#377 Makan Daging Mentah

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya terbaca dalam sinar harian menyebut, seorang lelaki Amerika Syarikat membuat keputusan nekad, hanya memakan daging mentah sebagai pilihan gaya hidup sihatnya. Apakah hukumnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-Maidah: 87)

Ayat dia atas mengandungi peringatan buat orang beriman agar tidak mengharamkan apa-apa yang baik, yang telah Allah SWT halalkan untuk mereka yang terdiri daripada makanan, minuman dan menikahi perempuan sehingga mempersempitkan apa yang telah Allah SWT luaskan untuk mereka. Selain itu, ayat ini juga mengingatkan mereka agar jangan melampaui batas-batas yang telah Allah SWT haramkan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang melampaui batas. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 122)

Kami juga meneliti laporan tersebut antara lain menyatakan lelaki tersebut yang menggunakan akaun laman sosial Instragram dengan nama nawmeatexperiment merakam aktiviti dan melihat bagaimana dia boleh bertahan denagn hanya memakan daging dan minuman kosong telah meraih pujian 53000 pengikutnya. Setaip hari, dia memakan pelbagai daging mentah termasuk daging stik, dada ayam dan membasuhnya dengan susu mentah haiwan serta telur ayam. Bagaimanapun, dia hanya bertahan sehingga 77 hari dengan diet tanpa makanan masak. Dia mengatakan bahawa daging lembu menjadi makanan kegemarannya kerana kos murah dan daging itu mudah dihadamkan. (Lihat Akhbar Sinar Harian, bertarikh 31 Januari 2022 bersamaan Hari Isnin, hlm. 22)

Untuk menjawab soalan di atas, kami katakana bahawa selama mana binatang itu halal dimakan dan disembelih, maka makan secara mentah telah menjadi khilaf di antara para ulama kepada dua pendapat. Pertama, mereka yang berpendapat bahawa hukumnya adalah harus. Kedua, mereka yang berpendapat bahawa hukumnya adalah makruh.

Pendapat yang memakruhkan ini, antaranya sebahagian ulama Hanbali seperti yang dinukilkan oleh Ibn Muflih dalam kitabnya, al-Adab al-Sya‘riyyah (3/374) yang menyatakan bahawa makruh makan daging mentah atau yang tidak dimasak. Sedangkan pendapat yang kedua yang menyatakan harus pula adalah berdasarkan pendapat al-Mardawi dalam kitabnya al-Insaf (27/236) yang menukilkan pendapat Imam Ahmad yang mengatakan, tidak mengapa memakan daging yang mentah. Pendapat ini adalah pendapat yang rajih kerana tiada nas yang mengharamkannya dan merupakan pendapat yang muktamad dalam mazhab Hanbali. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/127)

Maka ia menepati kaedah:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَةُ

Maksudnya:Hukum asal pada sesuatu itu adalah harus.”

Selain itu, Imam al-Nawawi juga pernah ditanya mengenai hukum memakan daging mentah dan beliau menjawab dengan menyatakan bahawa hukumnya adalah harus. (Lihat Fatawa al-Imam al-Nawawi, 1/104)

Walaupun begitu, perkara ini perlu juga dilihat berdasarkan kesihatan. Dari segi perubatan, pakar kesihatan menyarankan agar makanan mentah hendaklah dimasak bagi mengelakkan keracunan makanan. Hal ini kerana daging mentah mengandungi bakteria seperti E.coli, Listeria monocytogenes dan Campylobacer yang mungkin menyebabkan simptom loya, muntah, cirit birit, demam dan sakit kepala. Bahkan memakan daging mentah boleh mendatangkan bahaya dan penyakit bawaan makanan.

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada pendapat ahli al-Ikhtisas, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa hukum memakan daging mentah adalah makruh. Namun, jika ia boleh memudaratkan kesihatan serta boleh membawa kepada keracunan makanan, maka hukumnya adalah haram. Firman Allah:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan.(Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 31 Januari 2022 bersamaan 28 Jamadil Akhir 1443H