#7730: Kesahihan Kisah Nabi Yusuf A.S dan Zulaikha

Soalan

Siapakah “امْرَأَتُ الْعَزِيزِ” di dalam surah Yusuf dan benarkah Nabi Yusuf berkahwin dengannya. Hal ini kerana terdapat banyak kad jemputan kahwin yang menyebut bahawa Nabi Yusuf berkahwin dengan Zulaikha yang dikatakan sebagai “امْرَأَتُ الْعَزِيزِ”. Mohon pencerahan

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan terlebih dahulu dengan ayat-ayat al-Quran yang membicarakan tentang kisah nabi Yusuf AS dan isteri pembesar Mesir yang dikenali sebagai “امْرَأَتُ الْعَزِيزِ” (isteri kepada pembesar Mesir). Antaranya adalah:

  • Firman Allah SWT:

وَقَالَ الَّذِي اشْتَرَاهُ مِن مِّصْرَ لِامْرَأَتِهِ أَكْرِمِي مَثْوَاهُ عَسَىٰ أَن يَنفَعَنَا أَوْ نَتَّخِذَهُ وَلَدًا

Maksudnya: “Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: “Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak.”[1]

وَقَالَ نِسْوَةٌ فِي الْمَدِينَةِ امْرَأَتُ الْعَزِيزِ تُرَاوِدُ فَتَاهَا عَن نَّفْسِهِ ۖ قَدْ شَغَفَهَا حُبًّا

Maksudnya: “Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir berkata: Isteri al-Aziz (isteri kepada pembesar Mesir) itu memujuk hambanya (Yusuf) kerana berkehendakkan akan dirinya dan sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu telah meresap ke dalam lipatan hatinya.”[2]

قَالَتِ امْرَأَتُ الْعَزِيزِ الْآنَ حَصْحَصَ الْحَقُّ أَنَا رَاوَدتُّهُ عَن نَّفْسِهِ وَإِنَّهُ لَمِنَ الصَّادِقِينَ

Maksudnya: “(Isteri kepada pembesar Mesir) pun berkata: Sekarang ternyatalah kebenaran (yang selama ini tersembunyi), akulah yang memujuk Yusuf kerana berkehendakkan dirinya (tetapi dia telah menolak) dan sesungguhnya dia daripada kalangan orang yang benar.”[3]

Berdasarkan ayat-ayat di atas, terdapat beberapa pandangan mufassiirin mengenai “امْرَأَتُ الْعَزِيزِ”, antaranya:

  • Imam al-Baghawi di dalam tafsirnya menyatakan bahawa nama “امْرَأَتُ الْعَزِيزِ” adalah Ra’il (راعيل).[4]
  • Imam al-Thabari menukilkan pendapat Ibn Ishak di dalam tafsirnya bahawa nama “امْرَأَتُ الْعَزِيزِ” adalah Ra’il (راعيل). [5]
  • Imam al-Qurtubi juga menukilkan yang sama iaitu pendapat Ibn Ishak di dalam tafsirnya bahawa nama “امْرَأَتُ الْعَزِيزِ” adalah Ra’il (راعيل) .[6]
  • Imam al-Baidhawi juga ada menyatakan di dalam tafsirnya bahawa nama “امْرَأَتُ الْعَزِيزِ” adalah Ra’il atau Zulaikha. [7]
  • Ibn Kathir pula menyebut juga di dalam Tafsirnya, pandangan Ibn Ishaq bahawa nama al-Aziz ialah Itfir bin Ruhaib yang menjaga khazanah-khazanah mesir, dan raja Mesir ketika itu adalah al-Rayyan bin al-Walid, seorang lelaki dari al-‘Amaliq. Dan nama “امْرَأَتُ الْعَزِيزِ” adalah Ra’il binti Ra’ail (رَاعِيلُ بِنْتُ رعَائِيلَ). Kemudian beliau mengemukakan juga pandangan selain daripada Ibn Ishaq bahawa nama “امْرَأَتُ الْعَزِيزِ” adalah Zalikha.[8]
  • Ibn Kathir juga di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah pula menyatakan bahawa nama “امْرَأَتُ الْعَزِيزِ” adalah Ra’il binti Ra’ail (راعيل بنت رعاييل). Antara pandangan lain mengatakan bahawa namanya ialah Zalikha atau Zulaikha. Akan tetapi, yang zahir adalah Zalikha dan Zulaikha itu merupakan gelaran baginya dan bukannya namanya. [9]

Antara kisah yang menyatakan bahawa Nabi Yusuf berkahwin dengan Zulaikha adalah sepertimana dinukilkan oleh Ibn Qayyim al-Jauzi, katanya:

Bab Dua Puluh Tujuh bagi sesiapa yang meninggalkan kekasihnya yang diharamkan baginya, akan digantikan dengan yang halal baginya atau Allah memberi ganti kepadanya dengan yang lebih baik daripadanya. Tajuk daripada bab ini dan kaedahnya bahawa sesiapa yang meninggalkan seseuatu kerana Allah, Allah akan menggantikan kepadanya yang lebih baik daripada apa yang ditinggalkannya, sebagaimana Yusuf AS yang meninggalkan “امرأة العزيز” kerana Allah, dan memilih penjara daripada terlibat dengan perkara yang fahisyah. Maka Allah menggantikan kepada Yusuf dengan memberikannya tempat di bumi sebagaimana yang dikehendakinya, dan Dan wanita itu “امرأة العزيز” datang kepadanya, tunduk, meminta supaya dihalalkan hubungannya. Kemudian Yusuf mengahwininya, dan apabila Yusuf ingin bersama dengannya, Yusuf berkata: Ini lebih baik daripada yang kamu mahukan.

Hal ini menunjukkan bagaimana Allah memberikan ganjaran terhadap kesempitan penjara yang dihadapi oleh Yusuf, dengan menempatkan Nabi Yusuf di muka bumi ini sebagaimana yang Yusuf kehendaki, dan al-Aziz menghinakan isterinya, dan juga pengakuan “امرأة العزيز” serta perempuan-perempuan yang melihat nabi Yusuf bagi membebaskan Nabi Yusuf daripada tuduhan jahat tersebut. Ini merupakan sunnatullah kepada hambanya daripada dahulu sehingga sekarang dan sehingga hari kiamat. [10]

Berdasarkan persoalan di atas, kami nyatakan bahawa tidak ada di dalam al-Quran dan juga al-Sunnah yang membenarkan kisah Nabi Yusuf bernikah dengan Zulaikha ataupun menafikannya. Bahkan di dalam al-Quran sendiri menceritakan bahawa kisah Nabi Yusuf dengan “امرأة العزيز” hanya terhenti sehingga “امرأة العزيز” membuat pengakuan akan penipuannya dalam membuat tuduhan jahat terhadap Nabi Yusuf AS. Malah, Ibn Kathir menyatakan bahawa tambahan daripada kisah yang sudah sebati dalam masyarakat kita ni merupakan kisah israilliyat yang diambil daripada ahli kitab.

Walaupun kisah ini dibawa oleh Ibn al-Qayyim, namun ianya bukanlah bermakna kisah ini merupakan kisah yang benar. Bahkan kisah ini pada zahirnya diambil daripada ahli kitab. Ibn Kathir menyatakan kebanyakan pandangan atau pendapat ahli tafsir ini diambil daripada ahli kitab. Maka, menjauhkan diri kita daripadanya adalah lebih baik. [11]

Selain itu, Nabi SAW pernah memberi panduan kepada kita dalam berinteraksi dengan riwayat ahli kitab ini yang mana tidak jelas akan kesahihan atau kepalsuan riwayatnya. Ini berdasarkan sabda Baginda SAW:

لا تُصَدِّقُوا أَهْلَ الكِتَابِ وَلا تُكَذِّبُوهُمْ وَقُولُوا: آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ

Maksudnya: “Jangan kamu mempercayai ahli kitab dan jangan pula kamu mendustakan mereka (kata-kata mereka). Katakanlah: “Kami telah beriman kepada kitab-kitab yang diturunkan kepada kami dan apa yang telah diturunkan kepada kamu.”[12]

Justeru itu, para ulama’ membahagikan hukum berinteraksi dengan riwayat ahli kitab ini kepada tiga, iaitu:

  • Riwayatnya bertepatan dengan al-Quran dan hadith Nabi SAW. Riwayat seperti ini dibolehkan untuk kita mempercayainya dan bercerita tentangnya.
  • Riwayat yang bertentangan dengan al-Quran dan hadith Nabi SAW. Riwayat seperti ini wajib untuk kita dustakannya dan tidak menceritakan berkaitannya melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya.
  • Riwayat yang tidak jelas di mana al-Quran tidak membenarkannya dan al-Quran juga tidak menafikannya. Maka riwayat seperti inilah yang dimaksudkan di dalam hadith di atas iaitu dengan mengambil langkah bertawaqquf (iaitu tidak mempercayainya dan tidak juga mendustakannya).

Kesimpulan

Akhir kalam, kami nyatakan bahawa nama “امْرَأَتُ الْعَزِيزِ” (isteri kepada pembesar Mesir) yang dikatakan isteri kepada pembesar Mesir itu ialah Ra’il dan kisah perkahwinannya dengan Nabi Yusuf AS ini tidak terdapat di dalam al-Quran mahupun hadith Nabi SAW. Al-Quran dan Hadith Nabi SAW tidaklah membenarkan atau menafikannya. Manakala Zalikha dan Zulaikha itu merupakan gelaran baginya dan bukan namanya seperti yang diceritakan oleh Imam Ibn Kathir.

Umum mengetahui bahawa di antara uslub al-Quran (kaedah al-Quran) adalah tidak menceritakan melainkan perkara tersebut memberi faedah atau pengajaran kepada orang yang mengetahuinya. Hal Ini berdasarkan firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, kisah nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar (pengajaran) bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran.”[13]

Akhirnya, semoga penerangan ini dapat membetulkan kembali kefahaman yang sudah sebati dalam masyarakat kita ini kepada kebenaran yang benar berdasarkan dalil dan pentunjuk daripada nas dan syara’. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya:Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Wallahua`lam.

Bertarikh: 25 Januari 2022 bersamaan 22 Jamadil Akhir 1443H

 

[1] Surah Yusuf: 21

[2] Surah Yusuf: 30

[3] Surah Yusuf: 51

[4] Lihat Tafsir al-Baghawi, 4/225

[5] Lihat Tafsir al-Thabari, 15/18

[6] Lihat Tafsir al-Qurthubi, 158/9

[7] Lihat Tafsir al-Baidhawi, 159/3

[8] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 4/378

[9] Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 232/1

[10] Lihat Raudhah al-Muhibbin, hlm 445

[11] Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 234/1

[12] Riwayat al-Bukhari (4475)

[13] Surah Yusuf: 111