#342 Ucapan Yang Menyihirkan

Soalan

Apakah yang di maksudkan dengan “إِنَّ مِنَ البَيَانِ لَسِحْرًا”?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya: dua orang lelaki tiba daripada timur lalu berkhutbah. Orang ramai lantas berasa kagum dengan keindahan dan kefasihan perkataan keduanya. Lalu Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ مِنَ البَيَانِ لَسِحْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya sebahagian daripada kefasihan dan pertuturan itu adalah sihir (memukau).

Riwayat al-Bukhari (5767)

Sihir dalam konteks ini bukan bermaksud ilmu hitam yang diharamkan, tetapi ia membawa maksud keindahan tutur kata yang boleh menimbulkan rasa takjub kepada pendengar dan menawan hati mereka.

Ibn Kathir di dalam tafsirnya ketika menafsirkan ayat sihir di dalam surah al-Baqarah mendatangkan riwayat hadith ini dan menyatakan: Hadith ini boleh jadi ia dimaksudkan dengan pujian sebagaimana pendapat satu kumpulan. Boleh jadi ia dimaksudkan dengan celaan terhadap balaghah dan ini menurut al-Qurtubi merupakan pendapat yang lebih tepat kerana balaghah itu membenarkan yang batil. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/255)

Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha,  sabda Rasulullah SAW:

فَلَعَلَّ بَعْضًا أنْ يَكونَ أبْلَغَ مِن بَعْضٍ، أقْضِي له بذلكَ وأَحْسِبُ أنَّه صادِقٌ

Maksudnya: Boleh jadi sebahagiannya adalah lebih petah berbicara berbanding yang lain, lalu aku memenangkannya dengan sebab itu, dan aku menganggap dia benar.

Riwayat al-Bukhari (7185)

Ibn Battal dalam syarahnya untuk Sahih al-Bukhari menyatakan:  “Maksudnya ialah ia berfungsi untuk memikat jiwa manusia seperti apa yang dilakukan oleh sihir dengan menggoda mereka. Maksud sihir itu sebagai perumpamaan, bukan sihir yang batil dan haram yang dimaksudkan dalam konteks ini. Wallahua’lam” (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari Li Ibn Battal, 9/448)

Ibn al-Athir pula menyatakan: Sesungguhnya dari ucapan itu adalah sihir , iaitu apa yang memalingkan hati orang yang mendengar, walaupun ia tidak benar.Dikatakan juga bahawa maksudnya ialah percakapan itu boleh membawa kepada dosa sebagaimana dosa apa yang dilakukan oleh ahli sihir dengan sihirnya, boleh jadi yang dimaksudkan adalah celaan, dan boleh juga ia adalah pujian. Hal ini kerana percakapan al-bayan itu dapat melunakkan hati, meredakan kemarahan, menghilangkan kesusahan. Sihir dengan perkataan pula bermaksud: menukarkan sesuatu daripada hakikatnya. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 2/346)

Syeikh Muhammad bin Soleh pula menyatakan: Al-Bayan itu adalah sihir (memukau) kerana ia melunakkan hati pendengar dan memalingkannya atau menyebabkan pendengar bersimpati dengannya, maka pendengar menyangka bahawa kebatilan adalah benar, kerana pengaruh yang kuat oleh penceramah, maka pendengar akan terpesona kepadanya.  Itulah sebabnya jika seseorang datang bercakap dengan perkataan yang maknanya palsu, tetapi kerana kekuatan kefasihandan pertuturannya, dia benar-benar dapat memukau pendengarnya, lalu pendengar itu kagum dan terpersona kepadanya. Hal ini merupakan sihir yang dinamakan kelembutan dan kelunakan. Al-Bayan ini terhasil daripada kelembutan dan kelunakan. Al-Bayan sebenarnya dalam erti kata lain bermaksud kefasihan, dan tidak ada keraguan bahawa perbuatan itu merupakan perbuatan sihir, dan Ibn al-Qayyim menyatakan  mengenai al-Hur (الحور): percakapannya adalah sihir yang halal.” (Lihat Syarh Kitab al-Tauhid, 1/ 527)

Akhir kalam, kami nyatakan bahawa al-Bayan ataupun kefasihan pertuturan yang memukau ini merupakan salah satu jenis sihir namun ia bukanlah sihir ilmu hitam yang diharamkan oleh syara’, tetapi ia membawa maksud keindahan tutur kata yang boleh menimbulkan rasa takjub kepada pendengar dan menawan hati mereka sehingga dia boleh menegakkan haq ataupun menegakkan kebatilan. Namun begitu, walaupun seseorang itu mempunyai kelebihan pandai berbicara sehingga memukau pendengarnya, tetapi Islam melarang untuk menggunakan kelebihan itu untuk menyebarkan fahaman yang batil dengan pertuturannya sehingga memalingkan manusia daripada kebenaran.

Kami juga menasihati supaya sesiapa yang mempunyai kelebihan dalam kefasihan dan pertuturan ini untuk menggunakan kelebihan ini untuk menyebarkan dan menegakkan Islam kebenaran dan haq serta melawan kebatilan dengan panduan daripada syara’. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 20 Januari 2022 bersamaan 17 Jamadil Akhir 1443H