#344 Gugurkan Janin Sebab Sibuk Bekerja

Soalan

Adakah dibolehkan isteri menggugurkan janin disebabkan oleh sibuk bekerja?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Anak-anak merupakan hadiah dan anugerah daripada Allah SWT sebagaimana yang difirmankan-Nya:

يَهَبُ لِمَنْ يَشَاء إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاء الذُّكُورَ

Maksudnya: “Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.”

(Surah al-Syura: 49)

Imam al-Maraghi menyatakan bahawa maksud anak di sini ialah anak kandung sahaja. Seseorang yang mencintai isteri dan anaknya mempunyai sebab yang sama, iaitu meneruskan keturunan dan mengekalkan zuriat manusia. Perasaan cinta seorang ayah terhadap anak lelaki lebih besar daripada anak perempuan, kerana anak lelaki dianggap penyambung zuriat, mampu mengekalkan nama dan dapat membentuk sebuah institusi keluarga yang menjadi kebanggaan masyarakat. Di samping itu, dia menjadi tempat tumpuan harapan seorang ayah dalam menjamain kehidupan mereka. Anak lelaki juga diharapkan dapat menagangkat martabat orang tuanya. Apabila anak perempuan meningkat dewasa, mereka akan berpisah dengan keluarga dan menjadi keluarga lain. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/ 705-706)

Allah SWT berfirman lagi

إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلادُكُمْ فِتْنَةٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian bagimu”

(Surah al-Taghabun: 15)

Imam al-Maraghi telah diperincikan bahawa kecintaan kepada harta benda dan anak-anak adalah cubaan dan ujian kerana seringkali perkara itu menjadi penyebab kepada perbuatan dosa dan pelanggaran terhadap apa-apa yang dilarang. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/7053)

Menggugurkan anak atau janin yang berada di dalam kandungan sebelum ia berusia empat bulan adalah termasuk dalam perkara yang diperselisihkan hukumnya di sisi para fuqaha. Majoriti ulama mengatakan bahawa hukumnya adalah haram. Sebahagian lain mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh. Manakala sebahagian lain pula berpendapat bahawa hukumnya adalah harus sekiranya terdapat keuzuran.

Kami cenderung kepada pendapat majoriti fuqaha berkenaan keharaman menggugurkan janin yang berusia kurang daripada empat bulan. Ini berdasarkan beberapa hujah berikut:

Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ ۚ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepada kefakiran. Kami yang memberi rezeki kepada mereka (anak-anak) dan kepada kamu. Sesungguhnya membunuh mereka (anak-anak) itu adalah satu kesalahan yang besar.

(Surah al-Isra’: 31)

Imam al-Tabari berkata: Ayat ini menjelaskan bahawa janganlah kamu semua membunuh anak-anak kamu disebabkan takut kepada kefakiran atau kemiskinan. Kerana golongan jahiliyyah dahulunya membunuh anak-anak mereka disebabkan takut miskin. Lalu Allah SWT pun memberikan amaran kepada mereka berkenaan hal tersebut serta mengkhabarkan kepada mereka bahawa rezeki mereka dan rezeki anak-anak mereka itu adalah di bawah tanggungjawab Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Tabari, 17/437)

Berdasarkan konteks ayat di atas, pada asalnya ibubapa tersebut berada dalam keadaan senang dan tidak susah. Namun mereka berasa risau sekiranya anak-anak mereka lahir, itu akan menyebabkan kemiskinan dan ketidakmampuan dalam hidup mereka. Justeru, Allah SWT menjelaskan bahawa rezeki anak-anak mereka itu, dan rezeki mereka sendiri adalah menjadi tanggungan Allah. Tidak perlu risaukan kemiskinan yang tidak pasti akan berlaku disebabkan kewujudan anak-anak, maka oleh kerana itulah larangan membunuh anak-anak ini dititahkan.

Demikian juga firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ مِنْ إِمْلَاقٍ ۖ نَحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ

Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu disebabkan kefakiran diri kamu. Kami yang memberikan rezeki kepada kamu dan kepada mereka (anak-anak).

(Surah al-An’am: 151)

Ibn Kathir apabila beliau menafsirkan ayat ini: Ketika mana Allah SWT berpesan supaya berbuat baik kepada ibubapa dan juga datuk nenek, Allah turut mengaitkan perbuatan ihsan (berbuat baik) kepada anak-anak dan juga cucu cicit. Maka Allah SWT menyatakan bahawa janganlah kalian membunuh anak-anak kalian kerana keadaan kalian yang fakir. Ini kerana, mereka dahulunya membunuh anak-anak mereka kerana seruan syaitan yang mengarah kepada perkara tersebut.(Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/360)

Berdasarkan ayat di atas, jelas ia mempunyai sedikit perbezaan dengan ayat ke- 31 daripada Surah al-Isra’ yang kami sebutkan sebelum ini. Keduanya adalah larangan Allah SWT terhadap perbuatan membunuh anak-anak namun ditujukan kepada dua konteks keadaan ibubapa yang berbeza.

Di dalam surah al-Isra’ tersebut, membunuh anak dalam keadaan ibubapa tidak dalam kemiskinan kerana takutkan kepada kefakiran yang akan berlaku adalah dilarang. Manakala di dalam surah al-An’aam, membunuh anak kerana ibubapa tersebut dalam kemiskinan juga turut dilarang. Oleh kerana itulah Allah mendahulukan sebutan anak-anak dalam surah al-An’aam, bagi menandakan bahawa rezeki anak-anak adalah tanggungjawab Allah. Manakala dalam surah al-Isra’ Allah SWT mendahulukan sebutan ibubapa kerana rezeki mereka (yang dalam keadaan fakir) adalah di bawah tanggungjawab Allah SWT.

Berdasarkan kepada kedua-dua ayat, jelas menunjukkan bahawa Allah SWT melarang membunuh anak dengan alasan anak tersebut akan menyebabkan kesusahan dan kemiskinan ataupun dengan alasan kami ini miskin dan tidak mampu menjaga kebajikan anak-anak. Keduanya ini tidak dianggap sebagai keuzuran yang diizinkan oleh syarak.

Begitu juga firman Allah SWT:

وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu sedangkan itu adalah keburukan bagi kamu. Allah itu lebih mengetahui dan kamu tidak mengetahui.

(Surah Al-Baqarah: 216)

Berdasarkan kepada zahir ayat di atas, ia jelas menunjukkan bahawa seorang manusia itu tidaklah dia lebih mengetahui berbanding Allah SWT yang Maha Mengetahui berkenaan apa yang baik dan buruk untuk dirinya. Boleh jadi kita menyangkakan bahawa dengan menggugurkan anak itu baik dan memberi manfaat kepada keselesaan diri di masa hadapan. Sebaliknya, ia mendatangkan mudarat dan keburukan. Boleh jadi kita menyangka bahawa kewujudan dan kelahiran anak akan memberikan kesukaran kepada kita di dalam hidup, sebaliknya usai kelahirannya anak itulah yang akan menjadi penyejuk mata, rezeki makin bertambah, kehidupan semakin tenang, dan pelbagai nikmat lain. Ini kesemuanya adalah rahsia Allah SWT yang terkandung di dalam firman-Nya: “Dan Allah itu lebih mengetahui dalam keadaan kamu itu tidak mengetahui”.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami tegaskan bahawa menggugurkan janin disebabkan oleh sibuk bekerja adalah diharamkan di dalam Islam. Malah, apa jua sebab, perbuatan menggugurkan janin dengan sengaja adalah dikira sebagai perbuatan menolak takdir dan rezeki daripada Allah SWT, kecuali terdapat keuzuran yang dibenarkan oleh syara’ untuk berbuat demikian. Kami mengambil kesempatan di sini untuk menyatakan beberapa perkara sebagai satu bentuk nasihat, antaranya:

  • Anak-anak disifatkan sebagai qurrah al-a’yun(penyejuk mata) yang memberikan ketenangan kepada ibubapa dalam keadaan kesibukan hidup yang mereka tempuhi dalam seharian.
  • Ketika Allah SWT memberikan anak-anak sebagai rezeki, maka dalam masa yang sama Allah SWT sendiri memberi jaminan terhadap kebajikan anak-anak dan juga ibubapa itu sendiri.
  • Menggugurkan anak-anak dengan alasan kesibukan berkerja, tiada orang yang ingin menjaga, serta sudah banyak tanggungan lain adalah keuzuran yang tidak diiktiraf oleh syarak.
  • Boleh jadi, kita tidak sukakan kepada sesuatu akan tetapi ia sebenarnya suatu kebaikan yang kita tidak tahu disebabkan keterbatasan kita sebagai manusia.
  • Namun, dalam kes seperti ini sekiranya seorang wanita yang mengandung itu telah mendapatkan pandangan dan nasihat dari mana-mana doktor pakar atau pakar perubatan yang diperakukan kepakarannya, dan diberitahu bahawa kandungan tersebut akan memberi mudarat kepada si ibu atau janin sendiri, maka ini termasuk dalam keuzuran yang diiktiraf oleh syarak yang menjadi pegangan kumpulan fuqaha yang mengharuskan pengguguran janin yang belum berusia empat bulan sekiranya terdapat keuzuran.
  • Anak-anak adalah kurniaan Allah SWT. Ini merupakan rezeki yang patut disyukuri memandangkan berapa ramai pasangan yang tidak mendapatkan rezeki ini dalam keadaan mereka sangat-sangat mahukannya.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kepada kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Amin. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahua`lam.

Bertarikh: 21 Januari 2022 bersamaan 18 Jamadil Akhir 1443H