayah dan ibunya. Nabi bersabda : Jika kalian melakukan perkara demikian, kalian akan memutuskan hubungan kalian (iaitu sesama keluarga).”

Riwayat al-Tabarani (11763) di dalam al-Mu’jam al-Kabir dan Ibnu Hibban (4116)

Ianya membawa makna bahawa pengharaman tersebut jika dilanggar akan menyebabkan kacau bilau di dalam hubungan sesama keluarga.

Sheikh al-Maraghi berkata : “Illah yang terdapat di dala larangan tersebut ialah boleh memutuskan silaturrahim yang mana Allah perintahkan untuk disambungkan.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/217)

Hakikatnya, pengharaman tersebut adalah kerana ingin menjaga hubungan kekeluargaan. Islam ingin menghalang daripada terlahirnya sifat hasad, kebencian dalam hubungan kekeluargaan tersebut.

Kesimpulannya, kami nyatakan bahawa tidak boleh seseorang itu berkahwin dengan ibu saudara kepada isterinya selagi mana adanya ikatan di antaranya dengan isterinya. Jika isteri meninggal dunia atau ditalakkan sehingga habis iddah, maka pada ketika itu barulah dihalalkan ibu saudara kepada isteri saudara. Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang benar dalam memahami agama ini.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 20 Januari 2022 bersamaan 17 Jamadil Akhir 1443H